Ahad, 29 Januari 2012

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Menilai kedudukan calon veteran

Posted:

Menilai kedudukan calon veteran

Menilai kedudukan calon veteran

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

DALAM satu taklimat pilihan raya, seorang ahli politik veteran bertaraf YB 'mengamuk' apabila mendapati namanya digugurkan dan digantikan dengan calon lebih muda untuk pilihan raya umum akan datang.

YB ini tidak mahu mendengar penjelasan pihak yang membuat laporan tersebut dengan menganggap ia 'mengarut' dan mahu berjumpa dengan pemimpin atasan untuk mengadu.

Apa yang dipaparkan ini hanyalah contoh kecil bagaimana ada pemimpin veteran yang sudah lagi tidak mampu membawa kemenangan kepada parti masih mahu bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Biar pun pengguguran itu berlandaskan kepada fakta yang dibentangkan hasil kajian yang dibuat namun ramai pemimpin veteran tidak akan mudah menerima kenyataan tersebut.

Semua ini hakikatnya bukanlah satu sikap politik yang matang, sepatutnya ahli politik veteran yang merasakan masanya sudah tiba untuk berundur akan rela berbuat demikian tanpa paksaan.

Masalahnya, di dalam UMNO ramai pemimpin-pemimpin veteran merasakan hanya mereka sahaja yang layak dan tiada siapa yang boleh menggantikan mereka.

Atas sebab itulah sudah tiba masanya, pucuk pimpinan parti bertegas dalam soal ini, pemilihan calon untuk pilihan raya umum akan datang perlu dibuat dengan teliti tanpa harus tunduk kepada sebarang tekanan atau ugutan.

Ia kerana pilihan raya umum akan datang cukup penting untuk survival politik Barisan Nasional (BN) dan UMNO, ia dianggap 'ibu' kepada semua pilihan raya yang pernah diadakan.

Oleh itu sudah tentulah UMNO tidak harus menghabiskan masa melayan kerenah sesetengah pemimpin veteran yang masih mahu bertanding biar pun menyedari dia akan ditolak oleh rakyat.

Tumpuan utama perlu diberikan kepada negeri-negeri yang dianggap kritikal seperti Kedah, Kelantan, Perak dan Selangor.

Di negeri-negeri berkenaan, UMNO tidak boleh melakukan kesilapan dalam memilih calon kerana misi UMNO adalah menawan semula Kedah, Kelantan dan Selangor serta mempertahankan kekuasaan di Perak.

Begitu juga di Johor, Pahang dan Negeri Sembilan yang dikatakan menjadi sasaran utama pembangkang untuk menambah kerusi.

Jika UMNO masih leka dengan melayan kerenah pemimpin-pemimpin tertentu yang merasakan diri mereka sahaja yang layak, maka UMNO perlu bersedia berhadapan dengan kekalahan.

Hakikatnya, fenomena ingin menjadi calon dan merasakan dirinya layak menjadi calon bukanlah perkara baru, apatah lagi apabila seseorang individu itu memegang jawatan di peringkat bahagian.

Pandangan kuno bahawa jawatan di peringkat bahagian adalah tiket untuk terpilih sebagai calon masih melumuri sebahagian besar pemimpin-pemimpin UMNO.

Apa yang mengecewakan ada antara mereka awal-awal lagi sudah membuat kenyataan berbentuk ugutan, kalau dirinya tidak terpilih dia akan memastikan partinya juga akan kalah.

Individu seumpama ini tidak diperlukan oleh parti kerana perjuangan politiknya hanya semata-mata untuk dirinya bukan parti.

Kalau ahli politik itu ikhlas sudah pasti dia akan menyerahkan kepada parti untuk menentukan kedudukannya, jika terpilih bertanding Alhamdulillah, kalau tidak terpilih, dia akan bersungguh-sungguh membantu calon penggantinya untuk menang.

Tetapi senario ini acap kali sukar berlaku kerana sindrom merasakan dirinya sahaja layak dan berada dalam kategori 'calon boleh menang'.

Justeru sudah tiba masanya, pucuk pimpinan parti bertegas dalam soal ini dan tidak melayan kerenah politikus yang hanya mementingkan diri sendiri.

Tidak kiralah sehebat mana pun politikus berkenaan tetapi kalau di kawasan sendiri rakyat sudah tidak menerimanya maka dia perlu bersedia untuk digugurkan.

Sebab itulah penyenaraian semula calon atau pemimpin yang bertaraf veteran dalam pilihan raya umum akan datang perlu dilakukan dengan teliti.

Jika pemimpin veteran itu masih berpengaruh dan diterima oleh rakyat tidak mengapa tetapi kalau sebaliknya maka parti perlu memiliki keberanian menggugurkannya.

Tidak perlu ada simpati atau rasa bimbang terhadap tindak balas yang akan dilakukan oleh mana-mana pemimpin veteran yang tidak dipilih bertanding.

Ia kerana selagi rakyat di sesuatu kawasan itu mahukan perubahan, maka mereka sudah pasti akan memberi sokongan kepada mana-mana calon yang dipilih bagi menggantikan pemimpin yang mereka tolak.

Masalahnya, acap kali juga berlaku, parti tunduk kepada desakan sesetengah pemimpin veteran ini tetapi kesudahannya parti yang rugi. Berdasarkan hakikat itu adalah wajar semua pemimpin UMNO berpegang kepada akujanji yang mereka lafazkan ketika perhimpunan agung UMNO lalu.

Dalam situasi politik yang dianggap genting sekarang terutamanya dalam berhadapan pilihan raya umum, kepentingan parti harus mengatasi segala-galanya.

Perkara utama yang perlu diberi pertimbangan ialah meletakkan lebih ramai calon muka baru tanpa mengorbankan calon veteran yang menjadi aset kepada parti.

Kita perlu ingat, dalam pilihan raya umum akan datang, pengundi muda akan menjadi pengundi teramai, mereka mempunyai cita rasa dan pandangan politik yang berbeza.

Oleh itu, jika UMNO dan BN meletakkan calon bertaraf veteran yang tidak mampu membawa apa-apa faedah kepada parti adalah lebih baik mereka ini digantikan dengan calon lebih muda.

Bagaimanapun calon muda berkenaan biarlah yang popular di kalangan rakyat dan mempunyai karisma. Pada masa ini sama ada hendak diakui atau tidak, kebanyakan pemimpin muda di peringkat bahagian tidak begitu menonjol atau dihalang daripada menonjol.

Di bahagian-bahagian tertentu ada pemimpin-pemimpin muda yang mengetuai sayap parti bersikap seperti 'hidup segan mati tak mahu'.

Mereka tidak aktif melaksanakan agenda parti tetapi apabila datang musim pilihan raya barulah hendak tunjuk muka. Keadaan ini sudah tentulah tidak menguntungkan parti kerana apa yang lebih penting adalah penerimaan rakyat terhadap kehadiran mereka.

Seperkara lagi yang harus diberi pertimbangan serius oleh UMNO ialah menggugurkan mana-mana pemimpin yang sudah bertanding berkali-kali tetapi tetap kalah.

Tidak kiralah sama ada pemimpin itu berada di kubu kuat pembangkang atau tidak tetapi jika parti merasakan orang lain lebih layak bertanding maka pilihlah orang itu.

Apa pun adalah diharapkan akan ada sikap berkorban di kalangan sesetengah pemimpin veteran yang sudah tidak lagi diterima oleh rakyat. Mereka perlu bersedia memberi laluan kepada calon lain dan bukannya mengatur gerakan untuk memastikan pengganti mereka tewas dalam pilihan raya umum akan datang.

Janganlah merasakan kita sahaja hebat sedangkan yang sepatutnya membuat penilaian itu ialah rakyat. Merekalah yang akan menentukan hidup mati perjuangan sesebuah parti melalui pilihan raya yang bakal diadakan.

UMNO memerlukan barisan pemimpin dan ahli yang ikhlas, sedia berkorban dan melakukan pengorbanan demi perjuangan parti, bukannya peribadi.

Full content generated by Get Full RSS.

4 juta kawal 28 juta penduduk?

Posted:

4 juta kawal 28 juta penduduk?

4 juta kawal 28 juta penduduk?

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my


Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar (dua dari kanan) bersalaman dengan seorang peniaga di Taman Tun Dr Ismail, ketika membuat lawatan ke kedai-kedai selepas Pelancaran Rondaan Bersama PDRM, RELA dan JPAM Bagi Kawasan Brickfield dan Damansara, baru-baru ini.


SEORANG pemandu teksi, Mohd. Norpiah Harun Arashid yang mencari rezeki di ibu negara ialah rakyat biasa yang peka dalam menilai keselamatan negara di sudut orang awam.

Bukan dia sahaja, malah hampir semua rakyat Malaysia mempunyai penilaian tersendiri mengenai tahap keselamatan negara ketika ini.

Rakyat Malaysia pasti akan membandingkan soal keselamatan itu sepanjang mereka mula mengenali peranan dan tugas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan yang sinonim dan paling awal disebut oleh sesiapapun, jika kita berbicara tentang keselamatan negara.

Bagi Mohd. Norpiah yang berusia lingkungan 50-an, beliau menganggap penglibatan anggota polis di tempat-tempat awam kini kian berkurangan.

"Kelibat anggota polis kini semakin berkurangan jika dibandingkan dengan tahun 80-an, Jadi, saya rasa cadangan untuk menambah bilangan mereka amat baik," katanya ketika diminta pendapat mengenai cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menambah bilangan anggota penguat kuasa dan sukarelawan di seluruh negara baru-baru ini.

Cadangan itu diusul bagi menurunkan kadar jenayah dan membentuk rasa selamat di kalangan rakyat.

Penambahan seramai 35,029 anggota berbanding 27,162 anggota sedia ada tahun lalu itu diumumkan oleh menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, baru-baru ini.

Pendekatan komprehensif itu sejajar dengan dua inisiatif utama KDN selain melibatkan lebih ramai rakyat dalam aktiviti mencegah jenayah sebagai usaha membanteras kegiatan itu di seluruh negara tahun ini.

Apabila kita mengambil kira pendapat Mohd. Norpiah itu tadi, atau rakyat Malaysia yang lain, satu harapan wujud dalam masyarakat iaitu supaya lebih ramai anggota penguat kuasa diletakkan supaya ia mampu menghadirkan rasa selamat kepada mereka.

Penulis yakin, kerajaan sebenarnya mempunyai sebab kenapa bilangan penguat kuasa ini harus ditambah. Peningkatan angka penduduk Malaysia yang kini semakin menghampiri 30 juta orang (28.7 juta seperti yang dipetik daripada laman web Jabatan Perangkaan Malaysia) mungkin turut menjadi faktor kenapa kerajaan mencadangkan penambahan anggota penguat kuasa.

Ini kerana adakah mencukupi jika negara ketika ini hanya memiliki kira-kira 4 juta anggota penguat kuasa (pelbagai agensi) untuk mengawal keselamatan jumlah penduduk Malaysia yang semakin meningkat.

Perlu diingat, angka 28 juta penduduk Malaysia itu belum termasuk jumlah pendatang asing di negara ini.

Sekiranya dicampur dengan pendatang asing, pastinya sukar untuk penguat kuasa, baik PDRM mahupun lain-lain agensi untuk mengawal ketenteraman negara.

Malaysia ketika ini mempunyai kira-kira 4 juta anggota penguat kuasa yang ditadbir di bawah KDN. Bilangan 4 juta ini termasuk 3 juta kakitangan tetap dan sukarelawan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), 120,000 anggota dan pegawai tetap dalam PDRM, 400,000 anggota dan sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta 260,000 anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Jumlah itu belum termasuk mereka yang sukarela menyertai agensi-agensi lain di bawah KDN antaranya Wataniah dan sebagainya.

KDN baru-baru ini menyasarkan untuk mendapat penyertaan 100,000 anggota penguat kuasa daripada agensi-agensi di bawahnya untuk terlibat dalam rondaan bersama di seluruh negara bagi mengurangkan kadar peratusan jenayah menjelang Mac depan.

Ketua Setiausaha kementerian itu, Tan Sri Mahmood Adam berkata, sehingga kini seramai 20,000 sukarelawan terdiri daripada anggota JPAM dan Rela terlibat dalam rondaan bersama itu.

"KDN yakin dapat mencapai sasaran 100,000 anggota dalam tempoh tiga bulan untuk bertugas di dalam rondaan bersama," kata beliau.

Malah, kata Mahmood, KDN juga telah mewujudkan sistem rondaan bersama agensi keselamatan di bawah kementerian itu sejak awal tahun lalu membabitkan beberapa lokasi tumpuan di seluruh negara. Ini termasuk Sungai Pelek di Selangor; Alor Gajah, Melaka; Kampar, Perak; Johor Bahru, Johor, Taman Tun Dr. Ismail di Kuala Lumpur, selain Kluang dan Pagoh di Johor serta Pekan, Pahang.

Menerusi sistem ini, kata beliau, anggota penguat kuasa daripada sekurang-kurangnya enam agensi seperti Imigresen, AADK, Jabatan Pendaftaran Negara, Bahagian Keselamatan Negara (BKN) akan menghantar wakil untuk bersama-sama melakukan rondaan.

"Buat masa ini, kerajaan belum ada perancangan untuk menambah bilangan anggota dan pegawai polis, namun apa yang akan ditambah adalah bilangan penguat kuasa dan sukarelawan lain-lain agensi dalam KDN.

"Kita yakin, penambahan bilangan anggota yang melakukan rondaan bersama cegah jenayah ini akan mewujudkan rasa selamat kepada masyarakat," katanya.

Kepada rakyat Malaysia seperti Mohd. Norpiah, langkah kerajaan ini sedikit sebanyak dapat mengembalikan kepercayaan mereka terhadap pasukan keselamatan yang menjadi nadi kemakmuran sesebuah negara.

Tidak perlulah semua yang menjalankan rondaan itu memakai pakaian seragam polis, kerana bagi kita, asalkan ada pasukan penguat kuasa, sekurang-kurangnya rakyat akan merasa selamat dari pelbagai bentuk jenayah yang kian mencabar pada zaman serba moden kini.

Cuma bagi penulis, rakyat janganlah hanya mengharapkan polis atau pasukan penguat kuasa sahaja yang muncul untuk mengawal keamanan kerana sebagai individu prihatin, tanggungjawab mencegah jenayah adalah kerja bersama.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan