Jumaat, 18 Mac 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Aksi riang di Taman Tasik Perdana

Posted:

Aksi riang di Taman Tasik Perdana

Aksi riang di Taman Tasik Perdana

Oleh Roslah Othman


TAMAN Tasik Perdana tidak lagi sunyi pada waktu tengah malam apabila ramai kanak-kanak dibawa oleh ibu bapa untuk bermain di taman permainan yang turut dilengkapi binaan berupa istana ala Eropah. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN


Detik 12 malam
DENYUT nadi ibu negara tidak pernah terhenti. Walaupun sudah melepasi detik 12 tengah malam, di sana sini masih banyak aktiviti yang dilakukan oleh warga kota.

Kerana itu, semakin banyak premis perniagaan terutama yang berkaitan makanan dibuka 24 jam bagi memenuhi permintaan dan gaya hidup warga kota.

Bagi yang sudah berkeluarga, tengah malam tidak semesti waktu untuk melelapkan mata khususnya pada hujung minggu.

Sesekali membawa anak-anak menikmati panorama indah Kuala Lumpur selepas pada waktu malam mungkin tidak ada salahnya, kalau kena pada tempatnya.

Antara tempat yang boleh dimanfaatkan oleh ibu bapa untuk membawa anak-anak ialah ke taman-taman awam di sekitar ibu kota.

Berbanding taman-taman lain, Taman Tasik Perdana dilihat paling menjadi tumpuan sebagai destinasi riadah keluarga pada waktu petang hujung minggu sehingga ke tengah malam.

Sejak usaha menaiktarafkan taman berkenaan kepada Taman Botani yang telah pun memasuki fasa kedua, dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), lokasi itu terus menjadi pilihan ramai.

Selain landskap yang cantik, kemudahan taman permainan yang pelbagai turut menjadi sebab utama lokasi ini menjadi tumpuan keluarga.

Keakraban malam dengan pengunjung taman itu jelas dapat dilihat sewaktu tinjauan yang dilakukan oleh S2 baru-baru ini.

Jeritan keriangan kanak-kanak bermain di gelanggang permainan yang disediakan langsung tidak membawa gambaran sifat malam itu sendiri yang gelap dan menakutkan.

Cahaya lampu neon yang melimpahi pekarangan taman permainan itu benar-benar memberi kanak-kanak terbabit kepuasan untuk bermain sepuas-puasnya tanpa ada rasa bimbang.

Pilihlah apa sahaja, sama ada bermain buaian, gelongsor mahupun bermain badminton.

Penyediaan kemudahan rekreasi yang mesra pengguna juga telah menambah kelebihan kepada taman ini untuk pengunjung bersukan dan beriadah.

Bagi ibu bapa, bangku yang disediakan di kawasan berhampiran cukup memudahkan pergerakan anak-anak dipantau. Malah mereka juga boleh memanaskan badan melalui peralatan senaman khusus bagi golongan dewasa yang turut disediakan di situ.

Salah seorang ibu yang ditemui, Eliza Mohamad, 33, berkata, sejak mendirikan rumahtangga, malam minggu menjadi pilihannya untuk membawa anak-anak beriadah bersama.

Dia yang menetap di Gombak berkata, Taman Tasik Perdana biasa menjadi pilihan kerana persekitaran yang menarik dan kemudahan yang disediakan.

"Biasanya kami bertolak dari rumah pukul 8 malam dan menghabiskan kira-kira empat atau lima jam di sini. Kami hanya akan pulang selepas anak-anak kepenatan," ujarnya.

Turut sependapat dengan Eliza ialah Mazlina Abdullah, 34. Dia yang tinggal di Sentul mengakui, selain dekat dengan rumahnya, suasana yang menarik di taman itu menjadi penyebab utama mereka sekeluarga memilih lokasi tersebut.

"Suasana di sini lebih sesuai untuk mereka yang sudah berkeluarga kerana peralatan yang disediakan juga bukan sahaja menepati cita rasa kanak-kanak, tetapi juga ibu bapa," ujarnya.

Seorang bapa, Syed Faisol Syed Zulkifli, 33, pula berkata, memandangkan isterinya bertugas pada waktu malam, itulah aktiviti yang sering dilakukan bersama dua anak perempuannya berusia empat dan dua tahun.

Dia yang menetap di Ampang berkata, mereka menghabiskan masa antara tiga hingga lima jam di situ.

"Biasanya saya dan anak-anak berkunjung ke sini pada pukul 10 malam hingga lewat tengah malam," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Nota eksklusif Mona Fandey sebelum mati

Posted:

Nota eksklusif Mona Fandey sebelum mati

Nota eksklusif Mona Fandey sebelum mati

KAMARIAH AHMAD MENULIS
AKU mulakan tulisan ini dengan nama Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Mengasihani. Hatiku kian sebak hanya kerana Allah Maha Esa Maha Mengetahui. Kenapa? Mengapa? Kerana Allah SWT yang menentukan segala-galanya.

Sebelum ini aku tidak pernah mengerti apakah yang dikatakan bahagia. Aku bertanya kepada teman. Ada yang mendefinisinya sebagai suatu keadaan perasaan. Ya, gembira satu perasaan.

Ada pula orang kata, gembira tidak mengisi atau menepati makna bahagia. Namun, aku pasti ia suatu keluarbiasaan. Tetapi, dapatkah merasainya?

Akhirnya aku menemuinya, aku berasa sungguh bahagia, tiada kata-kata untuk diungkapkan. Bahagia ini datang menerpa jiwaku dengan tiba-tiba. Saat itu aku di dalam Masjid Nabawi di Madinah.

Pertama kali aku melangkah masuk ke masjid nan suci itu. Masjid menempatkan makam kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW, junjungan kita. (Ketika itu aku mengerjakan umrah pada 2008. Tahun berikutnya, dengan izin Allah SWT aku dapat menunaikan haji, Alhamdulillah).

Aku masih ingat lagi saat-saat itu. Pada masa itu, aku sebak, sedih bercampur. Ya, rasa 'bahagia' atau rasa yang menerjah kalbu. Dengan air mata, aku menadah tangan mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Ya Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih, aku datang dari jauh dan mendirikan solat di Masjid Nabawi.

Di Madinah yang menyaksikan pengorbanan dan perjuangan junjungan besar kita untuk menyelamatkan kita daripada kejahilan. Aku berasa hampir dengan-Mu, Ya Allah. Di benakku, aku menghitung hari seterusnya berpeluang mendirikan solat di Masjidil Haram di Makkah pula, dengan izin-Nya. Pasti perasaan bahagia ini berulang-ulang selama aku di tanah suci.

Sebagai manusia yang mempunyai perasaan, pengalaman duniawi menjamah jiwaku. Menjalankan tugas sebagai wartawan mahkamah menemukanku dengan hamba-hamba-Nya yang tersisih daripada masyarakat. Setiap hari aku melihat pemandangan yang akan mengecutkan jiwa kecil.

Saban hari aku melihat tertuduh diberkas dan diganding untuk dihadapkan ke muka pengadilan. Mereka akan mendapat hukuman kerana melanggar undang-undang jenayah dan sivil.

Di tanah suci, ingatanku kembali kepada mereka, terutama sepasang suami isteri. Dan, hati terdetik, jikalau pasangan suami isteri itu tahu kebesaran Allah. Sedarkah mereka akibat perbuatan yang akan menerima azab Allah kelak. Azab-azab yang diulang-ulang dalam firman Allah dan hadis Rasul. Hatiku mengeluh, sekiranya mereka mengingati Allah SWT semua ini tidak akan berlaku.

Tetapi, ustaz pernah mengajar, tidak perlu kata 'kalaulah' kerana semua yang berlaku itu satu ketentuan Allah SWT. Aku menghadiahkan al-Fatihah kepada kedua-duanya. Ya Allah ampunkan mereka berdua, doaku untuk mereka di masjid suci itu. Umum tahu siapakah pasangan yang meninggalkan nama.

Nama sebagaimana? Nama yang dirujuk sebagai kes-kes jenayah dalam pengajian bidang guaman? Rentetan hidup pasangan ini menjadi bualan waktu itu. Mereka pergi sebagai manusia yang dikenali kerana jenayah dilakukan. Tetapi adakah orang yang terfikir untuk ambil kisah mengapa jenayah sedemikian terjadi?

Mengimbas pengalaman lama, lebih lima bulan aku dan rakan-rakan wartawan membuat liputan kes perbicaraan pasangan ini di Mahkamah Tinggi Temerloh, sekitar tahun 1994/95. Isterinya mesra dengan nama Mona Fandey. Suaminya, Mohd. Affandi Abdul Rahman. Kedua-duanya menyara hidup dengan mendakwa sebagai bomoh.

Mereka diberkas dan dibicarakan atas tuduhan membunuh Allahyarham Datuk Mazlan Idris yang pada masa itu wakil rakyat negeri Pahang. Satu pembunuhan yang teramat kejam.

Aku tidak ingin mengungkit kembali fakta yang dibentangkan dalam kes mereka. Hanya untuk membawa pembaca mengenangkan arwah Mona Fandey. Dia seorang wanita ayu. Mona Fandey seperti wanita lain juga. Dia ada impian untuk berjaya dalam hidup. Salah satu impiannya ingin jadi penyanyi.

Mona Fandey seorang isteri yang sangat mencintai suaminya. Dia meluahkan perasaan hatinya dalam nota autograf yang aku ambil daripadanya dan kini tersimpan sebagai khazanah peribadi. Bunyinya ringkas:

"Saya ingin hidup dan mati bersama suamiku."

Ya, dia mencapai keinginannya itu. Dia mati bersama-sama suaminya. Mereka berdua dihukum gantung sampai mati atas kesalahan membunuh di bawah jenayah berat undang-undang Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sepanjang pasangan itu dibicarakan, mahkamah penuh sesak. Pada satu ketika timbul kejadian mistik yang sehingga sekarang jadi persoalan tanpa jawapan. Pada suatu pagi kes mereka, tiba giliran doktor forensik yang bedah siasat anggota mayat mangsa yang mati dalam keadaan ngeri dikerat-kerat 18.

Hadirin di mahkamah senyap sunyi. Cerita doktor terasa ngeri, seram remang bulu roma. Tidak semena-mena kedengaran bunyi 'keruk-keruk'. Para hadirin memandang sesama sendiri.

Dada akhbar esoknya memaparkan bermacam versi yang kebanyakannya mengatakan satu bunyi menakutkan. Tetapi Utusan Malaysia melaporkan berita eksklusif. Pada petang itu, aku memperoleh maklumat daripada sumber bahawa ia adalah bunyi itik-itik jawa Mona Fandey yang mati beragan (kelaparan) di Kampung Hulu Dong, Raub.

Seorang wartawan wanita pula yang menemui Mona Fandey di lokap untuk bertanya resolusi tahun baharu, pada malamnya dikatakan mengigau menghempas muka ke lantai simen tandas hinggakan pipi dan bibir berdarah.

Aku masih ingat, Mona Fandey memberi amaran kepada wartawan supaya tidak menokok tambah apa yang dikatakannya pada masa dia bersama-sama suami dan pembantunya, Juraimi Husin dibawa menaiki trak untuk balik ke Penjara Kajang. Hukuman mati sudah dijatuhkan.

"Saya nak senyum." Itu kata-kata akhir Mona Fandey kepadaku apabila ditanya apa yang akan dibuatnya menghabiskan sisa-sisa waktu di penjara. Manakala Mohd. Affandi pula kata, dia hendak beramal ibadat dan Juraimi mengatakan dia hendak mengaji al-Quran.

Semasa itu, fikiranku terasa berat. Mona Fandey kata dia nak senyum? Kata-katanya mengandungi amaran pula supaya tidak tokok tambah. Sepanjang perjalanan balik ke ibu pejabat Utusan, aku tidak berhenti berfikir. Apabila sampai di pejabat, aku cerita kepada Ketua Pengarang ketika itu dan beberapa editor yang memberi pandangan berbeza mengenai kata-kata Mona Fandey.

Seorang editor berpandangan, ada sesuatu yang 'tak kena' pada wanita ini. Namun aku jawab, tidak. Kata-kata Mona Fandey dalam maknanya. Aku beri hujah bahawa simboliknya dia pasrah nasib yang telah menimpa dirinya.

Keesokannya, keluar tajuk besar Utusan Malaysia, "Saya nak senyum." Waktu itu akhbar Utusan Malaysia laris macam goreng pisang panas. Apabila dikenangkan, aku pun rasa nak senyum. Kenapa? Akhbar berbahasa Cina turut mengambil kesempatan memaparkan gambar-gambar yang dikatakan seolah-olah mendewakan wanita ini.

Hal ini berlaku di peringkat dia hadir perbicaraan di mahkamah. Aku masih ingat bagaimana dia menonjolkan diri dengan keterampilan berpakaian kemas bermacam fesyen pada setiap hari. Jelas dia seorang wanita yang mempunyai cita rasa tinggi kepada kemewahan.

Cita-cita yang tidak kesampaian Mona Fandey untuk menjadi penyanyi. Dalam ceritanya kepada hakim, Mona Fandey mendakwa ketika pegawai polis menyoal siasat, dia minta untuk menyanyi.

Dalam filem Hindustan, katanya, orang tidak jemu menonton sebab hero bercinta menyanyi, putus cinta menyanyi, masak di dapur menyanyi dan mengiring orang mati pun menyanyi. Apa yang menariknya, Mona Fandey meminta izin hakim agar dibenarkan dia menyanyi sebuah lagu dalam mahkamah.

Hakim bijaksana tidak membenarkan. Jika dibenarkan pasti gempar mahkamah jadi pentas hiburan. Aku berdoa kepada Allah SWT untuk mengampunkan dosa semua hamba-Nya dan diberi taufik serta hidayah kepada yang masih terpesong.

Bahagia menjelma apabila kita dapat merasai keesaan-Nya. Kebahagiaan yang abadi. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada ketiga-ketiga hamba-Nya ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan