Ahad, 6 Mac 2011

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Lagi pertahan batik

Posted:

Lagi pertahan batik

Lagi pertahan batik

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my


RADIAH Abd. Rahman menunjukkan deretan kain batik sutera di kedainya di Kota Bharu, baru-baru ini.


KOTA BHARU 5 Mac - Penggiat dan peminat industri batik di negeri ini terus membidas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mentohmah batik tempatan sebagai jelik dan berkualiti rendah.

Pemilik Batik Roby, Radiah Abd. Rahman, 49, atau lebih dikenali sebagai Umi Rubi yang berniaga lebih 23 tahun di Pasar Siti Khadijah dekat sini berkata, batik buatan tempatan terutama dari negeri ini tidak boleh langsung dibandingkan dengan batik Indonesia.

Katanya, sambutan untuk batik tempatan tidak pernah surut dan peminat tetap mencarinya sekali pun harganya di sini semakin mahal akibat peningkatan kos kain sutera.

Jelasnya, dengan harga antara RM200 hingga RM600 sepasang, perniagaan batik masih mampu memberi keuntungan lumayan buat penggiatnya meskipun terdapat sedikit saingan daripada kain buatan Vietnam.

"Bagaimana kita hendak bandingkan sesuatu yang dicetak dengan mesin seperti batik Indonesia dengan batik kita yang dilukis 100 peratus dengan tangan?

"Itulah seni yang kita tonjolkan dalam setiap kain batik yang tiada satu pun yang serupa antara satu sama lain, itulah juga yang dicari peminat batik ke kedai saya. Orang Jepun dan Perancis yang datang membeli apabila saya tanya sebabnya, mereka beritahu sukakan seni lukisan tangan pada batik," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau mengulas kenyataan Anwar yang memperlekehkan batik Malaysia dalam syarahan umum di Indonesia yang dipetik oleh Awang Selamat dalam kolum Bisik-Bisik Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Dalam syarahan bertajuk Kebebasan dan Musuh-Musuhnya diadakan sempena Festival Salihara 2010 Jakarta pada Oktober tahun lalu, Anwar berkata: "Mahu pakai batik Indonesia, dikatakan saya ini antinasional. Mahu pakai batik Malaysia, orang Indonesia bilang jelik sebab ciri kesenian itu cukup rendah dan saya setuju. Tapi saya tidak mahu sebut di Malaysia. Jadi, saya akhirnya memilih batik Afrika."

Radiah yang berdarah keturunan Indonesia berkata, batik tempatan menggunakan kain sutera import China berkualiti tinggi yang sejuk dan tidak mudah renyuk, sudah pastinya lebih baik serta bermutu daripada batik negara jiran itu.

"Batik kita yang dikatakan mahal inilah banyak dicari peminat dan pelancong. Kalau mahukan yang murah, pembatik kita juga ada hasilkan batik cop tetapi biasanya ia untuk kegunaan sekolah dan jabatan yang memerlukan baju batik seragam," katanya.

Radiah menambah, sejak usaha gigih Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood mempromosikan batik ke seluruh dunia dan arahan agar kakitangan kerajaan memakai batik pada setiap Khamis ditetapkan semasa era bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, jualan batiknya meningkat sehingga 70 peratus sebulan berbanding 10 tahun lalu, sehingga mampu membuka sebuah cawangan di Sandakan.

Sementara itu, seorang pengunjung pasar itu yang ditemui, Salmah Hashim, 49, dari Johor Bahru berkata, dia lebih meminati batik tempatan kerana mendapati corak dan lukisan yang dihasilkan pembatik amat cantik sekali.

"Selain selesa dipakai, kecantikan corak batik Kelantan tiada tandingannya dengan tempat lain, kalau hendak bercakap tentang batik, di sinilah tempatnya yang harus dituju," katanya.

Seorang lagi penggemar batik, Siti Nurul Hatikah Hasan Pahami, 28, dari Pasir Mas pula berkata, batik Indonesia hanya dicari apabila mahu menggunakan kain sarung.

"Ia lebih panjang dan biasanya orang guna untuk menutup jenazah, lebih sesuai," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

7 staf awam Terengganu muflis

Posted:

7 staf awam Terengganu muflis

7 staf awam Terengganu muflis

KUALA TERENGGANU 5 Mac - Seramai tujuh penjawat awam di negeri ini termasuk dua pegawai diisytiharkan muflis akibat hutang sepanjang tahun lepas.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mazlan Ngah memberitahu, sebahagian daripada mereka merupakan penjamin kepada pihak peminjam, manakala sebahagian lagi dibebani hutang kad kredit.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, kesemua mereka masih dibenarkan berkhidmat dengan kerajaan negeri tetapi ditempatkan di unit pentadbiran berlainan berbanding sebelumnya.

"Tahun lalu terdapat tujuh kes kakitangan kerajaan negeri diisytiharkan muflis. Mereka didapati gagal membayar balik pinjaman bank," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Hari Keluarga Kelab Wisma Darul Iman di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Mazlan diminta mengulas kemungkinan terdapat kalangan penjawat awam Terengganu yang diisytiharkan muflis kerana dibelenggu beban hutang pinjaman yang serius.

Khamis lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, seramai 1,086 penjawat awam di negara ini diisytihar muflis oleh Jabatan Insolvensi pada 2009.

Pengisytiharan muflis itu disebabkan penjawat awam terbabit dibelenggu hutang yang serius.

Sehubungan itu, Mazlan meminta kerjasama semua ketua jabatan di negeri ini supaya sentiasa memantau kakitangan bawahan bagi memastikan mereka memohon pinjaman mengikut keupayaan sendiri.

Katanya, walaupun gejala itu tidak serius di negeri ini, langkah pemantauan perlu dilakukan agar mereka tidak terperangkap dengan hutang berlebihan sehingga menjejaskan perkhidmatan.

Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata, sepanjang tahun lalu dua orang penjawat awam dibuang kerja kerana salah laku.

"Dua penjawat awam ini dibuang kerja pada tahun lalu bersabit dengan kes mahkamah," katanya sambil menambah setakat ini terdapat kira-kira 11,000 kakitangan yang berkhidmat dengan kerajaan negeri.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

JPJ anjur derma darah

Posted:

JPJ anjur derma darah

JPJ anjur derma darah


WAN Rozali Wan Ismail melihat anggota JPJ menderma darah di pejabat JPJ Bukit Bunga, baru-baru ini.


TANAH MERAH 5 Mac - Lebih 80 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Bunga tampil menjayakan kempen derma darah bagi mengisi tabung darah Hospital Tanah Merah.

Kempen tersebut yang diadakan di Pejabat JPJ Bukit Bunga dekat sini kelmarin, turut menarik penglibatan kakitangan agensi kerajaan lain, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk tempatan.

Ketua Stesen JPJ Bukit Bunga, Wan Rozali Wan Ismail berkata, pihaknya terpanggil mengadakan kempen tersebut bagi membantu hospital mendapatkan bekalan darah untuk kes-kes kecemasan.

"Kebanyakan kakitangan tidak mempunyai banyak masa untuk ke hospital bagi menderma darah kerana sibuk dengan tugas.

"Dengan menjemput pihak hospital ke pejabat JPJ, ia memberi kesempatan kepada mereka untuk menderma darah bagi membantu individu yang memerlukan," katanya di sini.

Menurut Wan Rozali, sebagai dorongan, pihaknya turut menyediakan hadiah berupa hamper kepada 20 penderma pertama.

Beliau berkata, melihat kepada sambutan yang diberikan, pihaknya bercadang menjadikan kempen yang kali kedua diadakan sebagai acara tahunan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan