Selasa, 22 Mac 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Ellis melukis demi Ferris

Posted:

Ellis melukis demi Ferris

Ellis melukis demi Ferris

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my



TERLALU banyak kesedihan yang bersarang di dalam hati wanita ini. Dia merasakan di dunia ini dia bersendirian. Dalam setiap hela nafasnya, dia gagal mencegah diri daripada terus mengingati seorang kanak-kanaka lelaki bernama Ferris Mokhtar de Ven.

Wanita itu, Elis Syuhaila Mokhtar, 36, berkata hilangnya panggilan 'ummi' daripada mulut Ferris yang mungil itu membuatkan hidupnya terseksa.

Bebola matanya menceritakan betapa besar luka di hatinya. Penulis bertanya, adakah dia sudah berhenti berharap dan tidak dapat bersabar lagi?

Elis pantas mencelah: "Apa itu makna sabar, perkataan itu rumit untuk diterjemahkan. Saya ingin menyatakan kesabaran saya sudah melangkaui alam sejagat ini."

Bait-bait kata yang terpacul daripada mulutnya penuh makna tersirat.

Hakikatnya wanita ini menjadi mangsa sifat mementingkan diri sendiri suaminya, Firdaus atau Frank Theodorus Van De Ven.

Lelaki Belanda itu yang dikenali Elis melalui ruangan Pen Pal telah melarikan anak mereka, Ferris ke luar negara.

Tiada khabar berita diterima Elis sejak itu apatah lagi untuk mendengar suara si kecil yang amat dirinduinya itu.

Sekuat mana pun Elis menangis dan meraung, Ferris tidak mungkin dapat mendengar suara ibunya. Ya, hidup ini kadang-kadang sulit untuk dijalani, keluhnya.

Pada 5 Mac lalu, genap dua tahun Elis kehilangan Ferris. Hidupnya tidak keruan. Dia hanya mampu meratapi Ferris dengan lebih 1,000 keping gambar yang diambil sebelum ini.

Lebih menyentuh kalbu, wanita ini masih menyimpan susu yang kini telah beku, helaian rambut, mandian, mainan, anak patung dan selimut kegemaran Ferris.

Sepanjang sesi temu ramah dengan penulis dua tahun lalu, air mata Elis mengalir selang lima minit. Ada masanya dia menangis sekuat hati.

Namun, pada pertemuan baru-baru ini, Elis menampakkan sisinya yang berlainan.

Ibu Ferris ini telah menonjolkan dirinya sebagai seorang yang kuat lagi tabah. Dulu, dia semahu-mahunya menangis, kini dia sudah mampu tersenyum. Senyuman itu tampak ikhlas.

Dulu dia sensitif, kini dia sudah pandai berjenaka. Intonasi suaranya mengatasi bunyi hujan lebat pada hari itu.

Dia tanpa henti cuba berjenaka dengan penulis dan jurufoto, Djohan Shahrin Shah. Namun, penulis percaya sebenarnya separuhnya jiwanya telah pergi.

Elis yang baru


ELIS yakin si kecil masih mengenalinya walaupun selepas dua tahun tidak bertemu.


"Saya sudah kontang air mata. Cukup-cukuplah. Hidup perlu diteruskan.

"Saya perlu bangkit berjuang untuk mendapatkan anak saya semula," kata bekas guru ini yang boleh bertutur bahasa Belanda.

Bagaimanakah kekuatan itu tiba-tiba datang? Itu semua kata Elis, bermula selepas dia bermimpikan anaknya.

Ferris digambarkan menaiki bas dua tingkat berlatarbelakang hamparan langit yang gelap. Ketika si kecil ternampak kelibat Elis, Ferris dikatakan merengek untuk dibawa pulang.

Pada masa yang sama dia sempat mengusap pipi ibunya dan berkata, dia kini berada dalam keadaan sihat.

Lantas kata Elis, dia bingkas bangun dan tanpa dia sendiri sedari, dia memperoleh kekuatan untuk tidak bermuram durja lagi.

Bayangkan, selama hampir dua tahun ibu tunggal ini berdepan dengan deraan emosi dan enggan bersosial dengan orang luar. "Saya seperti baru dilahirkan semula," ungkapnya.

Bermula minggu lalu, Elis perlu bangkit awal untuk melunaskan tanggungjawab sebagai pensyarah di Kolej Twintech, Bandar Sri Damansara.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Falsafah Seni, Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini berkata, dia teruja setiap kali mengajar pelajarnya.

Tiada istilah berhenti daripada terus mendapatkan kembali Ferris. Namun, usaha itu memerlukan banyak wang. Elis harus mempunyai ratusan ribu ringgit untuk membiayai kos guaman di Belgium (negara asal bekas suaminya) dalam mencabar keputusan hak penjagaan Ferris.

Justeru, Elis telah menulis sebuah novel bertajuk Kubawa Hati Ini bagi membantunya mencari Ferris melalui kempen Bring Back Ferris To Malaysia.

Pada asalnya, catatan itu hanya sebuah diari yang ditulisnya setiap hari sejak tiga tahun lalu iaitu sebelum terpisah dengan anaknya. Akhirnya, Elis terfikir mengapa tidak menjadikannya sebuah novel demi Ferris.

Novel setebal 436 muka surat itu antara lain berkisar tentang keperitan hidupnya mengahwini lelaki asing sehinggalah saat anaknya dilarikan oleh bekas suami.

"Selain itu, saya juga mahu berkongsi perasaan dengan pembaca yang barangkali pernah menghadapi konflik seperti saya," tuturnya.

Lukisan


CUKUPLAH dua tahun Elis terkurung dalam dunia kesedihan. Elis berazam membina kehidupan baru yang lebih ceria..


Dulu, semasa di universiti, Elis adalah seorang pelukis seni. Dia sering mengadakan pameran seni dan hasil karyanya menjadi tumpuan dan dibeli orang.

"Saya akan melukis bila saya rasa gembira,'' tuturnya yang sekali gus menggambarkan transformasi dirinya.

Setakat ini, dia sudah menyiapkan hampir 10 karya jenis akrilik yang bertemakan urban.

"Lukisan-lukisan itu sesungguhnya mempunyai kaitan dan membangkitkan nostalgia dengan Ferris. Saya melukis bandar-bandar yang pernah saya dan Ferris lawati seperti Barcelona dan Brussels,'' katanya.

Justeru, kata Elis, dia mengajak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berkolaborasi dengannya menjual karya-karya itu.

"Saya sangat berharap ada NGO yang berminat kerana semua wang yang diperoleh akan dijadikan dana untuk mendapatkan Ferris semula,'' katanya.

Adakah perkahwinan menjadi susulan kepada kegembiraan ini? Jawabnya dengan pantas: "Saya tak terfikir ke arah itu, saya lebih selesa begini.''

Elis memberitahu, dia masih berada pada fasa tidak mempercayai kepada sesiapa termasuk lelaki.

Impak kepada permasalahannya yang mendapat liputan bebas media menjadikan dia banyak mengenali orang. Susah baginya untuk jatuh cinta kali kedua.

"Bukan mahu menolak tapi nantilah,'' ujarnya yang memiliki senyuman yang mampu mencairkan hati mana-mana lelaki.

Difahamkan, bekas suaminya sudah membina kehidupan baru dengan memperisterikan seorang wanita dari negara Asia.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan