Utusan Online - Rencana |
Posted: Jangan tangguk di air keruhOleh SAIFUL HAIZAN HASAM
HASRAT Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk berundur sebenarnya sudah dua kali dinyatakan sejak awal tahun ini, masing-masing sewaktu berucap dalam program Sejiwa Senada di Mukah dan Betong. Kelmarin, ia sekali lagi diulangi oleh Abdul Taib dan ia dilihat sebagai satu pernyataan yang serius kerana dizahirkan pada program Sejiwa Senada Bahagian Samarahan yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Perdana Menteri yang berucap selepas itu, turut mengulas pengumuman Abdul Taib yang disifatkannya sebagai seorang 'Ayahanda' dengan satu ingatan yang cukup tegas iaitu jangan mana-mana pihak cuba membuat desakan berhubung pengunduran itu. Kata Najib, soal pengunduran itu biarlah hanya dibincangkan antara beliau dan Abdul Taib sendiri dan ingatan itu sekali lagi diulangi pada sidang akhbar di Bilik VIP, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sebelum berangkat ke ibu negara. "Apabila sampai masa yang paling sesuai untuk berundur, Pehin Sri (Abdul Taib) akan memaklumkan kepada saya," katanya. Justeru, ingatan Perdana Menteri itu perlu dihayati semua pihak dan tidak perlulah ada mana-mana pemimpin yang cuba menangguk di air keruh dengan harapan akan terpilih sebagai Ketua Menteri. Memang ada beberapa nama disebut-sebut sebagai pengganti yang layak, seperti dua pemimpin kanan Parti Pesaka Bumiputera (PBB) iaitu Timbalan Presiden II, Datuk Abang Johari Tun Openg dan Naib Presiden Kanan, Datuk Awang Tengah Ali Hassan. Ada juga pihak yang menyebut Ketua Penerangan PBB, Tan Sri Adenan Satim dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Effendi Norwawi masih mempunyai peluang. Sebenarnya, nama-nama ini bukannya sesuatu yang baru bagi rakyat Sarawak kerana ia telah lama tersebar. Bagi tukang gosip politik, pelbagai teori dicipta, umpamanya teori STATE yang berinspirasikan teori RAHMAN yang dikaitkan dengan siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri bagi merasionalkan peluang Effendi. Menurut mereka, S merujuk kepada Ketua Menteri pertama, Datuk Stephen Kalong Ningkan, T merujuk kepada Datuk Penghulu Tawi Sli (Ketua Menteri kedua), A merujuk kepada Tun Abdul Rahman Ya'kub (Ketua Menteri ketiga), T merujuk kepada Abdul Taib dan E pula merujuk kepada Effendi. Begitulah kreativiti tukang gosip politik, pelbagai teori dicipta namun hakikatnya Sarawak hanya memerlukan seorang sahaja Ketua Menteri dan dalam politik sesiapa sahaja mempunyai peluang untuk naik ke atas. Ia telah berlaku di peringkat kepimpinan Pusat dan negeri-negeri lain, sudah acap kali pemimpin yang tidak dijangka dilantik sebagai pemimpin nombor satu. Rezeki Allah tiada siapa yang tahu. Kerana itu, soal kepimpinan yang bakal berubah tidak sepatutnya mengalihkan fokus Barisan Nasional (BN) Sarawak untuk berhadapan dengan 'perang besar demokrasi' yang akan diadakan tidak lama lagi. Apa yang lebih penting ialah kemenangan BN kerana ia akan menjadi indikator sokongan rakyat kepada kerajaan di peringkat nasional. Ketua Pemuda PBB, Datuk Fadillah Yusof turut berkongsi sentimen yang sama apabila meminta kepimpinan pemuda parti itu menyelami ingatan Perdana Menteri bahawa perubahan mesti dibuat secara teratur dan berhati-hati. "Sama ada di peringkat pusat dan negeri, peralihan kuasa mesti berlaku sebaik mungkin. Paling utama ialah kesinambungan perancangan pembangunan. "Apabila berlaku perubahan, ia mestilah memperkukuhkan apa yang telah dibina baik dari segi politik mahupun sosio ekonomi dan pemimpin baru itu mestilah menerima penghormatan dari semua sektor, bukan sahaja politik bahkan ekonomi," tegasnya. Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Asajaya, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Abdul Taib perlu diberi ruang untuk membuat keputusan dan beliau sebagai ahli politik yang amat berpengalaman pastinya akan melakukan yang terbaik untuk seluruh rakyat Sarawak. "Kita berdiri teguh di belakang Ketua Menteri dan jangan ada mana-mana pemimpin baik dalam BN mahupun dari luar membuat desakan. "Sudah pasti satu hari nanti kita akan bertemu pemimpin yang baru, bak kata pepatah Melayu, patah tumbuh hilang berganti," katanya yang merupakan Ketua Setiausaha Politik Abdul Taib. Mengulas mengenai antara cabaran pemimpin baru kelak, Abdul Karim berkata ia adalah berkaitan mempertahankan perpaduan rakyat berbilang bangsa di Sarawak. "Beliau (Abdul Taib) amat hebat menyatukan rakyat baik Melayu, Cina, Dayak dan Orang Ulu sehingga tiada satu pun yang tersisih. "Sukar untuk mencari pemimpin sebegini, sesiapa yang mengambil alih kelak perlu mencari formula untuk mengekalkan apa yang telah berjaya dilakukan Pehin Sri (Abdul Taib)," katanya. Turut mengulas hasrat pengunduran itu ialah Ahli Parlimen Santubong, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menyatakan harapan supaya pemimpin baru nanti tidak mengetepikan landasan pembangunan negeri yang telah dirangka Abdul Taib. Katanya, jika mahu melakukan perubahan sekalipun ia hanya dalam aspek pelaksanaan, bukannya misi yang digariskan. "Kalau tidak ada kesinambungan, akan hilanglah hala tuju Sarawak yang telah dirancang dengan baik selama ini," tegasnya. Beliau juga berharap tiada tekanan diberikan kepada Abdul Taib untuk berundur kerana sesuatu perkara yang penting tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa. "Saya selalu berkata dalam persidangan antarabangsa berkaitan demokrasi, jangan paksa kita (Malaysia) untuk berbuat sesuatu. "Negara kita ada program tersendiri, begitu juga dengan Pehin Sri, beliau ada program dan tempoh masa yang ditetapkan," katanya yang melahirkan keyakinan bahawa Sarawak tidak pernah tandus kepimpinan yang berkualiti. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Teknologi terkini Polis Selangor Posted: Teknologi terkini Polis SelangorOleh ASSIM HASSAN
PEREDARAN masa dan kewujudan pelbagai teknologi masa kini dilihat mampu membantu pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengurangkan kadar jenayah. Malah, teknologi juga dilihat meningkatkan kecekapan pihak polis untuk memperoleh maklumat yang disalurkan oleh pengadu dengan cepat agar tindakan sewajarnya boleh dilaksanakan segera. Selari dengan kecanggihan teknologi yang ada, Polis Selangor mengambil inisiatif menggunakan kemudahan itu untuk membantu mengekang jenayah di negeri tersebut. Penggunaan telefon bimbit pintar (Smartphone) boleh membantu ahli-ahli Rakan Cop di kawasan-kawasan panas menyalurkan maklumat dengan hanya menekan ikon 'help' yang terdapat dalam aplikasi PDRM di telefon bimbit pintar masing-masing. Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, pihaknya merangka beberapa strategi baru dalam memastikan negeri itu sentiasa berada dalam keadaan selamat. Jelasnya, kemudahan teknologi yang ada masa kini digunapakai bagi membantu mengurangkan sekali gus mencegah jenayah di negeri tersebut. Antara projek perintis yang bakal dilaksanakan Polis Selangor adalah kemudahan penyampaian maklumat daripada ahli-ahli Rakan Cop kepada pihak polis dengan menggunakan telefon bimbit pintar. "Polis Selangor sentiasa memandang ke hadapan untuk membantu orang ramai termasuk meningkatkan keyakinan mereka terhadap keselamatan di negara ini. "Kita akan memberi nilai tambah (value added) kepada ahli-ahli Rakan Cop dengan menggunakan telefon bimbit pintar di kawasan-kawasan panas," katanya. Melalui satu ikon di dalam telefon bimbit pintar, ahli Rakan Cop mempunyai satu aplikasi PDRM dan ikon 'help'. Setiap ahli Rakan Cop yang mempunyai masalah atau berdepan dengan bahaya hanya perlu menekan ikon itu. Secara automatik, sistem kedudukan global (GPS) di pusat kawalan polis akan berupaya mengesan lokasi mereka. Ini akan memudahkan orang ramai tanpa perlu menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) selain membolehkan polis segera pergi ke lokasi terbabit. Kemudahan ini adalah untuk setiap ahli Rakan Cop Polis Selangor dan mereka boleh mendaftar untuk seberapa banyak rumah di negeri itu. Jika sesuatu berlaku di rumah ketika ketiadaan mangsa, dan kejadian itu dimaklumkan oleh jiran, ahli Rakan Cop juga boleh menekan ikon 'help' dan anggota peronda akan segera ke lokasi tersebut. Buat masa ini, aplikasi itu digunapakai oleh Polis Selangor sahaja dan akan mula dilaksanakan mulai Mei depan untuk ahli Rakan Cop di kawasan-kawasan panas di seluruh negeri itu. Menurut Tun Hisan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar juga telah dimaklumkan mengenai strategi ini dan mengarahkan agar Polis Selangor melaksanakannya dahulu sebagai projek perintis. Selain itu, Tun Hisan memberitahu, pihaknya kini menempatkan beberapa anggota polis di stesen transit aliran ringan (LRT) di Selangor bagi meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap keselamatan di kawasan tersebut sekali gus merasai peranan polis. Penempatan anggota polis itu akan dibantu oleh polis bantuan dan pihaknya hanya akan menempatkan anggota di beberapa kawasan LRT yang mempunyai indeks jenayah yang tinggi serta kawasan panas. Program ini turut melibatkan penyertaan anggota Pasukan Gerakan Am yang sebelum ini bertugas di kawasan-kawasan sempadan negara. Tidak dinafikan, negeri Selangor juga merupakan antara negeri yang diberi perhatian oleh kerajaan dalam mengurangkan indeks jenayah keseluruhan lima peratus dan jenayah jalanan sebanyak 20 peratus. Menurut Tun Hisan, pihaknya tidak menetapkan atau mensasarkan apa-apa sasaran kecuali yang ditetapkan kerajaan. Bagaimanapun, Polis Selangor berazam melakukan perubahan dan membantu menurunkan indeks jenayah, khususnya jenayah jalanan. Bagi Polis Selangor, mereka bukan hanya mahu mencapai indeks prestasi utama (KPI) yang ditetapkan tetapi apa yang penting adalah masyarakat berasa selamat dan mengubah persepsi mereka terhadap pasukan itu. "Bila kita kata jenayah turun, memang kita boleh kukuhkan kenyataan itu dengan statistik tetapi masyarakat masih rasa tidak betul dan tidak yakin termasuk masih ada yang skeptikal terhadap keupayaan polis. "Sebenarnya, kita tidak boleh berasa seronok apabila kita kata jenayah turun kerana masyarakat masih berasa takut dengan keadaan sekeliling. "Apa yang perlu kita buat adalah bagaimana mahu 'memerangi' persepsi masyarakat itu. Saya tidak boleh buat sendiri atau dengan anggota dan pegawai saya. Ia mesti dilakukan bersama dengan masyarakat melalui kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap PDRM," ujar beliau. Menurutnya, keyakinan dalam diri masyarakat adalah bahawa keupayaan pihak polis perlu diubah dan bersama-sama dengan pasukan itu membantu mengurangkan jenayah. Sepanjang Januari hingga 15 Mac 2011, indeks jenayah keseluruhan berjaya dikurangkan kepada 11.36 peratus, manakala jenayah jalanan sebanyak 24.51 peratus. Ini bukan tandanya Polis Selangor mahu mendabik dada atas kejayaan itu, namun ia boleh memberi jaminan bahawa indeks jenayah boleh dikurangkan dan menjadikan Selangor negeri yang selamat untuk orang ramai. Selaku ketua yang mengepalai Polis Kontinjen Selangor, Tun Hisan mengakui pihaknya mempunyai cabaran dalam memastikan pelan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ini berjaya. Bagaimanapun jelasnya, cabaran paling utama adalah untuk mengubah mentaliti di kalangan pegawai dan anggota polis terutamanya dalam suasana serta pendekatan kerja baru selain berbeza selepas pelbagai transformasi yang dilakukan. "Selain itu, cabaran yang saya hadapi ialah memperoleh keyakinan dan mendapat kerjasama daripada masyarakat agar sama-sama mengurangkan kadar jenayah di Selangor," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan