Ahad, 29 Januari 2012

Harian Metro: Mutakhir

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Harian Metro: Mutakhir


Pelumba basikal lebuh raya wanita Mariana Mohamed cedera parah ketika sesi latihan

Posted: 29 Jan 2012 02:40 AM PST

KUALA LUMPUR: Pelumba basikal lebuh raya wanita negara Mariana Mohamed cedera parah di tangan dan kaki kanan akibat terlibat dalam kemalangan melibatkan kereta di Presint 2, Putrajaya hari ini, ketika sesi latihan.

Tiga pelumba lain dilaporkan cedera ringan dalam kejadian kira-kira 10.15 pagi itu di satu kawasan berhampiran simpang empat.

Jurucakap polis Putrajaya ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima beberapa laporan berhubung kejadian tersebut.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kumpulan pelumba basikal itu gagal mengelak sebuah kereta yang telah memasuki laluan dikhaskan untuk sesi latihan itu.


Kenderaan berkenaan dipercayai memasuki laluan pelumba selepas cuba memintas sebuah kenderaan lain yang berhenti di hadapan setelah diarahkan polis memberi laluan kepada kumpulan berbasikal yang berlatih itu.


Jurucakap itu berkata kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbangrasa namun tiada tangkapan dibuat.

Akibat kemalangan, Mariana menerima rawatan segera di unit rawatan kecemasan Hospital Putrajaya sebelum dipindahkan ke Hospital Pakar Damansara pada sebelah petang bagi menjalani pembedahan.

Tiga pelumba lain yang cedera ringan itu dirawat sebagai pesakit luar.

Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Abu Samah Abd Wahab ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya telah mengambil langkah sewajarnya untuk sesi latihan tersebut.

"Kami mengambil langkah kawalan yang cukup termasuk mendapatkan khidmat 10 anggota polis dan 'marshall'," katanya. -- BERNAMA



Full content generated by Get Full RSS.

Polis temui mayat wanita hampir reput

Posted: 29 Jan 2012 01:18 AM PST

GEORGETOWN: Polis menemui mayat seorang wanita yang mereput di sebuah rumah di Taman Sri Bahari, Jalan Bahari dekat sini hari ini.

Mayat Lau Hua Nee, 58, ditemui terbaring di atas kerusi malas dalam keadaan lengkap berpakaian di ruang tamu rumah itu, dengan ditemani dua ekor anjing peliharaannya pada pukul 1.30 petang.

Jurucakap polis berkata pihaknya menerima aduan daripada penduduk setempat yang menghidu bau busuk di sekitar kawasan tersebut sejak beberapa hari lepas.

"Polis terpaksa memecah pintu untuk masuk ke rumah dua tingkat itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Difahamkan mangsa seorang guru tuisyen yang telah bersara dan tinggal bersendirian di rumah terbabit.


Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng mengesahkan kejadian tersebut ketika dihubungi.

Gan berkata siasatan awal polis mendapati mangsa mungkin mati sejak tiga atau empat hari lepas berdasarkan keadaan mayatnya yang sudah berbau dan mereput.

"Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut tetapi siasatan akan turut dijalankan untuk memastikan sama ada terdapat unsur jenayah dalam kes ini," katanya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. -- BERNAMA



Full content generated by Get Full RSS.

0 ulasan:

Catat Komen