Utusan Online - Rencana |
Posted: Cabaran getir menanti BNKEPUTUSAN buruk yang diperolehi oleh Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, tidak pernah dijadikan alasan oleh parti berkenaan untuk terus meratapinya. Sebaliknya, apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih pucuk pimpinan negara, Perdana Menteri melakukan pelbagai perubahan sama ada dalam pentadbiran kerajaan mahu pun parti. Lanjutan daripada kesungguhan itu, biarpun berhadapan dengan pelbagai tekanan daripada pakatan pembangkang, BN kini boleh dianggap berada di landasan yang betul untuk kembali memenangi hati rakyat. Namun begitu bagi Naib Presiden UMNO, DATUK SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN, biarpun BN dikatakan semakin berjaya meraih sokongan rakyat tetapi ia bukanlah alasan untuk bersenang lenang. Sebaliknya beliau menganggap cabaran kerajaan BN akan lebih getir lagi pada tahun depan, terutamanya dalam melakukan persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13. Dalam pertemuan dengan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR, MOHD. ASRON MUSTAPHA dan Jurugambar AMIN FARIJ HASAN di kediamannya, di Kuala Lumpur, beliau memberikan pandangan mengenai cabaran BN tersebut. UTUSAN: Selepas tsunami politik 2008 wujud desakan supaya dilakukan perubahan dalam Barisan Nasional (BN) dan UMNO serta kepimpinan negara, apakah sekarang ini perubahan itu sudah lengkap atau belum? HISHAMMUDDIN: Kita kena lihat konteks sejarah iaitu terdapat satu putaran di mana wujud keadaan turun naik dalam semua tamadun. Sekiranya, kita mampu bertahan bila mana putaran itu menurun, selepas itu secara semula jadi ia akan naik semula. Kita lihat dalam sejarah UMNO pun, suatu ketika dulu kita berdepan ancaman daripada Pas sehingga menyaksikan perpecahan di kalangan masyarakat Melayu. Pada ketika itu, parti-parti komponenlah yang menjadi benteng memastikan BN dapat bertahan. Bila masa berjalan dan dengan kebijaksanaan kepimpinan pada masa itu maka, kita dapat meniti perubahan sebelum putaran tersebut naik semula. Maknanya, kita telah keluar daripada proses penurunan itu namun, ini tidak bermakna kita masih dalam zon selesa kerana orang ramai mahu melihat dan merasai transformasi itu. Jawapan kepada soalan ini ialah kita dalam proses itu lagi (perubahan). Sekarang ini kita bukan dalam zon selesa tetapi dalam zon di mana kita boleh menentukan sedikit sebanyak dengan transformasi yang diumumkan Perdana Menteri. Perdana Menteri telah memperkenalkan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan mulai tahun depan kita akan laksanakan pula Pelan Transformasi Politik (PTP). Kalau dilaksanakan dengan baik dan dirasai oleh orang ramai, mungkin perubahan-perubahan ini akan mencorak landskap negara kita untuk 53 tahun mendatang. Bagaimana pula dengan perubahan dari segi kepimpinan MCA dan MIC, sejauh mana mereka boleh membantu BN? Perkara ini banyak berkisar kepada apa yang Perdana Menteri sebut masa konvensyen BN lalu. Beliau memberi ingatan supaya jangan kita khayal, jangan berada dalam keadaan penafian, jangan kita lupa asas-asas perjuangan, jangan kita jumud dan jangan kita angkuh. Dalam konteks parti komponen, kita bagi peluang kepada mereka untuk memperbetul rumah tangga masing-masing. Kerana seperti yang saya kata tadi, bila masa Melayu berpecah dan UMNO berada dalam keadaan lemah, parti komponenlah yang memberi ruang kepada kita untuk bertahan. Contohnya, sewaktu UMNO berpecah semasa tertubuhnya Parti Melayu Semangat 46 dan sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat. Kita berdepan dengan pelbagai ujian, ini baru 53 tahun dan jangan kita bandingkan negara kita dengan demokrasi yang jauh lebih matang seperti di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat, mereka telah merdeka ratusan tahun. Kita ada acuan dan bentuk kita sendiri tetapi transformasi tetap kita lakukan berasaskan kebijaksanaan, sejarah, konsisten, realistik serta keberanian. Kita mesti berubah kerana kalau tidak nasib UMNO dan BN bakal sama dengan sejarah hitam yang menimpa parti Kuomintang di Taiwan, Parti Kongres di India, Golkar di Indonesia serta Parti Liberal Demokratik di Jepun. Kita bersyukur kerana walaupun berlaku keputusan mengejutkan pada 2008 tetapi, Allah masih lagi beri peluang kepada UMNO dan BN untuk mentadbir bagi melakukan transformasi. Sebab itu, hendak memimpin negara dalam keadaan sekarang bukan mudah, kerana kita berdepan dengan landskap serta cabaran yang jauh berbeza. Kita berdepan dengan cabaran ekonomi, politik, cabaran dunia tanpa sempadan, cabaran berhubung kait dengan keterbukaan dan kebebasan yang pada masa sama perlu diimbangi dengan hak majoriti. Jadi nak memimpin sekarang bukan mudah dan hasil perubahan yang dilakukan oleh Perdana Menteri dalam masa 20 bulan sangat memuaskan. Transformasi di peringkat pusat nampak cantik tetapi bagaimana di peringkat akar umbi? Transformasi secara menyeluruh termasuk di akar umbi dapat dilaksanakan dengan kesungguhan kerana saya melihat tahun 2011 begitu mencabar kerana ia bakal menentukan kelangsungan politik sama ada kepada pembangkang mahu pun kerajaan. Jadi, dalam hal ini penting untuk kita betul-betul mengenal pasti dan mewujudkan kefahaman mendalam di semua lapisan pemimpin termasuk parti-parti komponen. Semua pihak kena turun ke bawah, terangkan kepada rakyat kerana transformasi yang dibawa oleh pucuk pimpinan di peringkat nasional perlu diperjelas agar tidak timbul politik persepsi. Faktor yang bakal menentukan kita berjaya atau tidak ialah, sejauh mana semua pimpin di segenap lapisan mampu atau tidak turun ke bawah bagi menyampaikan mesej sekali gus membuktikan bahawa apa yang dilakukan kerajaan bukan retorik. Ini penting kerana saya percaya menjelang tahun depan lebih banyak perkara pelik yang sebelum ini tidak pernah berlaku akan dibangkitkan pembangkang. Ia hanya dapat diselamatkan jika kita betul-betul bergerak sebagai satu pasukan dan di sinilah kepimpinan parti komponen kena duduk bersama-sama. Bolehkah kejayaan BN dalam beberapa pilihan raya kecil termasuk sokongan daripada pengundi muda dijadikan ukuran bahawa sokongan terhadap BN sudah pulih? Kita kena faham bahawa politik hari ini tidak berkisar kepada politik kepartian, banyak perkara dan formula tempatan yang mempengaruhi sesuatu keputusan. Kita selalu dengar winnable candidates (calon boleh menang), itulah yang menjadi faktor penting dan kebelakangan ini Alhamdulillah, kemenangan itu memberi semangat bahawa BN tidaklah berada dalam keadaan gawat. Bila semua kriteria positif dalam mencari pemimpin yang bersifat winnable candidates diambil kira dan selepas itu kita hadamkan ia kepada orang ramai, maka, rakyat akan menyokong dan mengundi kita tetapi kalau formula tidak kena, calon salah, bahagian bermasalah, parti komponen tidak bergerak, kita tidak bersatu, kita tidak memperjelaskan dasar-dasar baru, akhirnya kita akan kalah teruk. Nak kata kemenangan ini petanda kita dalam zon selesa, saya rasa tidak banyak lagi kerja nak kena buat. BN dilihat masih sukar untuk mendapat sokongan kaum tertentu terutamanya undi masyarakat Cina, adakah BN kini sudah berada di landasan untuk mendapat sokongan itu? Sokongan itu banyak bergantung kepada PTP yang akan dimulakan tahun depan tetapi sekarang dalam konteks BN kita sudah membuat transformasi. Sebelum konvensyen, kita telah pinda Perlembagaan BN, sama juga dengan UMNO selain komitmen Perdana Menteri untuk turun ke negeri-negeri mulai tahun depan. Jadi penerimaan kaum-kaum lain terhadap BN banyak bergantung kepada imej, pendekatan, fahaman dan juga hubungan di antara semua parti komponen. Kalau kita bercakap benda ini (sokongan masyarakat Cina) 20 bulan lepas, semua orang tidak akan percaya sebab pembangkang janjikan segalanya. Pengundi yang terpengaruh berpandangan ini landskap baru politik Malaysia dan kita kena beri peluang kepada mereka (pembangkang), tetapi apabila hendak terjemah dalam konteks kepimpinan, mereka perintah lima negeri pun tak terkawal. Jadi dalam isu sokongan kaum-kaum lain ini, saya rasa lebih baik untuk kita melihat ke hadapan bersama-sama dengan parti komponen tetapi jangan terlalu ghairah dengan pendekatan sama yang dilakukan pembangkang kerana landskap dah berubah. Bagaimana Datuk Seri melihat kenyataan Lim Guan Eng yang menuduh BN menggunakan 3R (Race, Religion dan Raja) untuk raih pengaruh? Itu merupakan minda pemikiran yang mereka cuba hantui masyarakat dan pengundi-pengundi muda masa pilihan raya umum lalu, di mana mereka serang institusi, pemimpin, parti dan sebagainya dengan mengatakan bahawa segala yang tidak baik dilemparkan kepada kita tetapi Alhamdulillah, hari ini kita sudah dapat menunjukkan bahawa selain daripada pentadbiran mereka sendiri, kedudukan parti pembangkang termasuk DAP berdepan dengan masalah. Tanya Guan Eng apa berlaku dalam DAP, di mana suara orang Melayu, di mana suara orang India? Apa pembelaan dilakukan kepada kaum minoriti di Pulau Pinang. Kalau dulu mereka boleh menuduh kita macam-macam kerana BN pada ketika itu berada dalam keadaan suasana yang sukar untuk kita tepis dan tangkis tetapi sekarang kita boleh tunjuk balik kepada mereka bahawa pembangkang cakap tak serupa bikin. Masalahnya, apa yang diperkatakan DAP itu disokong oleh Pas dan PKR yang kita tahu majoritinya orang Melayu. Dalam sejarah, ini pertama kali di mana kita tengok mereka yang seagama dan sebangsa sanggup mengiakan sesuatu kerana merasakan bahawa sudah terlalu dekat dan hampir boleh merampas takhta daripada BN. Jadi kerana merasakan sudah terlalu dekat dah ada lima negeri yang mereka perintah, mereka sanggup ketepikan prinsip dan ketepikan perasaan peribadi. Namun, lama kelamaan orang akan tengok ideologinya, sama ada betul atau tidak tiga parti pembangkang ini boleh duduk satu meja dan kita boleh tengok dari segi keangkuhan serta keghairahan untuk merampas kuasa oleh individu tertentu, bolehkah mereka memenuhi kehendak semua parti. Cuma nasihat saya kepada UMNO dan BN, jangan kita melihat kelemahan parti pembangkang ini sebagai kekuatan kepada kita, ia membantu tetapi kita sendiri kena buat transformasi serta kena lakukan muhasabah diri kerana orang akan menentukan masa depan BN bukan kerana kelemahan parti pembangkang tetapi kerana visi, keberanian, konsistensi serta transformasi yang dibawa oleh UMNO dan BN. Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp |
‘Menghadam’ maklumat transformasi Posted: 'Menghadam' maklumat transformasiOleh Saranan Salleh SUATU kaji selidik yang dikendalikan oleh Merdeka Centre mendapati 52 peratus daripada responden yang dikaji selidik tidak tahu tentang program transformasi ekonomi dan daripada 48 peratus yang tahu, 80 peratus daripada mereka memberitahu tidak tahu banyak tentang program tersebut. Kurang daripada setengah 47 peratus daripada mereka yang dikaji selidik menganggap program-program transformasi ini akan membawa negara kita ke arah negara berpendapatan tinggi. Ada dua pilihan kepada yang berkenaan untuk melayan maklum balas ini. Pertama, tidak usah dipedulikan kerana maklum balas begini tidak penting dan hanya akan mematahkan semangat mereka yang berfahaman bahawa transformasi ini adalah satu-satunya usaha yang bakal membawa perubahan besar. Kedua, mengambil kira maklum balas ini kerana mereka yang memberikan maklum balas pada hari terbuka program transformasi tempoh hari mempunyai kepentingan sendiri. Kalau hendak diambil kira maklum balas ini, perlulah sesuatu dilakukan supaya maklumat yang penting sampai kepada fahaman rakyat seperti yang dikehendaki. Dalam ilmu komunikasi penghantar mesej tidak boleh membuat andaian yang penerima maklumat mempunyai kerangka rujukan sama seperti penghantar maklumat. Banyak maklumat yang dihantar boleh disalah interpretasi atau tafsir atau ditokok tambah mengikut kerangka rujukan si penerima. Dalam kajian tersebut dinyatakan walaupun sudah banyak maklumat disebarkan tentang program transformasi ekonomi ini tetapi masih rendah lagi tahap kefahaman rakyat. Ini bermakna banyak lagi maklumat yang perlu disampaikan kepada rakyat. Mungkin roadshow ke setiap negeri perlu diadakan supaya wakil-wakil dari kampung dan daerah dapat menghadiri ceramah ini. Lapisan masyarakat yang bakal dijemput ini tentulah berbeza dengan mereka yang hadir pada hari terbuka tempoh hari. Apakah penting atau tidak pentingnya rakyat biasa memahami apa yang dilakukan? Atau mereka yang terbabit dengan pelaksanaan program ini sahaja yang perlu ambil tahu, seperti penjawat awam dari peringkat atas sehingga bawah. Mereka ini bakal melaksanakan program-program berjiwa besar. Kemudian kita juga berhadapan dengan penyebar maklumat yang tidak dipelawa seperti di dalam blog-blog dan alam siber. Mereka ini sedikit sebanyak akan melentur pemikiran masyarakat awam. Mahasiswa adalah satu-satunya kumpulan rujuk yang berpengaruh yang membaca blog-blog ini dan bila balik bercuti menceritakan kepada ibu bapa mereka fahaman mereka yang tidak semestinya pengertian yang dikehendaki oleh pihak yang bertanggungjawab. Dua minggu lalu, saya ada menulis tentang risiko program besar-besaran ini. Pertama risiko daripada pelaksanaannya dan kedua risiko dari segi kewangan. Walaupun kerajaan dijangka membelanjakan lapan peratus daripada RM1.3 trilion dalam masa 10 tahun ini bererti sebanyak RM104 bilion perlu digembeling. Kita memerlukan pertumbuhan tidak kurang enam peratus setiap tahun sehingga 10 tahun untuk mencapai hasrat menjadi negara berpendapatan tinggi. Pertumbuhan ini banyak bergantung kepada respons daripada sektor swasta kita. Kita tidak boleh berharap sangat dengan pelabur asing kerana pelabur asing ini banyak juga kerenah mereka dan kalau mereka tahu yang kita ini terlampau 'terdesak' sangat, mereka tentu akan jual mahal. Tinggallah syarikat kita yang diharap akan menjana pertumbuhan yang dijangka itu. Apakah mereka ini akan sanggup bertukar haluan dan mengarahkan pelaburan mereka balik ke sini? 92 peratus daripada RM1.3 trilion ialah satu angka yang besar. Mereka yang terbabit dengan projek-projek kemasukan ini akan terpaksa menjual bon kepada orang ramai dari luar dan dalam negeri untuk membiayai projek-projek mereka. Ambil contoh MRT yang bernilai RM36 bilion, tentu sebahagian daripada pakej kewangan pembiayaan melibatkan penjualan bon untuk tempoh matang beberapa tahun. Baik orang luar mahupun orang dalam negeri, mereka akan menjual bon sebagai salah satu jalan pembiayaan. Tidak ada seorang pun yang akan meletakkan 'hard cash' untuk sesuatu projek, kecuali mungkin PNB dengan menara 100 tingkatnya. Ada baiknya kita melihat apa yang berlaku di Dubai dengan pelbagai rancangan mega mereka yang akhirnya terbengkalai dan bon mereka tidak dapat ditebus balik. Kini, sesetengah hartanah di sana dijual pada paras 20 peratus nilai asal mereka. Dubai juga mempunyai hasrat untuk menjadi tempat yang terulung di Timur Tengah dengan ramai orang bank berkejar ke sana memberikan pinjaman sehinggalah 'belon' hartanah mereka pecah. Siapakah yang bakal mendapat manfaat daripada Menara Warisan 100 tingkat tersebut misalnya? Macam bangunan KLCC hendak menyewa untuk ruang pejabat pun ramai yang tak mampu. Kemudian ruang untuk jualan, berapa kerat sangat orang Melayu yang mampu berniaga di sana. Sewa tetap akan terus naik sehinggalah tidak terdaya untuk menyewa lagi. Sebagai suatu institusi yang bertanggungjawab dengan pelaburan, bukankah PNB patut melihat peluang-peluang untuk mengembangkan sayap mereka keluar negara dalam bidang-bidang yang menguntungkan dan berkongsi pulangan daripada pelaburan luar tersebut dengan pemegang unit. Kita lihat dalam tahun 2008 dulu semasa krisis kewangan global, banyak institusi antarabangsa seperti Citicorp, UBS, Morgan Stanley tersungkur sehingga memerlukan penyelamat. Kita patut mengambil peluang tersebut dan memperluaskan portfolio pelaburan kita ke luar negara, terutama sekali yang mampu memberikan pulangan yang menguntungkan. Memanglah hartanah pun suatu pelaburan tetapi di mana letaknya bidang kepakaran PNB? Hartanah atau pelaburan portfolio? DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia) |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan