Khamis, 26 Januari 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


4 lagi universiti dapat autonomi

Posted: 26 Jan 2012 01:26 PM PST

Nasional

Langkah wujud IPTA jadi institusi taraf antarabangsa, berdaya saing

PUTRAJAYA: Selepas Universiti Teknologi Malaysia (UTM), empat lagi universiti, Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) diberi autonomi semalam, bagi membolehkan pusat pengajian terbabit membuat perancangan sendiri dalam usaha menjadi institusi bertaraf antarabangsa.

Pemberian autonomi itu hanya diberikan dalam empat bidang iaitu tadbir urus institusi, kewangan dan penjanaan kekayaan; pengurusan sumber manusia dan pengurusan akademik serta kema-sukan pelajar. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata autonomi adalah prasyarat penting untuk mewujudkan persekitaran kampus yang dinamik melalui pengurusan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang lebih berdaya saing, kreatif dan anjal.

"Universiti selalu menyatakan mereka tidak mendapat kecemerlangan kerana wujud halangan dan kekangan akibat terikat dengan kaedah dan polisi kerajaan, jadi pemberian autonomi dengan penurunan kuasa bermakna tiada lagi alasan untuk mereka mencapai kecemerlangan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat Tahun Baru 2012 yang bertemakan 'Berfikiran Global Bertindak Glokal' di sini, semalam.

Pemberian autonomi kepada lima universiti itu dibuat selepas melaksanakan proses audit menggunakan instrumen 'Tadbir Urus Baik Universiti' dan 'Petunjuk Tadbir Urus Baik Universiti'.

Beliau berkata, walaupun lima universiti diberikan autonomi dalam kemasukan pelajar, pelajar tetap perlu memohon kemasukan universiti menerusi Unit Pusat Universiti (UPU).
"Bagaimanapun, lima universiti akan dapat memilih dulu mana-mana pelajar yang memohon menerusi UPU dan mereka sendiri yang akan menentukan kesesuaian kursus kepada pelajar berkenaan serta pemberitahuan mengenai kemasukan ke lima universiti itu dibuat oleh pihak universiti sendiri," katanya.

Mengenai Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, Mohamed Khaled berkata, ia bukan tiket kebebasan mutlak, jauh sekali membenarkan pelajar melakukan aktiviti subversif sehingga mengganggu keselamatan awam.

Beliau berkata, pindaan AUKU juga akan mengekalkan persekitaran kampus yang terus menjamin kebebasan akademik.

"Kita amat sedih kerana akhir-akhir ini, kebebasan akademik disalah guna, disalah erti, disalah tafsir dan lebih membimbangkan, ia menjadi modal politik jalanan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Mohamed Khaled juga melahirkan kebimbangan dengan kurangnya pelajar yang berminat mengikuti aliran sains di sekolah dan universiti yang semakin kritikal.

"Tahun ini, hanya 29 peratus pelajar jurusan sains di sekolah. Keadaan ini berterusan ke tahap universiti yang mana hanya 40 peratus pelajar bidang sains sedangkan sasaran kita adalah 60 peratus. Jika ini berterusan, ia boleh membantutkan usaha meningkatkan inovasi teknologi ke arah tranformasi ekonomi negara maju berpendapatan tinggi," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Jawatankuasa atasi isu murtad ditubuh

Posted: 26 Jan 2012 01:23 PM PST

Nasional

Langkah pertingkat penguatkuasaan enakmen

BANGI: Jawatankuasa Pusat Penguatkuasaan Undang-undang syariah ditubuhkan bagi mempertingkatkan lagi penguatkuasaan enakmen berhubung penyebaran agama oleh bukan Islam kepada orang Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata jawatankuasa itu akan memantau secara dekat pelaksanaan penguatkuasaan enakmen berkenaan oleh jabatan agama Islam negeri.

Jawatankuasa juga akan membantu kes berhubung penangkapan dan pendakwaan mengikut enakmen negeri. - Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri

"Jawatankuasa juga akan membantu kes berhubung penangkapan dan pendakwaan mengikut enakmen negeri," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan penasihat undang-undang negeri dan pengarah jabatan agama Islam negeri, di sini, semalam.

Penubuhan jawatankuasa itu yang berkuat kuasa semalam, diputuskan dalam pertemuan berkenaan yang berlangsung hampir dua jam.

Jawatankuasa akan dipengerusikan Jamil Khir dan dianggotai pengarah jabatan agama Islam negeri, wakil Kementerian Dalam Negeri (KDN, wakil Jabatan Peguam Negara dan wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata, enakmen itu telah lama wujud, namun ada negeri yang kurang dalam penguatkuasaaan.
"Bagi negeri yang belum mewujudkannya (enakmen) pula diminta membawa perkara itu kepada pihak yang berkenaan untuk diwujudkan dan dikuatkuasakan," katanya.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa itu bukan untuk mengenakan mana-mana pihak tetapi demi menjaga keharmonian masyarakat dan sebagai pembelaan kepada mereka yang dimurtadkan. – BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan