Jumaat, 4 Mac 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Johor: Tiada lampu isyarat

Posted: 03 Mar 2011 11:05 AM PST

Wilayah

pix_gal0
Aliran kenderaan sibuk di Jalan Persisiran Perling 1 punca sering nahas

JOHOR BAHRU: Ketiadaan lampu isyarat lalu lintas bagi mengawal aliran kenderaan yang mahu melintasi Jalan Persisiran Perling 1 sebelum memasuki Jalan Layang yang menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Usman Awang dekat Taman Perling di sini, sering menjadi punca kemalangan di lokasi itu.

Lampu isyarat pada persimpangan terbabit adalah suatu keperluan mendesak sebagai kemudahan kepada ibu bapa dan pengguna jalan raya untuk menyeberangi laluan berkenaan yang sibuk dengan kenderaan bertali arus dan laju. Kesibukan laluan terbabit pada waktu puncak terutama pagi dan tengah hari menyebabkan kemalangan mudah berlaku di situ.

Keadaan itu membuatkan pemandu yang hendak membelok masuk ke taman perumahan yang menempatkan SMK Dato Usman Awang itu, mengambil risiko setiap kali hendak membelok dan terpaksa menunggu lama jika mahu memastikan tiada kenderaan yang datang dari arah depan.

Masa sama, sikap pemandu yang suka memotong barisan ketika tiba di laluan terbabit juga sering menimbulkan masalah kepada pengguna jalan raya yang setia berbaris menunggu giliran.

Pengetua SMK Dato Usman Awang, A Manaf Muslimin, berkata masalah itu dapat diatasi jika pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera untuk memasang lampu isyarat bagi mengelakkan pengguna jalan raya memandu laju hingga membahayakan keselamatan pengguna lain.
"Tahap keselamatan di sini boleh dipertingkatkan sekiranya Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat mempertimbangkan segera pemasangan lampu isyarat di persimpangan ini bagi mengelakkan kemalangan berikutan sebilangan sikap pemandu yang tidak mahu memperlahankan kenderaan masing-masing.

"Ini berikutan ramai pelajar yang bersekolah di sini datang daripada beberapa perumahan berdekatan yang menjadikan persimpangan ini sentiasa sibuk dengan kenderaan keluar dan masuk. Sekurang-kurangnya, jika ada lampu isyarat di persimpangan itu, pemandu perlu berhenti dan menunggu giliran pada lampu merah," katanya di sini.

Dalam kemalangan terbaru pada Selasa lalu, empat kereta terbabit dalam kemalangan di persimpangan itu kira-kira jam 1 tengah hari, ketika pelajar SMK Dato Usman Awang pulang menyebabkan kesesakan berlaku di situ.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Dato Usman Awang, Azman Safari, berkata keperluan lampu isyarat itu sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu tetapi tidak diberi perhatian walaupun kawasan itu kerap berlaku kemalangan.

"Sepatutnya laluan ini disediakan lampu isyarat kerana simpang ini bukan saja menghubungkan satu-satunya sekolah di sini tetapi menjadi tumpuan pengguna membuat pusingan U tetapi ada juga pemandu terbabas ke bahu jalan kerana laluan bukan saja sempit, tetapi pada masa sama perlu mengelak berlanggar kenderaan dari arah bertentangan yang dipandu laju pada laluan yang agak cerun itu," katanya.

Kakitangan sekolah itu, Ahmad Selamat, 50, berkata kesesakan yang berlaku di situ juga tidak mengira masa iaitu berlaku dari awal pagi kerana laluan berkenaan menghubungkan kawasan Nusajaya dan Gelang Patah kerana laluan itu lebih dekat.

"Kebiasaannya, laluan itu menjadi tumpuan kerana pertembungan waktu persekolahan dan pada masa sama pekerja keluar bekerja, berikutan menjadi laluan pilihan kepada pengguna yang mengelak tol Perling," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

DUN Merlimau: Pendapatan peruncit meningkat

Posted: 03 Mar 2011 11:02 AM PST

Wilayah

PELANGGAN kagum melihat  perubahan  hasil program TUKAR di sebuah pasar mini di Merlimau.

PELANGGAN kagum melihat perubahan hasil program TUKAR di sebuah pasar mini di Merlimau.

Peniaga manfaat Program Transformasi Ekonomi

MERLIMAU: Lima tahun lalu, pendapatan diraih hasil jualan kedai runcit Maznah Gemilang Enterprise di Taman Merlimau Utara di sini, tidak lebih RM4,000 sehari, tetapi sejak pertengahan bulan meningkat kepada tidak kurang RM5,200 projek tranformasi kedai runcit (TUKAR) dilaksanakan kerajaan menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Pemiliknya, Mahmud Mohamad, 47, berkata beliau bertuah kerana diberi peluang oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNK) untuk melaksanakan perubahan terhadap perniagaan menjual barangan runcit kering dan basah milik keluarganya itu sejak 15 Februari lalu. Katanya, menerusi projek TUKAR, kerajaan bukan saja menyediakan dana untuk membaik pulih susun atur kedai kepada lebih sistematik, pengurusan akaun dan barangan lebih baik, malah turut menyediakan khidmat rundingan untuk memastikan kedai runcit dapat berdaya saing.

"Daripada maklum balas awal, pelanggan berpuas hati dengan susun atur dan kebersihan serta lebih tertarik untuk membeli di kedai ini," katanya yang ditemui sempena kunjungan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini, semalam.

Mahmud yang memiliki tiga pekerja adalah antara tiga pemilik kedai runcit yang sudah mengalami transformasi menerusi projek TUKAR di seluruh negara sejak ia dilancarkan awal tahun ini.

TUKAR adalah antara Peneraju Projek Permulaan (EPP) bertujuan untuk memodenkan kedai runcit tradisional bagi meningkatkan daya saing dalam persekitaran perniagaan peruncitan yang kompetitif.
Menerusi ETP, bidang pemborongan dan peruncitan antara 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang diberi tumpuan oleh kerajaan ialah dalam bidang pemborongan dan peruncitan.

Seorang lagi pemilik Pasar Mini Baru Merlimau, Francisca Jayanathan, 44, yang mengambil alih pengurusan kedai runcit daripada mendiang bapanya sejak tiga tahun lalu, kini mampu tersenyum puas apabila perniagaannya itu mampu meraih hasil jualan tidak kurang RM3,000 sehari, berbanding sebelum ini hanya antara RM1,500 hingga RM1,900.

Katanya, beliau memang berminat menaik taraf perniagaan diusahakan mendiang bapanya sejak tujuh tahun lalu tetapi tidak tahu untuk berbuat demikian.

"Hasil keprihatinan kerajaan menerusi projek TUKAR mampu mengubah nasib peniaga kedai runcit seperti saya dan saya berterima kasih kepada semua pihak khususnya KPDNK yang memberikan peluang untuk saya mengembangkan perniagaan," katanya.

"Ada pelanggan yang terkejut dan secara spontan mengatakan salah masuk kedai kerana kagum dengan perubahan yang dilakukan terhadap susun atur dan kekemasan kedai," katanya yang yakin jumlah pelanggan ke kedai runcitnya akan terus meningkat.

INFO: Kedai runcit moden

  • TUKAR adalah antara Peneraju Projek Permulaan memodenkan kedai runcit tradisional bagi meningkatkan daya saing dalam persekitaran perniagaan yang kompetitif.

  • Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan