Selasa, 8 Mac 2011

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


'Bom' gegar sekolah

Posted: 07 Mar 2011 11:15 AM PST

KUALA LUMPUR: Gara-gara tidak puas hati dengan guru, dua pelajar nekad meletupkan bangunan sebuah sekolah menengah di pinggir ibu kota dengan 'bom' buatan sendiri yang dipercayai diperbuat daripada mercun bola dan lingkaran nyamuk, semalam.

Tindakan ala 'MacGyver' itu dilakukan kedua-dua pelajar tingkatan tiga terbabit pada kira-kira jam 7.40 pagi menyebabkan berlaku tiga letupan di tiga lokasi berasingan sekolah berkenaan, sekali gus menggemparkan guru dan pelajar yang baru memulakan sesi pembelajaran.

Sumber polis berkata, pelajar terbabit dipercayai cuba membakar bangunan sekolah mereka, namun ketiga-tiga letupan yang dihasilkan tidak mencetuskan kebakaran.
"Biarpun insiden itu tidak mendatangkan kemalangan jiwa atau kecederaan kepada guru mahupun pelajar, ia kesalahan serius dan polis kini memburu kedua-dua pelajar terbabit yang dikenal pasti identiti mereka," katanya.

Menurutnya, letupan pertama kedengaran ketika sesi pembelajaran baru bermula dan tersentak dengan itu, beberapa guru bersama pengawas sekolah bergegas mencari lokasi kejadian.

"Dalam kebingungan mencari punca letupan, satu lagi letupan berlaku kira-kira 10 minit kemudian di bangunan berhampiran pejabat dan kira-kira 20 meter dari lokasi letupan pertama yang berlaku dalam sebuah bilik darjah kosong di blok berlainan," katanya.

Sumber itu berkata, ketika letupan kedua, beberapa guru mendakwa melihat cebisan kertas yang hancur dan beberapa lingkaran nyamuk yang masih berasap di atas bangunan berkenaan.

Menurutnya, bimbang dengan keadaan itu, pihak pengurusan sekolah menghubungi polis dan lima anggota dari Balai Polis Setapak tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian.

"Anggota polis berkenaan mula menggeledah bangunan sekolah itu, namun gagal mengesan suspek. Dalam kesibukan itu, tiba-tiba kedengaran pula letupan ketiga pada kira-kira jam 8.40 pagi di kawasan padang sekolah berkenaan," katanya.

Menurutnya, seorang saksi yang juga pelajar sekolah terbabit mendakwa melihat dua pelajar lengkap berpakaian sekolah tergesa-gesa meninggalkan sekolah dengan menggunakan motosikal yang diletakkan di luar sekolah.

Sehubungan itu, wakil sekolah berkenaan membuat laporan di Balai Polis Setapak di sini dan Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan itu.

"Siasatan awal mendapati pelajar terbabit menggunakan mercun bola dan lingkaran nyamuk untuk menghasilkan letupan itu. Sehingga kini tiada tangkapan dilakukan dan motif sebenar masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pihaknya menyerahkan siasatan penuh dilakukan pihak berkuasa mengenai motif sebenar insiden berkenaan.

"Jika hasil siasatan mendapati perbuatan itu dilakukan pelajar sekolah berkenaan, tindakan tegas akan diambil," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ajal lepas bertunang

Posted: 07 Mar 2011 10:50 AM PST

KUALA PILAH: Sungguh menyayat hati apabila seorang gadis yang baru mengikat tali pertunangan kelmarin, menemui ajal bersama dua ahli keluarga lain selepas terbabit dalam kemalangan ngeri di Kilometer 13, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang, Batu Kikir di sini, semalam.

Sebelum kejadian, Sharifah Saodah Mohd Nazir, 22, yang memandu Proton Wira dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felcra Lakai, Simpang Durian, Jelebu, dekat sini, dalam kejadian kira-kira 2.30 petang.

Turut bersama mangsa kakaknya, Norhashikin Mohd Nazir, 27, dan anak saudaranya, Natasha Amirah Isa, 6, dan Mohd Iskandar Fahmi, 3.

Sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan sebelum merempuh sebuah bas sekolah dari arah bertentangan.


Rempuhan kuat itu menyebabkan Sharifah Saodah mati di tempat kejadian akibat parah di kepala.


Norhashikin dan Natasha yang cedera parah turut menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Juaseh, dekat sini.

Mohd Iskandar pula hanya patah kaki kanan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), Seremban, untuk menerima rawatan lanjut.

Difahamkan, tiga bersaudara itu baru pulang selepas mengambil motosikal Suzuki Panther milik suami Norhashikin, Isa Rahmat, 32, yang sudah dibaiki, berhampiran bandar itu.

Malah, lebih memilukan apabila Isa yang menunggang motosikal itu berada beberapa kilometer dari kereta yang turut membawa isterinya.

Isa berkata, hanya Allah tahu isi hatinya apabila diberitahu kejadian yang menimpa isteri dan saudaranya yang lain kira-kira jam 3 petang.

"Panggilan dibuat seorang ahli keluarga itu memaklumkan isteri, kakak dan anak saudara sudah meninggal dunia kerana terbabit dalam kemalangan," katanya ketika ditemui Bilik Mayat Hospital Kuala Pilah di sini, semalam.

Sementara itu, kakak ipar Norhashikin, Aslinda Muhamad, 33, berkata, dia terkejut apabila menerima khabar sedih yang meragut tiga nyawa insan kesayangannya itu.

Menurutnya, semua mangsa datang ke rumahnya di Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, Melaka, kira-kira jam 10 pagi semalam, namun mereka tidak sempat berbual panjang.

"Ketika itu, ibu mentua saya, Nurhidayah Awang, 50, baru saja tiba di rumah selepas mengetahui menantu serta dua cucunya itu datang dari Simpang Durian.

"Saya melihat dia (Norashikin) beria-ria mencium kedua-dua pipi ibu mentua saya sambil ketawa.

"Dia kemudian memberitahu mahu segera pulang kerana ada benda mahu diselesaikan di kampung dan takut tidak dapat berjumpa lagi," katanya yang tidak menyangka ia petanda mangsa akan meninggalkan mereka buat selama-lamanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan