Sabtu, 5 Mac 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Cek Mek gajah penggoda

Posted:

Cek Mek gajah penggoda

Cek Mek gajah penggoda



DENGAN sentuhan belalai penuh emosi daripada gajah betina bernama Cek Mek, gajah jantan liar yang digelar Buyong Gagu itu seakan terpukau dengan pujukannya untuk berjalan bersama-sama.

Sesekali terlihat seperti ada perbincangan sulit antara kedua-duanya apabila Buyong tiba-tiba mendengus kuat.

Bijak menangani situasi, Cek Mek yang turut ditemani Color dan Timur pantas mengusap muka sang jantan dengan belalainya sambil memujuk untuk terus berjalan.

Masih di bawah pengaruh ubat pelali, Buyong hanya mampu mengikut langkah tiga gajah denak yang menjadi pengapit di hadapan, kiri dan kanannya.

Hujan yang turun malam tadi sedikit sebanyak menyukarkan perjalanan empat mamalia terbesar di atas daratan ini.

Dengan jalan yang sedikit becak, beberapa kali kaki lebar empat gajah ini hampir tergelincir namun tindakan pantas penjaga gajah, haiwan tersebut kembali berjalan rapat seperti dalam satu kumpulan menuju ke kawasan lapang.

Dalam operasi pemindahan gajah liar seperti yang dilakukan ke atas Buyong di Hutan Simpan Gapau, Jelebu, Negeri Sembilan baru-baru ini, proses memujuk menggunakan gajah denak iaitu gajah pekerja betina dianggap amat penting.

Gajah itu terpaksa dipindahkan ke habitat asal yang lebih sesuai kerana ia telah tersesat dan memasuki kawasan konflik dengan manusia.

"Gajah adalah haiwan yang mudah stres dan boleh mati kerananya. Pernah ada pihak menggunakan jentera untuk mengeluarkan gajah, namun gajah itu mati kerana terlalu tertekan.

"Lantaran itu, kami menggunakan kaedah pujukan serta komunikasi antara gajah denak dan gajah liar yang dikawal dengan ubat pelali, operasi tangkap dan pindah lebih mudah dijalankan," ujar Penolong Pengarah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Ahmad Kamsul Alias.

Maut dipijak

Tidak hairanlah, strategi untuk menggunakan naluri sesama haiwan yang didokong kepakaran anggota pusat itu menjadi tulang belakang dalam ratusan operasi tangkap dan pindah gajah liar di seluruh Semenanjung.


LUBANG digali sehingga separas badan lori bagi memudahkan gajah liar memasuki kenderaan tanpa rasa tertekan.


Sungguhpun setiap operasi pemindahan berjaya dilakukan, tugas untuk menangkap dan memindahkan haiwan bersaiz besar ini menuntut persediaan yang bukan sedikit.

Pernah berlaku sebelum ini petugas meninggal dunia atau cedera parah selepas dirempuh dan dipijak gajah liar semasa operasi pemindahan dilakukan.

Menurut Pengarah pusat tersebut, Nasharuddin Othman, dengan saiz yang besar dan berat, usaha pemindahan perlu dilakukan berhati-hati.

Dalam satu tayangan video yang menyiarkan operasi tangkap dan pindah dua ekor gajah ke Taman Negara Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, Terengganu, jelas dalam prosedur operasi, keselamatan nyawa petugas amat penting.

"Paling bahaya apabila operasi pemindahan dilakukan di hutan sekunder di mana tiada pokok besar untuk berlindung. Gajah terpaksa dipindahkan jika ia menjadi ancaman kepada penduduk setempat atau habitatnya semakin terancam.

"Disebabkan itu, dalam proses menangkap, kami gunakan tembakan ubat pelali. Seorang penembak yang memegang senapang ubat akan berada di hadapan manakala dua orang renjer dengan senapang rifel membantu di belakang," katanya.

Selepas mengenal pasti umur dan saiz gajah liar menerusi bekas jejak atau najis, dosej pelali yang sesuai akan ditentukan. Ubat pelali boleh membuatnya pengsan.

"Bukan sembarang orang boleh tembak kerana tembakan tepat pada bahagian bahu dan pinggul sahaja boleh menjatuhkannya," kata Nasharuddin yang mengetuai Unit Tangkapan Gajah sejak pusat perlindungan tersebut dibuka di Kuala Gandah pada tahun 1990.

Gali lubang


CEK MEK (depan), Timur dan Color menggunakan kepakaran denak untuk menarik Buyong keluar dari hutan semasa operasi pemindahan di Jelebu, minggu lalu.


Dalam operasi yang melibatkan sekitar 10 hingga 15 kakitangan itu, proses memindahkan gajah boleh selesai dalam masa empat atau lima jam, namun, dalam beberapa kes besar yang melibatkan tangkapan berkumpulan, masa yang diperlukan adakalanya hingga berminggu-minggu.

"Selepas gajah pengsan, petugas akan segera merantai kaki gajah sebelum ia diberi suntikan antipelali untuk menyedarkannya," tambahnya lagi.

Sebaik sahaja gajah sedar namun masih di bawah kawalan ubat pelali, gajah-gajah denak sudah siap sedia untuk menerima arahan memujuk dan membawa gajah liar keluar.

Tali kok yang berada pada leher gajah-gajah denak akan disambungkan dengan rantai besi yang dipasang pada leher gajah liar memudahkan sang denak mengawal pergerakan sang liar selain memastikan haiwan-haiwan ini berjalan seiringan.

Seorang pelatih gajah pula akan menaiki setiap gajah denak untuk memandu arah jalan selain memberikan arahan kerja serta menarik rantai dengan lebih kuat atau sebaliknya.

Dalam proses pemindahan, biasanya dua atau tiga ekor gajah denak akan digunakan, bergantung kepada kesukaran yang perlu ditempuh seperti permukaan tanah yang tidak rata.

Selepas sampai ke kawasan lapang di mana lori yang akan memindahkan gajah liar ditempatkan, teknik memasukkan gajah ke dalam lori juga penting bagi meng elak gajah liar mengalami stres.

"Para petugas akan menggali lubang sehingga badan lori menjadi sama rata dengan tanah. Cara ini membuatkan gajah liar menganggap ia masih memijak tanah, sedangkan ia sudah masuk ke dalam lori.

"Selepas dirantai kemas, ia akan terus dibawa keluar. Biasanya kami akan bawa gajah keluar pada waktu lewat petang atau malam bagi mengelakkannya stres dan terdedah kepada cuaca panas.

"Melainkan pada hari hujan, tidak mengapa jika membawanya keluar pada waktu siang," jelasnya panjang lebar.

Tidak sukarkah memandu lori dengan muatan gajah? Menurut Nasharuddin, hanya pemandu berpengalaman boleh membawa gajah untuk dipindahkan.

"Mereka masih boleh membawa lori pada kelajuan normal iaitu 90 kilometer sejam, namun perlu berhati-hati.

"Rekod pindah gajah paling jauh yang pernah kita lakukan ialah dari Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor ke Taman Negara Tasik Kenyir di Hulu Terengganu," ujarnya.

Paling popular


CEK MEK (kiri) adalah teraju utama dalam lebih 650 operasi pemindahan gajah di Semenanjung Malaysia.


Mengenali gajah penggoda atau gajah denak yang menjadi tulang belakang kepada setiap operasi pemindahan, gajah bernama Cek Mek merupakan gajah denak yang paling popular.

Dengan usia yang mencecah 70-an, Cek Mek yang dilahirkan di Thailand masih mampu menarik perhatian gajah-gajah liar.

Cek Mek telah mengikuti lebih daripada 650 operasi pindah gajah di seluruh Semenanjung sejak 32 tahun lalu.

"Cek Mek gajah yang tidak cerewet dan tahu apa tugasnya sebagai gajah denak," ujar pelatih gajah yang sering keluar operasi bersama Cek Mek, S. Premkumar, 30.

Sudah lima tahun mengenali Cek Mek, Prem cukup arif dengan perangai gajah denak itu.

"Senang jaga Cek Mek, apatah lagi ia memang sudah terlatih. Apa yang penting, bagaimana mahu menyesuaikan diri dengannya.

"Seperti haiwan lain, ia juga ada pantang-larang yang tersendiri dan boleh naik marah jika kita buat perkara yang tidak disukainya.

"Misalnya, Cek Mek tidak suka saya berjalan di sebelah kirinya kerana mata kiri Cek Mek sudah kabur. Saya juga sudah boleh agak mood Cek Mek, sama ada elok atau tidak. Apa pun, setakat ini, kami belum pernah lagi bergaduh besar," seloroh pemuda dari Perlis ini.

Berpengalaman dalam operasi pemindahan gajah, Prem menyifatkan pemindahan di kawasan hutan di Perak dan Kelantan sebagai mencabar.

"Keadaan muka bumi yang berbukit-bukau memang sangat mencabar kerana mudah untuk gajah yang sedang khayal hilang kawalan ketika diiring keluar.

"Jika kawasan berbukit, lori perlu diletak jauh sedikit dan keadaan tanah yang tidak rata adakalanya mengambil masa yang agak panjang untuk membawa gajah ke lori," ujarnya yang sanggup meninggalkan kerjaya di bank demi minatnya terhadap haiwan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Asap musnahkan paru-paru

Posted:

Asap musnahkan paru-paru

Asap musnahkan paru-paru

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


KEBAKARAN akan membebaskan pelbagai jenis toksik yang berbahaya pada sistem tubuh. - Gambar hiasan


MINGGU lalu, seorang ibu dan anak perempuannya ditemui mati disyaki lemas akibat terhidu asap tebal selepas terperangkap di dalam rumah mereka yang terbakar di Taman Sri Sinar, Kepong, Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, kedua-dua mangsa ditemui oleh pasukan bomba dan penyelamat di dalam sebuah bilik tidur rumah teres terbabit.

Mayat mangsa, Ong Ean Lee, 33, ditemui di atas katil manakala kanak-kanak perempuan, Artina Lake Xin Yu, 2, ditemui di atas tilam di lantai tidak jauh dari lokasi mangsa pertama dijumpai.

Kedua-dua mereka yang berpakaian lengkap itu ditemui dalam keadaan baik dan tidak mengalami kecederaan.

Penguasa Kanan Bahagian Penyiasatan Kebakaran dan Pendakwaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ismail Yasin menafsirkan kejadian lemas asap sebagai situasi penghasilan asap yang memenuhi ruang sesuatu kawasan sehingga menyebabkan kandungan karbon dioksida melebihi paras 16 peratus.

Pengsan

"Udara yang disedut oleh manusia terdiri daripada oksigen dalam kapasiti lebih kurang 20.7 peratus, gas nitrogen 79 peratus dan karbon dioksida 0.3 peratus.

"Namun, semasa kebakaran, kadar oksigen dalam udara berkurangan sehingga ke paras 16 atau 14 peratus.

"Apabila mencapai kadar tersebut, badan manusia tidak mampu bertahan seterusnya menyebabkan pengsan," bicaranya sambil menambah komposisi gas dalam asap bergantung pada jenis bahan yang terbakar.

"Setiap kebakaran bahan menghasilkan tindak balas berbeza termasuk rantaian tindak balas yang akan mengganggu sistem saraf," katanya yang memberitahu pembakaran pepejal seperti kayu akan membebaskan gas alkohol, aseton, metana dan wap air.

Kesemua jenis gas ini bersifat toksik dan mampu mengganggu sistem tubuh.

Semasa kebakaran, asap yang mula-mula terhasil bersifat panas dan mudah meruap ke atas ruang bilik atau bangunan.

Namun, apabila kebakaran berterusan, asap sedia ada yang menyejuk dan berjisim lebih berat ditolak ke bawah oleh asap baru yang panas.

Bagaimanapun, tekanan udara yang wujud akan menyediakan satu ruang lebih kurang 0.5 meter dari paras lantai.


EAN LEE dan anaknya Artina mati akibat terhidu asap tebal dalam kebakaran rumah mereka di Kepong, baru-baru ini.


"Zon selamat pada ruang udara yang paling bawah ini adalah yang paling bersih semasa kebakaran," katanya yang telah berkhidmat selama 34 tahun.

Menurut rakan sepasukan Ismail yang mengendalikan bahagian Operasi di jabatan yang sama, Mohd. Desa Zainon, faktor fisiologi badan manusia menentukan sejauh mana mangsa mampu bertahan dalam menghadapi situasi genting lemas asap.

"Jika mangsa tidak mempunyai daya tahan yang kuat, amat mudah untuknya pengsan seterusnya membenarkan dirinya terbakar.

"Begitu juga jika kandungan toksik daripada bahan-bahan yang terbakar tinggi, maka tempoh mangsa bertahan akan berkurangan berikutan kematian sel-sel dalam badan," tambahnya.

Kes lemas asap disifatkannya mempunyai mekanisme yang sama dengan lemas di dalam air iaitu kedua-duanya disebabkan pengurangan oksigen di dalam paru-paru sebaliknya telah diisi oleh sama ada air mahupun gas beracun.

Kritikal

Pakar Respiratori, Hospital Pantai Ampang, Dr. Zal Abdul Rahim mengakui kesan asap boleh menyebabkan pelbagai keadaan klinikal yang kritikal seperti eksaserbasi asma bronkus atau bronkitis yang sekali gus mendorong kegagalan sistem pernafasan.

Namun, kerosakan paru-paru yang disebabkan oleh sedutan asap berlebihan bergantung pada komposisi asap dan pendedahan kepada haba.

"Haba akan menyebabkan kecederaan seumpama melecur pada saluran pernafasan dan ia selalunya berlaku apabila mangsa terperangkap dalam api yang besar.

"Kesannya, mangsa sukar bernafas, serak suara, nafas berdehit, kahak berwarna kehitaman dan mengalami kesan terbakar pada wajah dan saluran pernafasan," ujarnya.

Bagi mangsa yang terselamat daripada kejadian hampir lemas dalam asap tebal pula kesannya bergantung pada jenis kebakaran yang berlaku kerana kebakaran berbeza menghasilkan bahan toksik yang berlainan.

"Kerosakan teruk dan kekal pada sistem pernafasan tidak mustahil berlaku akibat terhidu asap beracun dan haba yang mampu membakar tisu paru-paru dan salur pernafasan," tambahnya.

Saranan Zal ketika berdepan dengan situasi cemas itu ialah buka semua tingkap supaya asap boleh keluar dan tutup ruang di bawah pintu dengan selimut sekiranya terperangkap.

Bantuan pernafasan juga perlu diberikan kepada mangsa yang terhidu asap tebal untuk menambah kandungan oksigen dalam paru-paru.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Taska eksklusif Dunia Elit

Posted:

Taska eksklusif Dunia Elit

Taska eksklusif Dunia Elit

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


TASKA eksklusif Dunia Elit di Seri Kembangan, Selangor ini menggaji pengasuh terlatih sahaja.


PERTAMA kali bertemu dengannya mungkin ada yang menyangka wanita bertubuh kecil molek ini mampu membuka lima cawangan tadika dan taska di sekitar Lembah Klang disebabkan suaminya seorang lelaki kaya.

Namun, kejayaan Fazilah Othman, 36, bukan kerana bantuan sesiapa sebaliknya atas usahanya sendiri mengumpul wang semasa bekerja makan gaji di sebuah syarikat swasta dahulu.

Daripada pekerja kemasukan data, kini beliau mampu mengupah lebih 30 orang pekerja sendiri.

"Selepas tingkatan lima, saya merantau ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai pekerja kemasukan data dengan gaji sebanyak RM380 sebulan," cerita wanita kelahiran Jitra, Kedah ini.

Fazilah yang peramah berkata, beliau tidak betah melakukan satu tugas sahaja. Apatah lagi beliau gemar mencuba sesuatu yang baru.

Di pejabat, beliau ringan tulang membantu kerja-kerja perkeranian termasuk menaip surat dan dokumen walaupun ia bukan tugas hakikinya.

Hasil sifat rajinnya, Fazilah ditawarkan jawatan pembantu pentadbir oleh majikannya.

Jualan langsung

"Kerana ingin menambah ilmu, saya mengambil kursus pentadbiran di Kolej Binary Kuala Lumpur pada sebelah malam iaitu selepas waktu kerja," katanya.

Empat tahun kemudian, Fazilah bekerja sebagai pegawai sumber manusia sebelum dinaikkan pangkat menjadi pengurus di sebuah syarikat jualan langsung.

Namun, kerja makan gaji ada batas masa dan perolehan pendapatan.

Jika mahukan kehidupan yang lebih selesa dan terjamin, beliau mesti membuka perniagaan sendiri sebelum usia mencecah 30 tahun, begitulah fikir Fazilah.

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Semasa menjawat jawatan pengurus di syarikat jualan langsung itu lagi Fazilah sudah merancang untuk membuka sebuah pusat penjagaan kanak-kanak.

"Pada masa itu, saya bercadang untuk bekerja separuh hari sahaja selain tidak perlu lagi melakukan kerja lebih masa hingga ke awal pagi," katanya yang mula membuka tadika Dunia Elit di Selangor pada usia 29 tahun.

Fazilah yang gemarkan kanak-kanak berkata beliau berasa puas dapat menjaga anak-anak yang ibu bapa mereka sibuk bekerja.

Ia juga dianggapnya sebagai satu kerja murni dan bukan untuk mengaut keuntungan semata-mata.

"Saya buat kajian bagaimana mahu membuka pusat penjagaan di laman sesawang dan juga buku.

"Saya juga perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan, bomba dan pusat kesihatan sebelum membuka taska berkenaan.

"Dalam masa tiga bulan saya dapat menyelesaikan kesemua urusan itu," katanya yang memperuntukkan lebih RM30,000 untuk perniagaan itu.

Modal itu diambil daripada simpanannya sendiri yang bekerja di syarikat jualan langsung itu selama lebih 10 tahun.

Fazilah juga memberitahu, kerana ingin mengumpul wang sebanyak itu, beliau pernah makan sekali sehari bagi menjimatkan perbelanjaan.

Kamera web

"Bila sudah buka tadika dan taska baru saya tahu ia bukan kerja senang. Saya bertanggungjawab menjaga anak orang lain dengan baik.

"Saya juga perlu mencari pengasuh yang baik dan bersifat penyayang terhadap kanak-kanak," katanya.

Selepas taska pertamanya semakin berjaya, Fazilah mula membuka cawangan tadika dan taskanya di sekitar Seri Kembangan, Selangor.

Beliau juga mendapat idea untuk membuka taska eksklusif iaitu pusat penjagaan yang hanya bertumpu pada bayi bawah dua tahun bersama pengasuh terlatih.

Prinsip perniagaan Fazilah juga bukan sekadar memberi jagaan tetapi juga kasih sayang dan pendidikan kepada kanak-kanak tersebut.

Tidak melepaskan tanggungjawabnya begitu sahaja, Fazilah kerap melakukan lawatan ke semua cawangan tadika dan taska miliknya.

Ditanya sama ada suaminya turut sama dalam perniagaannya itu, Fazilah memberitahu, suaminya yang memegang jawatan sebagai ketua teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta kurang berminat menceburi bidang perniagaan.

Namun, lelaki itu sentiasa memberi dorongan kepada Fazilah untuk menjayakan perniagaannya.

Mengenai perancangan masa depan, Fazilah berkata beliau ingin mengembangkan lagi taska eksklusifnya.

"Perancangan untuk meluaskan lagi taska eksklusif ini sudah ada, cuma mahu laksanakan sahaja pada masa yang sesuai.

"Kalau boleh saya mahu taska eksklusif ini mempunyai kawalan keselamatan yang ketat di mana ibu bapa boleh memantau anak-anak mereka terus dari tempat kerja menggunakan kamera web," katanya ketika ditemui di taska eksklusif itu di Seri Kembangan.

Sempat bertanyakan soal penjagaan diri, Fazilah memberitahu, walaupun sibuk dengan perniagaan beliau sangat menitikberatkan penjagaan kesihatan dan penampilan diri.

"Setiap hari saya akan minum air kosong yang banyak. Paling penting, saya tidak pernah tinggal makan buah-buahan.

"Sekurang-kurangnya pada waktu pagi dan malam saya akan makan buah oren dan betik untuk kesihatan dan kecantikan kulit," katanya yang pasti menyediakan sarapan pagi untuk anak-anak dan suami setiap hari.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan