Khamis, 17 Mac 2011

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Arab Saudi kongsi kepakaran menerusi MATOC

Posted:

Arab Saudi kongsi kepakaran menerusi MATOC

Arab Saudi kongsi kepakaran menerusi MATOC


Hishammuddin Tun Hussein berbincang dengan Putera Nayef Abdulaziz Al-Saud di Riyadh, baru-baru ini.


PUTRAJAYA 16 Mac - Malaysia dan Arab Saudi bersetuju memperkukuhkan hubungan kerjasama dengan berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam menangani jenayah rentas sempadan menerusi penubuhan Akademi Jenayah Rentas Sempadan (MATOC) di Langkawi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia hasil pertemuan beliau dengan Timbalan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Mohamed yang merupakan anak kepada Timbalan Perdana Menteri Kedua dan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Nayef Abdulaziz al-Saud.

Sehingga kini, katanya, Arab Saudi telah menerima baik pelawaan Malaysia untuk turut terlibat dalam penubuhan MATOC.

Menurut beliau, kepakaran dan pengalaman yang bakal dikongsi kelak pastinya boleh melebarkan sayap kerjasama antara kedua-dua negara dan serantau.

''Dalam pertemuan bersama Putera Nayef pula kali ini, beberapa perkara pokok yang menyentuh isu keselamatan serantau turut dibincangkan.

''Kami juga berpeluang bertukar-tukar pandangan tentang dunia Islam dan semasa serta kepentingan untuk mempertahankan hubungan sesama ummah dalam konteks landskap yang berubah-ubah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang berada di Arab Saudi selama dua hari sejak semalam berkata, perkara-perkara itu perlu dibincangkan secara terus agar pandangan dan pendirian Malaysia dapat dinyatakan dengan jelas demi kepentingan kedua-dua negara.

Menurutnya, pertemuan kali ini amat bermakna kerana rangka persefahaman yang sebelum ini dipersetujui untuk ditandatangani sebagai memorandum persefahaman (MoU) dalam soal keselamatan antara Malaysia dan Arab Saudi, akan ditingkatkan isi kandungannya dan bakal dimeterai sebagai satu perjanjian.

''Komitmen ini akan menjadikan hubungan baik antara kedua-dua negara bertambah erat dan kukuh. Perjanjian berkenaan dijadualkan ditandatangani oleh Putera Nayef dan saya pada satu majlis di Arab Saudi bulan depan," katanya.

Hishammuddin menegaskan, kerjasama dan persefahaman yang terjalin itu akan membantu Malaysia terus berada pada posisi yang baik dalam menangani kegiatan dan gerakan-gerakan pengganas.

Perkara itu, katanya, penting bagi memastikan negara tidak tercicir daripada arus cabaran serta sebarang ancaman bentuk baru keganasan yang mungkin dihadapi.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pengaruh buku setanding teknologi digital

Posted:

Pengaruh buku setanding teknologi digital

Pengaruh buku setanding teknologi digital


Ahmad Hisham Kamaruddin menunjukkan buku bertajuk From Alma Baker Mansion to Ombak di Carcosa Seri Negara semalam.


KUALA LUMPUR 16 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, buku tetap berpengaruh serta mampu menandingi keupayaan teknologi digital masa kini dalam mendidik, menghibur serta memberi rangsangan kepada pemikiran rakyat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, peranan buku tidak akan ada galang gantinya walaupun sesetengah orang mendakwa televisyen dan radio lebih berpengaruh serta mempunyai khalayak yang lebih luas.

Menurut beliau, ini kerana buku bukan sekadar instrumen yang hanya merekodkan memori dan imaginasi malah mampu mengubah dunia, memperbaiki kehidupan serta menjadi laluan kepada masyarakat yang berilmu.

"Memang benar sesetengah orang berpendapat televisyen, radio dan teknologi digital lebih berpengaruh daripada buku.

"Tetapi pada kebanyakan orang termasuk saya sendiri, percaya buku tetap penting dan tiada galang ganti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan buku Datuk Ahmad Hisham Kamaruddin bertajuk From Alma Baker Mansion to Ombak di Carcosa Seri Negara di sini hari ini.

Buku yang menceritakan kisah mengenai perpindahan rumah berusia 120 tahun kepunyaan rakyat New Zealand bernama Charles Alma Baker dari Lembah Kinta, Perak ke Terengganu itu akan menjadi rujukan kepada orang ramai di perpustakaan.

Rumah tinggal tersebut yang kini dimiliki oleh Ahmad Hisham dibeli pada 2004 dan dicerai-ceraikan serta dibawa ke Terengganu sebelum dibina semula mengikut bentuk asal.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, buku From Alma Baker to Ombak merupakan peristiwa penting dalam penerbitan seni bina warisan negara.

Ujar beliau, buku tersebut merupakan bukti kepada semangat untuk mempertahankan dan menyumbang kepada pengetahuan pemuliharaan warisan di negara ini.

"Justeru Jabatan Warisan Negara disaran untuk membantu menggalakkan usaha memelihara warisan di kalangan rakyat negara ini," katanya.

Sementara itu, Zuraina berkata, sebanyak 100 buah bangunan bersejarah telah dipulihara oleh jabatan itu sejak lima tahun lalu.

Kata beliau, pihaknya gembira kerana orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah memulakan usaha untuk memelihara warisan seni bina negara.

"Pada masa yang sama kita juga mencuba yang terbaik untuk menggalakkan kesedaran di kalangan generasi muda tentang kepentingan menjaga dan memulihara seni bina yang menjadi warisan negara," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Yang di-Pertuan Agong lancar buku Kegemilangan Raja-Raja Melayu

Posted:

Yang di-Pertuan Agong lancar buku Kegemilangan Raja-Raja Melayu

Yang di-Pertuan Agong lancar buku Kegemilangan Raja-Raja Melayu

KUALA LUMPUR 16 Mac - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan melancarkan buku bertajuk Kegemilangan Raja-Raja Melayu yang mengisahkan sejarah Kesultanan Melayu di negara ini.

Buku setebal 409 muka surat itu yang diterbitkan oleh Leone Communications Sdn Bhd turut memaparkan salasilah kesemua sembilan raja-raja Melayu di negara ini.

Selain itu buku itu juga menceritakan latar belakang darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan.

Sementara itu, Pengerusi Leone Communications Datuk Zakaria Husain memberitahu pemberita, buku itu selain dijadikan bahan rujukan untuk universiti dan penyelidik, ia boleh digunakan sebagai cenderahati kerajaan kepada negara luar.

Sebanyak 10,000 naskhah akan dicetak dalam setahun, dan untuk permulaan pihaknya sudah mencetak kira-kira 200 buah buku yang dijual dengan harga RM450 senaskhah.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Nazri Abdul Aziz, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta sejarahwan Tan Sri Prof Emeritus Khoo Kay Kim, yang juga penasihat kepada penerbitan buku itu. - BERNAMA

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan