Selasa, 1 Mac 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Kg. Baru: Realiti atau retorik?

Posted:

Kg. Baru: Realiti atau retorik?

Kg. Baru: Realiti atau retorik?

ISU pembangunan Kampung Baru yang terletak di tengah bandar raya Kuala Lumpur bukanlah perkara baru kerana ia sering diperkatakan sejak lebih 20 tahun lalu.

Bagaimanapun, isu itu kembali hangat dibincangkan apabila Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru 2010 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 14 Disember lalu dan dijangka diluluskan pada sesi Mac ini. Dalam mengupas isu itu, Utusan Online telah menganjurkan program Sembang Online dengan tajuk Pembangunan Kampung Baru: Realiti atau Retorik.

Program kali ini disertai Pemangku Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, DATUK JOHARI ABDUL GHANI dan Pengarah Urusan Kumpulan Zikay, DATUK MOHD. KHAY IBRAHIM yang terlibat membangunkan hotel dan kondominium bernilai RM190 juta di kampung itu, bagi berkongsi pandangan dan pengalaman mereka. Berikut adalah sedutan wawancara dua panel jemputan tersebut bersama Pengarang Kanan Online, GAMAL NASIR MOHD. ALI.

UTUSAN: Apakah cadangan terbaru pembangunan Kampung Baru masih retorik atau boleh menjadi realiti?

JOHARI: Apabila kita hendak bercerita soal realiti atau retorik, kita perlu membahagikannya kepada tiga perkara iaitu akta, kewujudan perbadanan dan pembangunan.

Jika kita lihat sekarang, kerajaan menerusi Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar telah membentangkan satu draf akta untuk pembangunan Kampung Baru. Bermakna hal ini sudah boleh dilihat secara fizikal, bukan lagi retorik. Kalau dibandingkan dengan 10 atau 20 tahun dahulu, kita bercakap..., tetapi tiada yang nyata.

Cuma, draf akta ini mempunyai banyak perkara yang perlu dibincangkan secara terperinci dengan mengambil kira suara tuan-tuan tanah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kampung Baru yang merasakan bahawa sebahagian daripada akta ini tidak bersesuaian dan tidak memenuhi cita rasa mereka.

Keduanya, persoalan berkenaan perbadanan. Ia juga akan wujud. Namun perkara ketiga, iaitu pembangunan..., saya tidak nampak realitinya. Pembangunan adalah perkara paling sukar dilakukan kerana ia melibatkan tiga pihak iaitu kerajaan, tuan-tuan tanah dan permintaan pasaran hasil daripada pembangunan tersebut. Jika kerajaan dan tuan tanah telah bersetuju dalam soal harga, namun permintaan pasaran tidak bersesuaian, ia masih tidak berguna.

Sebagai seorang penduduk Kampung Baru dan usahawan yang turut berpeluang untuk membangunkan perkampungan ini, bagaimana Datuk melihat cadangan terbaru ini?

MOHD. KHAY: Saya bersetuju dengan Datuk Johari memandangkan kawasan Kampung Baru seluas 234 ekar (93.6 hektar). Jika tiada satu akta untuk menyelaraskan perancangannya maka berkecamuklah kawasan tersebut. Jika sudah berkecamuk, kita tidak akan dapat nilai sebenar terhadap tanah-tanah tersebut.

Jadi, akta ini perlu tetapi intipati pada akta berkenaan perlu dibincang secara bersama antara pihak kerajaan dan penduduk.

Tentang harga pula, kita andaikan harga satu kaki persegi RM350, kita ada 234 ekar maknanya nilai tanah di Kampung Baru adalah RM4.2 bilion. Itu kalau kita letak RM350 satu kaki persegi, kalau kita letak harga lebih tinggi iaitu RM500 atau RM600, harganya mencecah RM6 bilion. Jumlah ini memerlukan satu badan untuk menyelarasnya secara lengkap.

Boleh Datuk terangkan secara ringkas berkenaan penambahbaikan yang perlu dibuat terhadap akta terbabit?

JOHARI: Ketika dibentangkan kali pertama, akta ini telah menakutkan orang. Contohnya, kuasa menteri adalah mutlak maknanya tidak boleh didakwa. Apabila menteri itu berbuat sesuatu, ia harus dilaksanakan. Itulah maksud tersirat yang difahami pemilik tanah di Kampung Baru. Jadi, kuasa mutlak ini kena diubah sedikit.

Akta itu turut mencadangkan pembubaran Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS). Bagi penduduk, apa salahnya dikekalkan kerana badan ini dianggap sebagai lambang yang menjaga kepentingan mereka.

Selain itu, banyak orang Kampung Baru ingat apabila bentang akta itu, mesti bentang harga. Harga sebenarnya tertakluk kepada pasaran. Untuk menunjukkan keikhlasan kerajaan dalam menyatakan pasaran tanah di Kampung Baru ini bernilai tinggi, kerajaan perlu membuat pengisytiharan (dalam akta) bahawa seluruh tanah di Kampung Baru ini ditukar kepada tanah komersial. Ini sekali gus akan membolehkan harganya naik berlipat kali ganda.

Pandangan Datuk terhadap sikap ragu kebanyakan pemilik tanah terhadap cadangan terbaru membangunkan Kampung Baru?

MOHD. KHAY: Apabila sesuatu hal telah dibincangkan lebih daripada 20 tahun, tetapi tiada apa yang terjadi, saya pun berasa ragu.

Tetapi kini, kita nampak usaha kerajaan yang lebih konkrit dalam membentangkan akta dan hendak menubuhkan perbadanan. Jadi saya sarankan, jika 20 tahun dulu tidak jadi, kini kita kena jadikan ia sebagai realiti kerana kita generasi ketiga.

Kalau tidak buat sekarang, generasi keempat dan kelima tidak boleh buat kerana tanah itu akan dibahagikan kepada lebih ramai pewaris sehingga menyukarkan segala perancangan. Jadi, kita kena positif dan perlu memulakannya dahulu. Nescaya, ramai yang akan mengikutnya.

Betulkah isu utama yang ingin diketahui pemilik tanah adalah berapa harga tanah mereka?

JOHARI: Apabila kerajaan telah membuat keputusan untuk memberi status pusat bandar raya komersial dan mempermudahkan nisbah plot, itu secara tidak langsung telah meningkatkan nilai tanah daripada tanah pertanian biasa kepada nilai di dalam lingkungan RM800 sehingga RM1,200 sekaki persegi.

Cuma saya mahu tekankan, pihak kerajaan atau mana-mana pemaju perlu mengambil kira bahawa tanah di Kampung Baru bukan seperti tanah di dalam hutan. Kebanyakannya menjadi penjana pendapatan kepada pemiliknya melalui sewaan rumah dan juga mempunyai orang yang menetap di situ. Perkara ini perlu diambil kira pemaju dan kerajaan sebelum memajukan tanah tersebut.

Bersediakah pemilik tanah menyerahkan tanah yang kini menjana pendapatan tetap untuk dibangunkan?

MOHD. KHAY: Saya rasa semua pemilik tanah perlu melihat ke depan. Memang semua tanah di sini telah menjana pendapatan, sewaan rumah sampai RM4,000 sebulan. Tetapi kalau kita bangunkan tanah tersebut, insya-Allah kita akan dapat berpuluh-puluh kali ganda lebih banyak.

Memang ada satu soalan, iaitu hendak makan apa dalam tempoh tiga tahun tanah dimajukan. Oleh itu, sesiapa sahaja yang hendak memajukan tanah ini, kena mewujudkan mekanisme supaya pemilik tanah tidak 'mati kebuluran.' Kita pun tak nak orang Melayu daif dalam masa tiga tahun itu.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Survival parti dalam PRU-13

Posted:

Survival parti dalam PRU-13

Survival parti dalam PRU-13

Oleh Saifuddin Abdullah

SEMPENA ulang tahun ketiga Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 8 Mac ini, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) menganjurkan forum bertajuk 'Survival Parti Politik Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)'. Ahli panelnya terdiri daripada Nurul Izzah Anwar, Mohd Nasir Zakaria dan saya sendiri, manakala moderatornya ialah Profesor Dr. Mohd Redzuan Othman.

Pada saya, PRU-13 akan ditentukan oleh amalan 'politik baru', yang menjadi judul buku saya (2008). Politik baru terdiri daripada dua komponen, iaitu integriti politik dan governans baru. Ia perlu dilengkapi dengan pemikiran politik progresif dan inovasi demokrasi. Integriti politik berasaskan perjuangan. Ia berdasarkan tiga rukun iaitu idealisme, aktivisme dan intelektualisme serta amalan politik ilmu, politik hikmah dan politik bakti.

Governans baru merujuk kerangka pengurusan negara yang lebih segar. Kini, ia terlalu berorientasikan kerajaan/politik. Kerangka governans baru melibatkan ketiga-tiga sektor pembangunan (kerajaan/politik, perniagaan dan masyarakat sivil) sebagai rakan yang saksama.

Dalam konteks ini, BN serius melakukan perubahan. Satu daripadanya ialah pemikiran progresif yang sesuai dengan keperluan universal dan kontemporari. Contohnya ialah Gagasan 1Malaysia serta transformasi kerajaan dan ekonomi yang diilhamkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebahagian rakyat menolak BN atas faktor-faktor lazim, seperti politik wang, rasuah, sistem penyampaian lemah dan sebagainya. Tetapi, di samping itu, terdapat sebahagian intelektual, profesional, kelas menengah dan belia (termasuk mahasiswa), yang menolak BN kerana ketinggalan dalam pemikiran politik. Sebab itu, BN mula mencetuskan pemikiran politik progresif tentang demokrasi, penghakupayaan, partisipasi, kerajaan, kesaksamaan gender, pembangunan lestari dan sebagainya.

Gagasan 1Malaysia ialah komitmen BN dalam membina masyarakat baik yang berteraskan budaya ilmu, pembinaan tamadun, keadilan sosial, partisipasi demokratik, pengagihan ekonomi dan kelestarian alam sekitar. Kita sedar terdapat rakyat, terutamanya belia yang skeptikal dan sinis terhadap politik. Mujurnya mereka masih percaya terhadap demokrasi.

Namun, kepercayaan itu disekalikan dengan gesaan pembaharuan demokrasi yang melampaui sistem dan institusi yang diamalkan kini. Inilah antara iktibar daripada gerakan prodemokrasi di Timur Tengah sekarang.

Justeru, kita perlu melakukan inovasi demokrasi. Matlamatnya ialah meningkatkan partisipasi rakyat dalam struktur dan proses membuat keputusan. Sebagai Ahli Parlimen, saya berinovasi dengan menubuhkan Majlis Perundingan Parlimen Temerloh (MPPT) yang dianggotai perwakilan kerajaan/politik, perniagaan dan masyarakat sivil.

Antara kuasa utama PRU-13 ialah belia, iaitu 49.7 peratus daripada pemilih. Ini lebih besar daripada 40 peratus pada PRU-12. Prasyarat kefahaman terhadap partisipasi belia dalam politik ialah dengan mengiktiraf tiga permintaan utamanya iaitu belia mahu suaranya didengar, peranannya diiktiraf, dan isu-isunya ditangani dengan berorientasikan belia.

Kita perlu menyelami ciri-ciri partisipasi politik belia iaitu hubungan belia dan politik yang bersifat multi-dimensi; bentuk, makna dan alasan belia untuk berpartisipasi; mengenal pasti bagaimana belia belajar tentang partisipasi politik; dan kesaksamaan gender, iaitu partisipasi belia wanita.

Cara, corak dan citra politiknya mungkin berbeza dengan kita. Kita perlu menyelami minda mereka untuk menghakupayakannya agar dapat mengoptimumkan potensi politiknya. Sebahagian daripada belia ialah mahasiswa. Apabila saya mencadangkan mahasiswa dibenarkan menganggotai parti politik, ia mempunyai dua matlamat, iaitu memenuhi haknya sebagai warganegara dan mematangka demokrasi kita.

Kini, BN memberi lebih tumpuan kepada belia. Satu daripada gelanggang yang diterjuninya lebih bersungguh-sungguh ialah dunia maya. Namun, ia masih perlu banyak penambahbaikan, terutamanya dari segi kandungan dan pendekatannya.

Mutakhir ini, pelbagai langkah telah dilakukan untuk lebih memahami belia. Antaranya ialah perjumpaan tidak rasmi, perbincangan, konvensyen, kajian dan makmal yang melibatkan perwakilan belia. Melalui langkah-langkah ini, banyak idea telah diluahkan oleh mereka.

Sebahagian daripada idea itu telah dilaksanakan dalam bentuk program dan aktiviti yang konkrit. Bagaimanapun, masih banyak belum diambil tindakan. Kini, belia menunggu, melihat dan menilai. Adakah kita benar-benar serius dalam merealisasikan idea mereka itu? Atau, kita sekadar mendengar kosong iaitu untuk menunjukkan yang kononnya kita meraikan mereka, tetapi tidak lebih daripada itu? Umpama melepaskan batuk di tangga sahaja?

Justeru, menjelang PRU-13, jika ada perkara pokok yang mesti dilakukan untuk belia, maka, ia adalah untuk benar-benar memenuhi permintaan mereka. PRU-12 telah memberikan keputusan signifikan kepada pihak pembangkang. Mereka berjaya menafikan BN kedudukan dua pertiga dalam Dewan Rakyat. Pihak pembangkang kini menguasai empat buah negeri.

Ada yang menjangka bahawa kehidupan yang diwarnai oleh BN selama lebih 50 tahun telah berakhir. Ia telah memberikan harapan kepada penyokongnya bahawa reformasi akan berlaku.

Tetapi, kini perasaan optimis itu semakin pudar. Ini disebabkan beberapa faktor. Harapan penyokongnya bahawa pihak pembangkang akan menjadi kuasa yang benar-benar kuat ternyata meleset. Ramai pemimpin besar PKR keluar parti. Walaupun parti-parti komponen BN tidak terlepas daripada masalah sama, tetapi jumlah dan jawatan besar meninggalkan PKR dalam tempoh masa yang singkat menghampakan penyokongnya.

Janji membentuk kerajaan pada 16 September 2008 gagal. Sebaliknya, sejumlah wakil rakyat pembangkang meninggalkannya.

Penyokongnya menyaksikan pergaduhan dalaman di kalangan wakil-wakil rakyat pihak pembangkang. Terdengar tuduhan rasuah berlaku di kalangan kepemimpinannya. Mereka dipersoalkan sama ada berada dalam politik untuk berbakti kepada rakyat atau lebih memenuhi kepentingan peribadi. Pemilihan kepemimpinan PKR dilanda banyak masalah. Perkembangan-perkembangan negatif ini mula menghakis keyakinan penyokongnya. Ramai mula bertanya, mampukah mereka membetulkan diri sendiri? Mampukah mereka membentuk kerajaan yang berwibawa?

Pada masa yang sama, BN memulakan transformasi politik. Dari satu segi, pindaan Perlembagaan BN tentang keahlian terus adalah manifestasi pemikiran politik progresif. Ia akan menghasilkan dua kesan. Pertama, ia memperkasa BN dan kedua, ia langkah ke hadapan ke arah pembinaan iklim politik yang lebih terbuka, inklusif dan segar, yang akan meningkatkan partisipasi rakyat, terutamanya belia dalam politik.

Ketika pihak pembangkang masih tercari-cari formula pembentukan parti gabungan, BN telah melangkah ke hadapan dengan melakukan satu transformasi politik yang berasaskan pengharapan dan cabaran semasa dan sejagat.

Kesimpulannya, dalam PRU-13, parti yang dilihat rakyat mengamalkan politik baru akan mendapat sokongannya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan