Ahad, 13 Mac 2011

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Sektor pendidikan subsidi tertinggi

Posted:

Sektor pendidikan subsidi tertinggi

Sektor pendidikan subsidi tertinggi

Oleh YUSRI SAHAT
utusanpahang@utusan.com.my

BERA 13 Mac – Kerajaan membelanjakan berbilion ringgit setahun untuk memastikan setiap rakyat mendapat pendidikan sempurna.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sektor pendidikan menjadi keutamaan kepada kerajaan apabila menyalurkan subsidi paling tinggi berbanding sektor lain.

"Bukti yang menunjukkan subsidi pendidikan merupakan paling tinggi ialah ia disalurkan sejak kanak-kanak memasuki sekolah tadika hingga ke peringkat universiti.

"Dalam pembentangan bajet di Dewan Rakyat setiap tahun, sektor pendidikan akan diberi keutamaan berbanding sektor lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis anugerah pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Penilaian Menengah Rendah serta menutup kursus motivasi anak-anak yatim tingkatan lima peringkat Parlimen Bera di Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Kerayong di sini hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, subsidi pendidikan yang disalurkan oleh kerajaan termasuk untuk buku teks dan makanan.

"Ibu bapa hanya perlu membayar yuran sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru" katanya.

Selain subsidi, jelas beliau, kerajaan juga membantu ibu bapa tidak berkemampuan bagi membolehkan anak-anak mereka bersekolah.

"Tiada alasan buat ibu bapa tidak berkemampuan untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah kerana kerajaan sentiasa membantu mereka," katanya.

Sehubungan itu, tegas beliau, semua pihak tidak perlu mempertikaikan kerajaan kononnya mengabaikan kebajikan rakyat untuk mendapatkan pendidikan berkualiti.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Guru dakwa jururawat cuai rawat bapa

Posted:

Guru dakwa jururawat cuai rawat bapa

Guru dakwa jururawat cuai rawat bapa


Zulkifli Abdullah terpaksa dimasukkan ke ICU selepas seorang jururawat di Hospital Bentong yang didakwa tersilap memberi suntikan (salah ubat) yang sepatutnya diberikan kepada pesakit lain.


KUANTAN 13 Mac - Seorang guru mendakwa kecuaian seorang jururawat Hospital Bentong menyebabkan bapanya terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Ampang, Selangor baru-baru ini.

Guru terlibat, Farahwahida Zulkifli, 32, (gambar) mendakwa, bapanya, Zulkifli Abdullah, 60, terpaksa dimasukkan ke ICU selepas seorang jururawat tersilap melakukan suntikan yang sepatutnya dilakukan ke atas pesakit lain.

Menceritakan kejadian itu, kata beliau, bapanya dimasukkan ke Hospital Bentong selepas mengalami muntah-muntah dan kesukaran bernafas pada 25 Februari lalu.

Katanya, dia dimaklumkan oleh doktor bahawa bapanya hanya mengalami keracunan makanan dan terdapat beberapa masalah paru-parunya.

''Doktor terlibat bagaimanapun tidak dapat mengesan punca sebenar penyakit bapanya dengan alasan ujian imbasan x-ray tidak jelas.

''Dua hari kemudian, datang seorang jururawat memberi satu suntikan kepada ayah saya sedangkan sepanjang berada di wad, ayah saya tidak pernah menerima sebarang ubat melalui suntikan dan hanya diberikan pil biasa.

''Saya bertanya kepada jururawat terbabit mengapa perlu disuntik dan dia menyatakan tujuan suntikan tersebut adalah untuk mencairkan darah dalam badan ayah saya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Katanya, tanpa menghiraukan pertanyaan dan rayuan, jururawat tersebut terus menyuntik ubat tersebut di bahagian perut bapanya.

Katanya lagi, semasa jururawat mencabut jarum, berlaku pendarahan yang banyak sehingga menyebabkan bapanya menggigil dan hampir pitam ketika menuju ke tandas.

''Ketika itu, saya melihat seorang jururawat menghubungi doktor bertugas, namun panggilan tersebut tidak dijawab, lalu saya memutuskan untuk membawa ayah pulang walaupun waktu itu keadaannya sangat lemah," tambahnya.

Dia kemudian memutuskan untuk membawa Zulkifli ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

''Sangat mengejutkan apabila pemeriksaan ke atas bapa mendapati dia disahkan positif demam denggi dan kekurangan oksigen," jelasnya.

Menurut Farahwahida, oleh kerana keadaannya tidak stabil, bapanya dimasukkan ke ICU di Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.

Berikutan kejadian itu katanya, dia melahirkan rasa kesalnya apabila jururawat yang menyuntik bapanya tidak menyemak terlebih dahulu nama pesakit dan melakukan kerja sambil lewa tanpa memikirkan risiko yang bakal dihadapi pesakit.

''Saya menganggap kakitangan di Hospital Bentong tidak menjalankan pemeriksaan dengan teliti dan layanan yang diberikan amat mengecewakan sehinggakan ayah saya terpaksa dimasukkan ke ICU dan berada di dalam keadaan yang sangat lemah," katanya.

Farawahida juga hairan apabila doktor di Hospital Bentong tidak menjalankan semula ujian imbasan x-ray dan ujian denggi sedangkan bapanya menetap di kawasan yang diisytiharkan mempunyai wabak tersebut.

''Saya hairan kenapa mereka tidak dapat mengesan punca kesakitan bapa saya sedangkan terdapat simptom-simptom dijangkiti demam denggi selepas dua daripada ahli keluarga saya turut disahkan positif wabak tersebut," dakwanya.

Sehubungan itu, dia bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung kejadian itu sebagai iktibar dan kesedaran kepada pihak hospital supaya lebih peka terhadap nyawa pesakit.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

UMNO jangan leka dengan kemenangan

Posted:

UMNO jangan leka dengan kemenangan

UMNO jangan leka dengan kemenangan

KUALA KRAU 13 Mac - Kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Syed Ibrahim Syed Ahmad pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, 6 Mac lalu tidak wajar melekakan ahli UMNO untuk terus berjuang memartabatkan agama, bangsa dan negara.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, kemenangan itu bagaimanapun membuktikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) semakin mendapat kepercayaan rakyat.

Menurutnya, peningkatan undi majoriti yang diterima oleh Syed Ibrahim memberi mesej jelas bahawa orang Melayu memerlukan UMNO untuk membela nasib mereka.

"Pemimpin dan ahli UMNO tidak harus leka dengan momentum sokongan terhadap BN, sebaliknya perlu terus mengatur program untuk mendampingi rakyat,

"Usaha mendampingi dan mengesan masalah rakyat di peringkat akar umbi adalah selari dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau berucap merasmikan persidangan berkelompok UMNO Bahagian Kuala Krau di Dewan Orang Ramai Felda Jengka 23, di sini hari ini.

Hadir sama Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Mohamad Jaafar (Jenderak), Wan Salman Wan Ismail (Jengka) dan Syed Ibrahim sendiri.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan Gabungan Felda Wilayah Jengka, Sulaiman Bakar.

Menurut Ismail, gerakan mesra rakyat menjadi agenda utama UMNO dan BN selain memperkukuhkan lagi parti di semua peringkat.

"Ini adalah usaha berstrategi UMNO Kuala Krau untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 berikutan sokongan rakyat terhadap BN semakin pulih," katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli UMNO supaya mendalami perlembagaan parti yang selaras dengan Perlembagaan Negara untuk mendaulatkan bangsa Melayu, Islam dan negara.

Tambah beliau, kemakmuran dan kesejahteraan negara akan terus berkekalan sekiranya tiada pihak mempertikaikan hak rakyat yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mahu ahli UMNO di semua peringkat mempertahankan legasi parti sebagai wadah perjuangan dengan mendaftar sebagai pemilih.

"Ahli UMNO yang berumur 21 tahun ke atas mesti berdaftar sebagai pemilih untuk melayakkan mereka mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13," katanya.

Ismail menegaskan, parti memerlukan ahli yang benar-benar berkualiti yang dapat memperkasakan UMNO dan menjamin kemenangan dalam pilihan raya.

"Ahli UMNO yang gagal mendaftar sebagai pemilih tidak dapat mengundi calon BN. Ini sangat merugikan kerana kita kehilangan satu undi berharga," tambahnya.

-ends-

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan