Utusan Online - Utara |
- 7,757 hektar sawah Bujang terbiar
- Kongres Melayu P. Pinang ditubuhkan bantu Melayu
- Hakisan sungai kian serius ancam penduduk
7,757 hektar sawah Bujang terbiar Posted: 7,757 hektar sawah Bujang terbiarOleh OPAT RATTANACHOT
SUNGAI PETANI 18 Mac - Gara-gara sistem pengairan air tidak sempurna sejak 14 tahun lalu, 7,757 hektar sawah di kawasan Bujang dekat sini menjadi 'padang jarak padang tekukur' kerana padi tidak menjadi. Keadaan yang melanda sejak 1962 itu dikesan semakin parah, terutama pada musim tanaman padi bermula setiap tahun. Lebih membimbangkan, ia memberikan kesan secara langsung kepada hampir 600 pesawah ekoran mereka tidak memperoleh hasil yang diharapkan. Seorang petani, Abdullah Othman, 77, memberitahu, kawasan tersebut yang merupakan kawasan Skim Pengairan Ban Merbok bergantung sepenuhnya kepada taburan hujan. Katanya, kemarau berpanjangan kebelakangan ini menyebabkan taburan hujan berkurangan dan mungkin boleh menjejaskan tanaman padi musim baru bermula penghujung bulan ini. "Masalah ini berlarutan sekian lama dan belum ada jalan penyelesaian. "Selain itu, keadaan di sini diburukkan lagi dengan tanah yang berasid dan masam. Padi yang ditanam tidak mampu mengeluarkan hasil, malah ada kalanya tidak menjadi sama sekali," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Seorang pesawah, Zikri Othman, 49, pula berkata, disebabkan masalah pengairan yang tidak sempurna, pesawah mengalami kesukaran untuk memulakan proses menanam padi. "Sehingga hari ini, sawah padi kering-kontang dan kami tidak dapat membajak sawah kerana ketika mahu melakukan proses membajak air sangat diperlukan untuk melembutkan tanah," katanya. Beliau juga mencadangkan supaya sistem pengairan yang sempurna dapat disalurkan dengan segera ke kawasan itu. Bagi seorang anak petani, Md. Shukri Shuib, 32, ada di antara pesawah di kawasan itu tidak lagi mengusahakan sawah mereka secara serius selepas tidak memperoleh hasil seperti yang diharapkan. "Kebanyakan petani terpaksa mencari pekerjaan lain bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga. "Anak-anak muda juga tidak berminat mengusahakan sawah di sini kerana keadaan persekitaran tidak mengizinkan," katanya. Md. Shukri menambah, pihaknya pernah menyuarakan masalah itu kepada kerajaan negeri untuk membantu. Bagaimanapun, ia tidak mendapat perhatian atau maklum balas daripada pemimpin kerajaan negeri. "Kerajaan negeri berhasrat menjadikan Kedah sebagai negeri pertanian maju setanding dengan Belanda. "Namun, agak mengecewakan apabila ia tidak diberikan perhatian langsung, malah wakil rakyat yang menjadi tempat bergantung harap, hilang entah ke mana," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Kongres Melayu P. Pinang ditubuhkan bantu Melayu Posted: Kongres Melayu P. Pinang ditubuhkan bantu MelayuPULAU PINANG 18 Mac - Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) yang ditubuhkan bulan lalu akan menjadi satu platform baru untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh orang Melayu di negeri ini. Presidennya, Rahmad Isahak berkata, dalam melaksanakan misi dan visinya itu, KMPP menolak seratus peratus demonstrasi jalanan atau bantahan yang disifatkan hanya merugikan golongan itu sendiri. Sebaliknya, kata beliau, KMPP akan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dan kerajaan DAP Pulau Pinang untuk membantu orang Melayu di negeri ini yang menghadapi masalah, terutama berkaitan kebajikan, sosial, pekerjaan serta ekonomi mereka. ''KMPP merupakan pertubuhan bukan kerajaan yang tiada kaitan dengan mana-mana parti politik. KMPP ditubuhkan khusus untuk membuat satu lonjakan dan paradigma baru bagi membantu orang Melayu di negeri ini supaya berdaya saing. ''Semuanya akan kita lakukan secara rundingan. Kita menolak sebarang bentuk bantahan atau demonstrasi jalanan kerana cara ini tiada kesudahannya dan tidak membawa apa-apa keputusan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam. Turut hadir barisan Anggota Jawatankuasa KMPP yang telah dilantik. Menurut Rahmad, pihaknya juga sedia membantu orang bukan Melayu di negeri ini yang memerlukan bantuan atau khidmat nasihat. Sementara itu, kata beliau, KMPP yang ditubuhkan pada 16 Februari lalu itu kini sedang memproses 4,000 borang keahlian mereka yang berminat menyertai kongres berkenaan. Jelasnya, keahlian KMPP dibuka kepada seluruh penduduk dan sesiapa yang tinggal di negeri ini dengan hanya perlu mengisi borang dan mengemukakan bayaran masuk RM10 dan yuran bulanan RM2. ''Justeru, orang ramai yang memerlukan bantuan atau khidmat nasihat berkaitan sebarang masalah berkaitan ekonomi atau perniagaan boleh terus ke pejabat KMPP di 410 E Jalan Jelutong di sini atau boleh menghubungi saya 019-4718509 atau Setiausaha KMPP, Mohd. Noor Abdul Kader 012-4129487. ''Bantuan yang kami sediakan bukan hanya untuk ahli sahaja, malahan mereka yang bukan ahli tetapi mempunyai masalah juga boleh datang kepada kami. Kami akan cuba membantu," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Hakisan sungai kian serius ancam penduduk Posted: Hakisan sungai kian serius ancam penduduk
TASEK GELUGOR 18 Mac - Lebih 10 keluarga di Kampung Lahar Yooi di sini, kini dilanda kebimbangan berikutan masalah hakisan Sungai Kerek di perkampungan itu yang semakin serius sehingga mengancam keselamatan mereka. Menurut penduduk, hakisan di sungai itu dikesan menjadi lebih teruk setiap kali hujan lebat apabila arus deras air sungai memukul tebing sehingga meruntuhkannya ia sedikit demi sedikit. Malah, ada penduduk yang mendakwa mengalami kerugian apabila hakisan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu itu menyebabkan tanah mereka semakin mengecil. Sehubungan itu, penduduk mahu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera, termasuk mendalamkan sungai berkenaan bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini. Seorang penduduk, Sulaiman Md. Daud, 65, berkata, kehidupan keluarganya tidak tenteram terutamanya pada musim tengkujuh kerana bimbang rumah mereka akan dihanyutkan air deras. ''Hakisan semakin menghampiri rumah dalam jarak lima meter sahaja dan kami sekeluarga kini hidup dalam kebimbangan mengenangkan rumah ini boleh dihanyutkan jika tiada tindakan dilakukan," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Warga emas, Ahmad Abdul Rauf, 90, pula mendakwa, hakisan di tebing sungai itu menyebabkan beliau mengalami kerugian apabila keluasan tanah miliknya yang terletak berdekatan kawasan itu semakin berkurangan. Lebih dikesali, katanya, masalah itu sudah diajukan kepada pihak berkenaan, tetapi sehingga kini tiada langkah sewajarnya dilakukan. ''Dulu kawasan ini menjadi tempat kanak-kanak bermain bola, tetapi sekarang ia telah dihakis dan menjadikan keluasan tanah sekitarnya juga semakin mengecil. ''Malah, pokok buah-buahan yang terdapat di situ juga telah musnah. Sekarang hakisannya menghampiri belakang rumah saya. Kami bimbang rumah akan dihanyutkan arus jika tiada tindakan segera dibuat," ujarnya. Seorang lagi penduduk, Othman Samad, 80, berkata, JPS pernah mendalamkan sungai itu, tetapi tidak membina benteng hakisan sehingga menyebabkan masalah tersebut berulang. Sementara itu, Pegawai Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Hasbul Hazani Daud yang meninjau kawasan berkenaan, memberi jaminan perkara itu akan dipanjangkan kepada JPS supaya tindakan mendalamkan Sungai Kerek dapat dilakukan segera. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan