Utusan Online - Muka Hadapan |
- Syarat baharu kad kredit
- Kerajaan PKR Selangor ‘punggah’ hasil Orang Asli
- Jangan ceroboh hak kami - Batin Malam
Posted: Syarat baharu kad kreditOleh SARAH NADLIN ROHIM
KUALA LUMPUR 18 Mac – Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan syarat-syarat baharu lebih ketat berkuat kuasa serta-merta bagi pemilikan kad kredit. Timbalan Gabenor BNM, Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, di bawah garis panduan itu, syarat-syarat kelayakan untuk mendapatkan kad kredit baharu memerlukan had pendapatan minimum dinaikkan kepada RM24,000 setahun berbanding RM18,000 sebelum ini. ''Para pemegang kad yang berpendapatan RM36,000 setahun atau kurang, hanya boleh memiliki kad kredit daripada dua pengeluar kad sahaja. ''Mereka yang sedia ada memiliki kad kredit lebih daripada dua pengeluar kad diberi tempoh sehingga akhir tahun ini untuk menentukan pengeluar kad yang menjadi pilihan. ''Selain itu tempoh masa sekurang-kurangnya dua tahun diberikan kepada pemegang kad untuk menyelesaikan baki hutang kad kredit yang dibatalkan,'' kata kepada pemberita selepas memberikan taklimat mengenai garis panduan baharu kad kredit di sini hari ini. Nor Shamsiah berkata, had maksimum kredit yang diberikan kepada pemegang kad berkenaan tidak boleh melebihi dua kali ganda pendapatan bulanan mereka dengan setiap pengeluar. ''Bagi mereka yang mempunyai baki hutang kad kredit melebihi had maksimum kredit yang ditetapkan diberikan tempoh penangguhan selama dua tahun untuk memenuhi keperluan baharu itu,'' jelasnya. Pada masa ini, pemegang kad kredit di Malaysia adalah seramai 3.2 juta orang dengan 50 peratus adalah mereka yang berpendapatan kurang dari RM36,000 setahun. Nor Shamsiah menjelaskan garis panduan baharu itu merupakan usaha berterusan untuk menggalakkan pemegang kad kredit mengamalkan amalan pengurusan kewangan berhemat. ''Kami melihat terdapat aliran peningkatan dalam hutang isi rumah yang disebabkan oleh kad kredit tetapi ia tidak membimbangkan. Perkembangan ini, bagaimanapun perlu dikawal supaya tidak menjadi lebih buruk. ''Pengenaan syarat-syarat baharu juga bertujuan menggalakkan amalan perniagaan yang wajar dan bertanggungjawab oleh pengeluar kad kredit,'' kata beliau. Pada masa yang sama, pengeluar kad kredit juga ditegah menaikkan had kredit dan menawarkan pendahuluan dalam bentuk cek berbayar tanpa dipohon dan mendapat persetujuan pemegang kad terlebih dahulu. ''Pengeluar kad dikehendaki menyediakan lembaran penzahiran produk (produk disclosure sheet) yang mempunyai maklumat penting, yuran dan tanggungjawab pemegang kad dengan jelas,'' katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Kerajaan PKR Selangor ‘punggah’ hasil Orang Asli Posted: Kerajaan PKR Selangor 'punggah' hasil Orang Asli
KUALA LANGAT 18 Mac – Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang sebelum ini melaung-laungkan mahu membela hak dan nasib Orang Asli ternyata hanya bermain 'wayang kulit'. Ini kerana mereka kini didakwa sedang 'memunggah' hasil milik Orang Asli di kawasan seluas 7,243 hektar di Mukim Tanjung 12 dekat sini dengan sebahagian besarnya terletak dalam tanah Hutan Simpan Kuala Langat Utara. Mukim Tanjung 12 membabitkan tujuh buah kampung yang diwartakan dalam Hutan Simpan Kuala Langat Utara iaitu Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Bukit Cheeding, Bukit Kecil, Bukit Perah, Busut Baru, Tanjung Rabok dan Bukit Kamandol. Tanah tersebut merupakan tanah warisan, tanah adat dan tanah rayau kepada kira-kira 4,000 penduduk Orang Asli Temuan sejak ratusan tahun lalu dan telah diwartakan sebagai tanah simpanan Sakai sejak 1927. Ia juga menjadi rebutan pelbagai syarikat kerajaan negeri dan ada antaranya didakwa diserahkan kepada pihak ketiga tanpa pengetahuan masyarakat Orang Asli. Ini termasuk bekas lombong Petaling Tin Bhd. yang dikatakan sudah diberi milik kepada sebuah syarikat kerajaan negeri tetapi telah dijual pula kepada pihak ketiga. Dipercayai Mukim Tanjung 12 adalah satu-satunya kawasan segi tiga berhampiran Putrajaya dan Cyberjaya yang begitu kaya dengan hasil galian termasuk logam berharga sehingga menyebabkan ia menjadi rebutan pelbagai pihak. Bagaimanapun, tindakan membelakangkan hak Orang Asli telah menyebabkan masyarakat tersebut tidak boleh bersabar, apatah lagi menyedari latar belakang kawasan tersebut adalah penempatan utama suku Temuan di negara ini. Sedangkan menurut mereka, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEO) pada 25 Januari tahun lalu telah mengeluarkan pengesahan bahawa Mukim Tanjung 12 adalah kawasan Orang Asli berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 29 November 1965. | ||
Jangan ceroboh hak kami - Batin Malam Posted: Jangan ceroboh hak kami - Batin Malam
KUALA LANGAT 18 Mac - Batin Malam Gerchang sudah semakin tua dengan pinggangnya kerap sakit tetapi kesakitan itu semakin bertambah sejak akhir-akhir ini. Ini apabila melihatkan tindak-tanduk Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang semakin tidak mengendahkan kedudukan Orang Asli di Mukim Tanjung 12 dekat sini. Batin Malam, 77, berkata, tanah simpanan Orang Asli yang masih kekal itu sebenarnya adalah hasil peninggalan nenek moyang mereka yang dahulu diketuai oleh Batin Pelangi. "Tanah tersebut dikurniakan oleh Almarhum Sultan Sir Abdul Samad iaitu Sultan Selangor keempat kepada kaum Temuan. "Baginda telah mengurniakan sebilah keris, golok dan tombak kepada Batin bagi menjaga dan mempertahankan tanah-tanah Orang Asli sekiranya berlaku kekacauan atau pencerobohan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini. Batin Malam berkata, sebenarnya Orang Asli bukan mahu membolot semua tanah tersebut sebaliknya hanya ingin berkongsi hasil mahsulnya untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat pribumi itu. "Mana tanah yang sudah diletakkan di bawah rezab Melayu biarlah ia kekal begitu kerana mereka juga adalah masyarakat pribumi tetapi baki tanah yang masih ada di sini sepatutnya diserahkan kembali kepada Orang Asli. Beliau yang kesal dengan sikap tamak segelintir pihak berkata, sekiranya apa yang diluahkan oleh masyarakat Orang Asli itu tidak diendahkan, lebih baik berlaku 'gempa bumi' di Mukim Tanjung 12. "Tengok apa yang berlaku di Jepun, bila gempa bumi semuanya hancur. Samalah di sini kalau sudah hancur, saya hendak tengok pihak yang tamak itu, apa yang mereka dapat. "Kami tidak pernah kacau hak orang lain, tetapi mengapa hak kami hendak diceroboh," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Muka Hadapan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan