Isnin, 16 Januari 2012

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


BN Selangor peruntuk RM50,000

Posted:

BN Selangor peruntuk RM50,000

BN Selangor peruntuk RM50,000

Oleh AZIAN AZIZ
pengarang@utusan.com.my

KUALA SELANGOR 15 Jan. - Barisan Nasional (BN) Selangor akan memperuntukkan sebanyak RM50,000 untuk membantu peniaga Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Shah Alam dekat sini membiayai kos guaman bagi menghalang kenaikan kadar sewa ruang niaga di kompleks itu.

Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang mengumumkan perkara itu berkata, pembiayaan itu bagi meringankan beban peniaga yang tertekan dengan cadangan PKNS untuk menaikkan kadar sewa ruang niaga sehingga 100 peratus bermula tahun ini.

''Sebelum ini, peniaga berjaya mendapatkan perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menghalang cadangan menaikkan kadar sewa itu. Bagaimanapun, kita mendengar kerajaan negeri cuba menyingkirkan injunksi itu dan ini akan menyusahkan peniaga.

''Sebagai tanda simpati, kita akan bantu biaya kos guaman mereka sebanyak RM50,000," katanya selepas Majlis Pelancaran BR1M Peringkat Selangor di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Khai Tee di Pasir Penambang, di sini hari ini.

Pada 6 Disember lalu, Persatuan Peniaga-peniaga Kompleks PKNS memfailkan injunksi bagi menghalang perbadanan itu menaikkan kadar sewa premis perniagaan di kompleks itu awal Januari ini.

Ini kerana kadar kenaikan yang akan dihadapi terlalu tinggi iaitu sehingga 100 peratus yang didakwa menindas peniaga di situ.

Pada 14 Disember lalu, peniaga berjaya mendapat perintah injunksi Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Zaki Husin di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menghalang cadangan PKNS menaikkan kadar sewa ruang niaga di komplek itu.

Dalam pada itu, kata Noh, BN Selangor tidak akan menaikkan kadar sewa yang tidak munasabah dan menindas peniaga di kompleks PKNS, malah akan memulihara kompleks bersejarah itu dan menjadikannya sebagai tempat tarikan pelancong sekiranya kembali memerintah Selangor.

Ujar beliau, seperti yang dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membuat tinjauan mesra di kompleks PKNS pada Sabtu lalu, BN Selangor akan membela peniaga di kompleks itu dan menyelesaikan masalah lain di Selangor yang gagal dilakukan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri.

Full content generated by Get Full RSS.

'Pas hanya pandai berjanji'

Posted:

'Pas hanya pandai berjanji'

'Pas hanya pandai berjanji'

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

KOTA BHARU 15 Jan. - Rakyat negeri ini harus berterima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana memberikan pelbagai bantuan termasuk yang terbaru Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia berbeza dengan kerajaan Pas Kelantan yang hanya pandai berjanji sejak 22 tahun lalu tetapi tidak menunaikannya.

Beliau berkata, bantuan-bantuan tersebut telah membuktikan bahawa Kerajaan Pusat sejak dahulu lagi mengambil berat tentang kebajikan rakyat.

"(Pada masa) 20 tahun lalu, kerajaan Pas Kelantan telah berjanji untuk memberikan sumbangan sebanyak RM100 kepada rakyat yang berusia 55 tahun ke atas tetapi sehingga hari ini bantuan itu tidak ada.

"Selain itu, di Kelantan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah memberikan bantuan sebanyak RM300 sebulan kepada 32,000 orang dan hari ini, mereka dapat lagi RM500 untuk BR1M, kita adil dalam memberikan bantuan tidak kira latar politik, agama dan kaum," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengagihan BR1M di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Chat di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha.

Pada majlis tersebut seramai 1,518 orang menerima bantuan tersebut secara tunai berjumlah RM750,000.

Sementara itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, pengagihan wang tersebut akan diagihkan ke seluruh Kelantan dalam tempoh dua bulan bermula hari ini.

"Majlis hari ini merupakan pengagihan BR1M yang pertama di negeri ini. Sehingga kini seramai 70,000 rakyat negeri ini layak menerima bantuan ini.

"Bagi nama-nama yang tercicir ada proses rayuan. Inilah konsep negara berkebajikan yang kerajaan buat sejak dahulu lagi tetapi pembangkang baru hendak laung-laungkan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan