Utusan Online - Pahang |
- Gendang Pahang penyeri majlis
- Aktifkan semula permainan muzik tradisional
- Peneroka perlu muhasabah diri
Posted: Gendang Pahang penyeri majlisOleh HARIS FADILAH AHMAD
KUALA LIPIS 7 Mac – Gendang Pahang atau dikenali sebagai gendang tetawak diperkenalkan seorang pemimpin tempatan, Datuk Perba Jelai dan dimainkan oleh penduduk di sepanjang Sungai Jelai dan Sungai Pahang di sini. Seni warisan itu turut menerima pengaruh Islam kerana irama lagu yang digubah merupakan gandingan peralatan yang dibawa dari Asia Barat. Bagaimanapun, alat muzik tersebut hanya dimainkan golongan warga emas dan segelintir belia berikutan kehadiran muzik moden yang lebih mendapat tempat di kalangan masyarakat. Gendang tetawak dan kombinasi dengan peralatan muzik lain sering dimainkan bagi memeriahkan majlis keramaian, perkahwinan, majlis rasmi, mengiringi tarian tradisional Melayu, silat dan mengiringi pembesar negeri. Peralatan muzik itu agak berbeza dengan gendang dari negeri lain kerana ia tidak diiringi serunai malah, menggunakan tiga alat muzik lain iaitu gendang ibu, gendang anak dan gong. Seorang penggiat gendang tetawak, Ismail Mahmud, 80, berkata, persembahan gendang tetawak membabitkan gendang sama deras, gendang sama dua, tupai berkendak, gobik teba dan gendang ketimbong janda. Menurutnya, peralatan muzik itu sedap didengar menerusi paluan gendang tetawak dengan diiringi gendang janda mengerat kayu api, gendang kambing berlaga, gendang raja berangkak dan gendang tari piring. "Gendang tersebut dimainkan orang lelaki atau wanita pada zaman dahulu malah, dikatakan setiap kampung di negeri ini mempunyai pasukan gendang tetawak masing-masing. "Namun, gendang Pahang mempunyai lagunya tersendiri dikenali sebagai Bujang Hilir. Irama itu dimulakan dengan rentak pembukaan dan diakhiri dengan rentak membunuh atau rentak mati di samping rentak-rentak lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Seorang belia dari Kampung Jeram Landak, Mohd. Hafizi Talib, 21, merupakan antara generasi muda yang melibatkan diri dalam permainan alat tradisional itu. Katanya, dia mula berjinak-jinak dengan ilmu persilatan dan peralatan muzik tradisional sejak usia 12 tahun lagi. Katanya, ketika itu dia berlatih bersama penggiat seni dari kampungnya terdiri daripada warga emas yang bermain alat muzik tersebut. ''Oleh kerana minat dengan pencak silat dan bermain alat muzik berkenaan, saya sanggup berjaga hingga larut malam dengan melihat warga emas dan belia berlatih bermain peralatan muzik itu di kampung ini," katanya. Menurutnya, apabila berusia 16 tahun, minat dan bakatnya dikesan oleh tokoh penggiat seni Kampung Jeram Landak, Ramli Embok, 70, lalu mengajarnya mengenai ilmu persilatan dan bermain gendang tetawak. Katanya, setelah tiga tahun mempelajarinya bersama ahli Kumpulan Kesenian Kampung Jeram Landak, dia diberi kepercayaan mengadakan persembahan pada majlis keramaian tertentu. Mohd. Hafizi yang merupakan bekas pelatih Pusat GiatMara Lipis berkata, dia memainkan lagu tradisional menggunakan gendang tetawak seperti Samanderu, Gobek Terbang, Raja Berjalan, Yale Yale dan beberapa irama lain. ''Saya boleh bermain gendang ibu, gendang anak dan tetawak untuk membuat persembahan lagu terbabit pada majlis keramaian," jelasnya. Dia berhasrat untuk menjalani latihan secara profesional bagi meningkatkan kemahiran dalam muzik tradisional menggunakan peralatan tersebut. Selain itu, Mohd. Hafizi juga mempunyai impian untuk membawa kumpulan seninya mengadakan persembahan di Istana Budaya, Kuala Lumpur dalam memperkenalkan seni silat dan irama gendang tetawak yang mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Aktifkan semula permainan muzik tradisional Posted: Aktifkan semula permainan muzik tradisionalKUALA LIPIS 7 Mac - Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta penggiat seni disaran mengaktifkan semula permainan alat muzik tradisional Pahang bagi memperkenalkannya kepada pelancong yang datang ke daerah ini. Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamad Shahrom Osman (gambar) berkata, usaha menyuburkan kembali peralatan muzik tersebut akan menarik generasi baru mengetahuinya sekali gus mempopularkan kesenian itu pada masa akan datang. Beliau berkata, walaupun arus pembangunan muzik moden kian berkembang tetapi muzik tradisional tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Menurut beliau, warisan alat muzik tradisional seperti gendang, serunai dan peralatan lain menjadi ejen penyatuan penduduk serta tarikan kepada pelancong asing. "Mereka yang masih aktif dengan permainan gendang, serunai dan peralatan tertentu boleh dibilang dengan jari di daerah ini. "Perkara itu menyebabkan kita sukar mencari kumpulan gendang dan muzik tradisional bagi memeriahkan sesuatu program kesenian serta menyambut ketibaan pelancong yang menginap di kampung tertentu," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. Menurutnya, daerah itu terkenal dengan kumpulan gendang dan serunai serta popular di Kampung Jeram Landak, Kampung Mela, Batu Sembilan, Bukit Betong dan Hulu Jelai. Mohamad Shahrom berkata, warisan kesenian itu hampir pupus apabila generasi muda enggan mempelajarinya termasuk kemahiran membuat peralatan muzik tradisional terbabit. Tambahnya, paling ketara, iaitu irama pukulan gendang dan tiupan serunai yang dimainkan ketika mengiringi acara silat semakin hambar kerana tidak dipersembahkan oleh kalangan mereka yang mahir. ''Penggiat muzik tradisional khususnya gendang tetawak dari luar diundang mengajar ahli JKKK dan belia daerah ini untuk menghidupkan kembali kesenian itu di samping kemahiran membuat peralatan tersebut," katanya. Beliau memberitahu, pihak berwajib dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wajar mengadakan pertandingan kemahiran bergendang dan peralatan tradisional lain di setiap mukim membabitkan penyertaan golongan belia. Mohamad Shahrom memberi jaminan kerajaan negeri akan membantu melaksanakan program itu dan usaha tersebut merupakan alternatif menghidupkan semula warisan Melayu Pahang. Beliau berkata, JKKK terbabit diminta menampilkan acara bergendang dan peralatan muzik tradisional Pahang untuk memeriahkan acara sambutan dan mempamerkan kesenian tempatan kepada pelancong. Dalam pada itu, pelancong dari Perancis, Andree Falin, 46, tertarik dengan alat muzik tradisional itu. Katanya, kesenian itu wajar dihidupkan dan dipersembahkan kepada pelancong kerana tidak terdapat di negara mereka. ''Seni itu menunjukkan masyarakat Melayu kreatif dan bersatu padu, kaya dengan adat budaya tradisi," katanya yang menyertai program lawatan sehari ke daerah Lipis baru-baru ini. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Peneroka perlu muhasabah diriOleh SALEHUDIN MAT RASAD
KUALA KRAU 7 Mac - Masyarakat peneroka Felda perlu muhasabah diri bagi menilai kembali kebaikan dan keuntungan yang diterima sejak menyertai agensi di negeri ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Hamizan Wan Abd. Razak berkata, perkara itu dapat memberi kekuatan baru kepada mereka untuk bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan. Menurutnya, mereka perlu mengakui bahawa corak kehidupan dan status sosial serta pendapatan yang diperoleh jauh lebih baik berbanding tinggal di kampung asal. ''Fakta sejarah hidup mereka tidak boleh dibohongi kerana masing-masing melaluinya sekali gus membezakan antara 'dua zaman' itu. ''Warga Felda patut bersyukur dengan apa dinikmati kerana perubahan itu tidak dapat bergolek tanpa ada perancangan jitu oleh kerajaan," katanya kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri majlis kesyukuran di Felda Jengka 25 di sini baru-baru ini. Wan Hamizan yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerantut berkata, kehidupan masyarakat itu tersusun dengan organisasi mantap diketuai pengurus tanah rancangan dan dibantu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR). Beliau yang merupakan anak peneroka Felda Jengka 12 menambah, masyarakat peneroka bertuah kerana Felda dan kerajaan sentiasa memberi perhatian sama ada ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya. ''Jangan sama sekali menafikan peranan besar kerajaan dan Felda mengangkat status sosial dan ekonomi mereka yang setanding dengan golongan berpendapatan tinggi," katanya. Beliau juga mengajak warga Felda kekal bersama kerajaan supaya semua agenda pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar. Katanya, banyak agenda telah dirancang dan dilaksanakan seperti menyediakan kemudahan sukan, rekreasi, kemudahan awam dan perumahan generasi baru Felda. ''Warga Felda harus mengakui hakikat hanya Felda sahaja mampu mengangkat martabat masyarakat itu berbanding pembangkang yang hanya pandai beretorik sahaja," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan