Isnin, 30 Januari 2012

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Jangan cuba bermain api - JHEAT

Posted:

Jangan cuba bermain api - JHEAT

Jangan cuba bermain api - JHEAT

Oleh radhuan hussain
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 29 Jan. - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba 'bermain api' dengan memurtadkan orang Melayu di negeri ini.

Pesuruhjayanya, Mohd. Rozali Salleh berkata, mereka terbabit bakal dihadapkan ke muka pengadilan dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 atau setahun penjara.

Beliau memberitahu, tindakan itu selaras dengan penguatkuasaan di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam yang sedia ada dan diguna pakai di negeri ini.

"Jangan cuba bermain api dan jangan sekali-kali cuba memurtadkan orang Melayu beragama Islam di negeri ini dan jika ada, tindakan tegas akan diambil di bawah enakmen ini (Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam).

"Enakmen ini memang kita dah lama guna pakai tapi memandangkan tiada kes yang jelas, maka ia (enakmen) dilihat seolah-olah tidak wujud.

"Jadi, enakmen ini akan dikuat kuasakan dan kita tak akan biarkan gejala ini (murtad) berlaku di negeri ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai Jawatankuasa Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah yang diumumkan penubuhannya Khamis lalu bagi memantau lebih rapi pengembangan agama bukan Islam kepada Orang Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, jawatankuasa yang diletakkan di bawah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) itu turut memantau pengembangan ajaran salah antara sesama umat Islam.

Malah, Jamil Khir turut meminta Jabatan Agama Islam negeri yang masih belum mewujudkan dan menguatkuasakan enakmen itu agar segera melakukannya.

Mohd. Rozali menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Pengkuatkuasaan Undang-Undang Syariah itu sambil menyifatkannya langkah positif ke arah mewujudkan keharmonian, khususnya di kalangan umat Islam di negara ini.

Beliau turut memberi jaminan pihaknya akan menguatkuasakan sepenuhnya enakmen berkenaan di Terengganu sekiranya wujud aktiviti atau perlakuan pihak tertentu yang cuba memurtadkan orang Melayu di negeri ini.

"Berdasarkan Perlembagaan Malaysia sudah jelas, sesiapa saja wajib menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara.

"Tidak boleh sama sekali ada pihak yang cuba berdakwah atau mengajak orang Islam menganut agama mereka (selain Islam)," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.

MAIK terima penafaran 4 bintang

Posted:

MAIK terima penafaran 4 bintang

MAIK terima penafaran 4 bintang


Tengku Muhammad Fa-iz Petra bersama plak penganugerahan 4 Bintang bagi Pengurusan Kewangan daripada Jabatan Audit Negara kepada MAIK pada majlis kesyukuran di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 29 Jan. - Kepercayaan masyarakat terhadap keupayaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) diyakini akan meningkat berikutan kejayaan jabatan itu mendapat penganugerahan '4 Bintang' dalam pengurusan kewangan daripada Jabatan Audit Negara dua tahun berturut-turut sejak 2009.

Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra bertitah, penganugerahan tersebut amat bermakna dan memberi impak besar kepada MAIK sebagai sebuah institusi yang diberi amanah melaksanakan tanggungjawab kepada umat Islam di negeri ini.

"Saya berharap semoga dengan penganugerahan '4 Bintang' dalam pengurusan kewangan ini, MAIK akan dapat meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap keupayaannya dalam memegang amanah sebagai pengendali wang zakat dan harta Baitulmal serta wakaf tunggal di negeri ini," titah baginda.

Baginda yang juga Yang Dipertua Maik bertitah demikian pada Majlis Kesyukuran Penganugerahan 4 Bintang Berdasarkan Indeks Akauntabiliti 2010 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Zainuddin Ibrahim; Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Daud Mohamad; Timbalan Mufti negeri, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Muhammad; Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Ahmad Mahmood dan Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Kamaruddin Mohd Zin.

Sementara itu, Kamaruddin dalam ucapan aluannya berkata, Jabatan Audit Negara telah mula mengaudit pengurusan kewangan MAIK berdasarkan indeks akauntabiliti sejak 2007 merangkumi sembilan elemen utama iaitu kawalan pengurusan, bajet, terimaan, perbelanjaan, pelaburan, akaun amanah, kumpulan wang amanah dan deposit, aset dan inventori, pinjaman serta penyata kewangan tahunan.

Beliau berkata, tahap prestasi pengurusan kewangan agensi kerajaan yang diaudit adalah berdasarkan sistem pemarkahan iaitu 4 Bintang untuk tahap sangat baik; 3 Bintang (tahap baik); 2 Bintang (tahap memuaskan) dan 1 Bintang (tahap tidak memuaskan).

Jelasnya, tahap prestasi pengurusan kewangan MAIK meningkat setiap tahun dan ini dinyatakan sendiri dalam Laporan Audit Negara 2010.

"Pada 2007, Jabatan Audit Negara memberi penarafan 2 Bintang kepada MAIK; 2008 (3 Bintang); 2009 (4 Bintang) dan sekali lagi pada 2010 kita mendapat 4 Bintang.

"Malah MAIK juga menduduki tempat pertama dari segi pemarkahan berbanding lain-lain agensi dan jabatan di negeri, ini merupakan hadiah bermakna bagi MAIK yang akan menyambut ulang tahun ke-100 pada 31 Disember akan datang," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Penulis blog perlu hindari budaya fitnah

Posted:

Penulis blog perlu hindari budaya fitnah

Penulis blog perlu hindari budaya fitnah

KUALA TERENGGANU 29 Jan. - Para penulis blog dinasihati agar menghindari budaya fitnah kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, malah merugikan bangsa dan negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said (gambar) berkata, paling teruk apabila penduduk tempatan terpengaruh dengan berita-berita berunsur fitnah melibatkan pemimpin di negeri mereka yang dimuatkan dalam pelbagai blog.

Katanya, fitnah dan pembohongan dalam penulisan terutama berkaitan isu sosial dan politik mampu mencetuskan kontroversi dan reputasi buruk terhadap sesebuah kerajaan.

"Saya mahu penulis blog lebih bertanggungjawab dengan apa yang dipaparkan iaitu melalui penyiasatan yang dibuat terlebih dahulu bagi mengetahui sama ada ia benar atau sebaliknya.

"Justeru itu, bagi pihak kerajaan, saya sedia bekerjasama dengan penulis blog dalam memberi sumber-sumber dan maklumat yang tepat mengenai pembangunan negeri Terengganu untuk bahan blog anda," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Bersama Blogger di Kediaman Seri Iman dekat sini, semalam.

Pada majlis tersebut kira-kira 80 penulis blog dari seluruh negara termasuk pemilik blog popular http://papagomo.blogspot.com berkumpul atas jemputan khas Menteri Besar itu bagi bertukar-tukar pandangan dengan pemimpin kerajaan negeri ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat dan Pengarah Unit Komunikasi negeri, Shamsuddin Sulong.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemimpin politik sering menjadi mangsa fitnah dalam sesebuah kerajaan negeri, selain dipertanggungjawab atas apa yang dilakukan oleh pegawai-pegawai mereka.

Jelasnya, akibat daripada penyebaran fitnah itu, sesebuah kerajaan boleh jatuh dan menyebabkan rakyat menjadi mangsa.

"Apabila pemimpin politik dijatuhkan akibat fitnah, rakyat yang rugi kerana apa yang dirancangkan tidak dapat diteruskan di masa depan kerana mereka tidak lagi menjadi pemimpin," ujarnya.

Sementara itu, dalam sesi dialog bersama penulis blog berkenaan, Ahmad turut menghargai sumbangan 300 daripada 1,000 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif membantu merancakkan pembangunan di Terengganu.

Katanya, pada tahun ini, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM2 juta untuk diagihkan kepada semua NGO bagi membolehkan mereka menjalankan kegiatan masing-masing.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan