Khamis, 3 Mac 2011

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Naik taraf belum sempurna

Posted:

Naik taraf belum sempurna

Naik taraf belum sempurna

Oleh Roslah Othman
kota@utusan.com.my


Yew Teong Look (duduk tengah) dan penduduk meneliti lakaran Jalan Genting Klang semasa mengadakan lawatan dan perbincangan mengenai beberapa tambahan kemudahan yang diperlukan di jalan tersebut.


KUALA LUMPUR 3 Mac. - Kesesakan di Jalan Genting Klang, Setapak yang sebelum ini menimbulkan banyak rungutan kepada penduduk dari taman berhampiran dan pengguna kenderaan dilihat semakin berkurangan selepas kerja-kerja menaik taraf melibatkan pelebaran jalan, pembinaan jejantas dan pemasangan lampu isyarat di persimpangan masuk Jalan P. Ramlee selesai sejak dua bulan lalu.

Bagaimanapun, penghuni rumah di sekitar kawasan itu yang menggunakan jalan berkenaan setiap hari beranggapan masih ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ini termasuklah mempertimbangkan cadangan memasang dua lampu isyarat lagi, melibatkan persimpangan masuk ke kawasan perumahan Taman Danau Kota di Jalan 3/23D dan Jalan Ayer Jerneh.

Pengerusi MCA Bahagian Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look berkata, kewajaran lampu isyarat di kedua-dua persimpangan itu dipasang bukan sahaja kerana untuk keselamatan pengguna jalan berkenaan dan keselesaan penduduk, tetapi juga dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang masih berlaku di situ.

Menurutnya, sebelum ini penduduk yang datang dari arah Jalan Genting Klang ke Kuala Lumpur, terpaksa membuat pusingan U di persimpangan lampu isyarat Jalan P. Ramlee yang jaraknya kira-kira 1.3 kilometer untuk sampai ke rumah mereka di Jalan 3/23 D.

Ketika itu, katanya, laluan dari Jalan Pahang hanya untuk belok ke kiri sahaja untuk masuk ke kawasan perumahan yang mempunyai kira-kira 10,000 unit rumah.

"Lampu isyarat di persimpangan Jalan P. Ramlee yang disediakan tidak mampu menampung jumlah kenderaan yang terlalu banyak setiap hari.

"Keadaan ini menyebabkan mereka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas selama kira-kira 20 hingga 30 minit untuk sampai ke rumah yang tidak jauh dari situ," katanya ketika hadir meninjau ke lokasi terlibat baru-baru ini.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Awam, DBKL, Ir. Mak See.

Selain mencadangkan pemasangan dua lampu isyarat di persimpangan masuk di Jalan 3/23D dan Jalan Ayer Jerneh, DBKL turut diminta agar mempertimbangkan cadangan memasang pagar dan kerja-kerja melebarkan jalan di bawah jejantas Jalan Genting Klang.

Selain itu DBKL juga diminta membuat garisan kuning bagi menentukan petak letak kereta di hadapan bangunan kedai.

"Saya berharap DBKL dapat mempertimbangkan perkara ini bagi memastikan keselesaan penduduk dan pengguna kenderaan di kawasan ini," ujarnya.

Sementara itu beberapa peniaga yang ditemui menaruh harapan agar cadangan itu dipertimbangkan pihak berkuasa tempatan demi memastikan kelancaran urusan harian mereka.

Chia Kong Chun, 55, turut melahirkan kesulitan kerana terpaksa membuat pusingan U di Jalan Air Jerneh untuk ke kedainya.

"Saya tidak menafikan lampu isyarat dapat membantu mengurangkan masalah ini. Bagaimanapun penyelesaian itu mungkin hanya berkesan dalam jangka masa pendek memandangkan jumlah kenderaan akan semakin bertambah seiring kepadatan penduduk di kawasan ini yang semakin meningkat," katanya.

Seorang peniaga, SC Low, 57, pula berkata, kesesakan lalu lintas di Jalan Genting Klang semakin berkurangan sejak kerja-kerja menaik taraf jalan itu diselesaikan.

Dia yang mengusahakan sebuah restoran berdekatan jalan itu sejak lebih 20 tahun lalu bagaimanapun kesal dengan tindakan DBKL yang mengenakan kompaun terhadap kenderaan yang diletakkan di situ, sekali gus menjejaskan perniagaannya.

"Keadaan ini tidak akan berlaku sekiranya DBKL menyediakan petak kuning bagi membolehkan pelanggan meletakkan kenderaan mereka dengan selamat," ujarnya.

Seorang peniaga lain, Lim Sin Sang, 63, berkata, keengganan orang ramai menggunakan jejantas disediakan juga merupakan antara penyumbang kesesakan lalu lintas di situ.

Dia yang menjalankan perniagaan peralatan besi sejak hampir 20 tahun itu juga tidak menafikan sikap pemandu teksi dan bas yang menunggu dan mengambil penumpang di jejantas berhampiran turut mengundangkan kesesakan.

"Sekurang-kurangnya pemasangan pagar dan pelebaran jalan di kawasan terlibat dapat mengurangkan sedikit kesesakan di sini," ujarnya.

Melalui perbincangan yang diadakan selama hampir dua jam, wakil DBKL secara ringkas memutuskan bersetuju mempertimbangkan dua cadangan yang dikemukakan melibatkan pemasangan pagar dan pelebaran jalan berhampiran jejantas serta pemasangan garisan kuning bagi petak letak kereta berhampiran kedai.

Bagaimanapun, cadangan melibatkan pemasangan dua lampu isyarat di persimpangan Jalan 3/23D dan Jalan Ayer Jerneh masih belum dapat diputuskan dan memerlukan kajian terperinci.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pampasan terbaik flat PKNS Jalan Jelatek

Posted:

Pampasan terbaik flat PKNS Jalan Jelatek

Pampasan terbaik flat PKNS Jalan Jelatek

KUALA LUMPUR 3 Mac - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tetap mempertahankan nilai pampasan yang ditawarkan kepada pemilik unit rumah pangsa PKNS, Jalan Jelatek dekat sini adalah yang terbaik.

Menurut PKNS, nilai pampasan yang ditawarkan olehnya kepada pemilik, iaitu sebanyak RM250,000 hingga RM500,000, adalah melebihi tiga kali ganda lebih tinggi daripada nilai yang dibuat oleh jurunilai bertauliah dan kerajaan.

PKNS, dalam kenyataan akhbarnya di sini hari ini berkata, daripada jumlah keseluruhan pemilik rumah dan kedai iaitu 69 orang, sebanyak 54 pemilik atau 78 peratus telah bersetuju menerima tawaran pampasan oleh PKNS dan telah berjaya meningkatkan taraf hidup mereka.

"Ada di antara mereka telah membeli rumah yang lebih selesa dan di kawasan lebih tenang untuk mereka menjalani kehidupan di usia emas," ujar PKNS dalam kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas PKNS terhadap laporan 'Kami sanggup tinggal di flat buruk' yang disiarkan akhbar ini pada 26 Februari lalu.

Baki penduduk yang masih menghuni flat tersebut mendesak diberikan pampasan sebanyak RM500,000 untuk seunit rumah dan RM1 juta bagi seunit kedai.

PKNS juga memberitahu, berdasarkan rekodnya, jumlah sebenar pemilik unit di flat itu ialah 15 orang dan bukan 17 orang seperti yang dikatakan oleh wakil penduduk yang masih enggan berpindah dari situ.

Kenyataan akhbar PKNS itu turut memaklumkan, projek pembangunan semula kawasan itu telah dirancang lebih 10 tahun lalu dan mendapat maklum balas positif dan sememangnya dinantikan oleh penduduk yang inginkan pembaharuan.

Mengenai dakwaan wakil penduduk yang enggan berpindah bahawa PKNS tidak menyerahkan hak milik strata rumah, PKNS berkata: "Berikutan mendapat persetujuan majoriti penduduk, PKNS telah menangguhkan penyempurnaan pemilikan strata bagi memastikan pembangunan semula dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan teratur.

"Bagaimanapun, hak-hak pemilik unit masih terpelihara seperti yang termaktub dalam perjanjian jual beli."

Menyentuh mengenai dakwaan kawasan persekitaran di situ kotor, PKNS menjelaskan ia kini menjadi tanggungjawab penduduk sendiri memandangkan mereka sudah tidak membayar sebarang caj perkhidmatan kepada PKNS.

"Dalam hal ini, PKNS memahami permasalahan yang dihadapi oleh penduduk dan sehubungan itu PKNS berusaha memastikan projek pembangunan semula ini dapat berjalan lancar dan teratur tanpa meminggirkan kebajikan penduduk.

"PKNS juga tiada sebarang halangan sekiranya pemilik petak berhasrat untuk menyertai projek pembangunan tersebut dan membeli unit-unit yang akan dibangunkan nanti," ujar kenyataan itu lagi.

PKNS berhasrat untuk membangunkan kawasan itu dengan projek mega Datum Jelatek bernilai RM1.2 bilion.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kembali kepada dua hala

Posted:

Kembali kepada dua hala

Kembali kepada dua hala

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
kota@utusan.com.my


Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (dua dari kiri) dan M. Saravanan (kiri) bersama penerima lesen perniagaan di Little India pada majlis di Brickfields, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 3 Mac – Beberapa batang jalan di kawasan Little India, Brickfields akan kembali menjadi jalan dua hala bermula 1 April depan.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, perubahan itu dibuat atas permintaan rakyat di kawasan itu.

Beliau menjelaskan, pihaknya akan meneliti penerimaan rakyat terhadap pelaksanaan jalan dua hala itu yang akan dicuba dalam tempoh dua bulan bagi melihat keberkesanan terhadap aliran trafik.

"Semua papan tanda dua hala akan diletakkan semula apabila tiba masa perubahan ini dilaksanakan nanti.

"Kami akan melihatkan keberkesanan (perubahan) jalan ini dan jika tidak baik maka akan kembali kepada jalan sehala seperti sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan surat tawaran lesen kepada 38 peniaga di Little India, di Kompleks Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Brickfields di sini baru-baru ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M. Saravanan dan Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup.

Kata, Raja Nong Chik, jalan yang terlibat adalah bermula dari Jalan Rozario, memasuki Jalan Sultan Abdul Samad dan berakhir sebelum simpang ke Jalan Tun Sambanthan 4.

Difahamkan, satu jalan belakang yang berada sebelum simpang ke Jalan Tun Sambanthan 4 akan dinaik taraf untuk dijadikan jalan dua hala, yang akan dihubungkan ke Jalan Thambipillay.

Sementara itu, katanya, beliau telah mengarahkan DBKL supaya tidak menyaman kereta yang diletakkan di tepi jalan di kawasan itu.

"Saya faham masalah kekurangan tempat letak kereta yang dihadapi orang ramai di kawasan ini. Ini adalah kerana kawasan letak kereta belum disiapkan lagi.

"Buat masa ini, meletak kereta di tepi jalan dibenarkan. Cuma saya tidak benarkan kalau diletakkan bertindih, dan mereka ini boleh disaman," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan