Selasa, 24 Januari 2012

Utusan Online - Muka Hadapan

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Enam jam harungi detik cemas

Posted:

Enam jam harungi detik cemas

Enam jam harungi detik cemas

Oleh KAMIL MASLIH dan ROZIANAH RISMAN
pengarang@utusan.com.my


Fifi Ramadhani Safruddin diangkat ke ambulans untuk dibawa ke Hospital Kuala Lumpur selepas berjaya diselamatkan oleh pihak polis di Kampung Baru, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 23 Jan. – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun terpaksa mengharungi detik-detik cemas selama enam jam apabila menjadi tebusan seorang lelaki disyaki penagih dadah di rumahnya di Jalan Raja Mahmud, Kampung Baru, di sini hari ini.

Dalam insiden cemas bermula pukul 9.50 pagi itu, suspek berusia 34 tahun yang dalam keadaan separuh bogel menceroboh masuk ke dalam rumah itu sebelum mengambil pisau di dapur dan mengugut mencederakan mangsa, Fifi Ramadhani Safruddin.

Ketika kejadian, mangsa bersama empat ahli keluarga yang lain sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah.

Suspek bertindak mengacukan pisau ke leher mangsa sebelum mengheretnya masuk ke dalam sebuah bilik dan menutup pintu dengan sebuah almari yang dijadikan sebagai penghadang.

Pihak polis yang tiba di tempat kejadian pada pukul 10 pagi mengambil pelbagai langkah bagi memujuk mangsa termasuk menggunakan khidmat pakar psikiatri dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) selain memanggil teman wanita suspek.

Selain itu, polis turut menawarkan makanan segera kepada suspek seperti Kentucky Fried Chicken dan McDonalds selain minuman tetapi gagal.

Sepanjang tempoh tebusan itu, polis hanya berkomunikasi dengan mangsa menerusi pintu bilik dengan kanak-kanak tersebut yang hampir setiap masa diacukan pisau ke dadanya oleh suspek.

Drama tebusan tersebut bagaimanapun berakhir pada pukul 4.10 petang apabila sepasukan polis dipercayai dari unit khas dipanggil lalu menyerbu masuk ke dalam bilik itu dan melepaskan empat das tembakan yang mengenai suspek.

Suspek mati ketika dalam perjalanan ke hospital untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dihantar ke HKL untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, pihak polis terpaksa melepaskan tembakan dalam serbuan itu kerana suspek dilihat semakin agresif.

"Tiga daripada tembakan itu mengenai rusuk kiri suspek dan dalam masa sama, kita berjaya menyelamatkan kanak-kanak itu yang tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Kata Zulkarnain, semasa dalam tempoh enam jam kejadian tebusan itu, suspek tidak membuat sebarang tuntutan lain, kecuali meminta sejumlah dadah jenis syabu.

Polis bagaimanapun enggan memenuhi permintaan tersebut kerana menyalahi undang-undang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek berasal dari Sabah dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes samun di daerah Dang Wangi.

Sementara itu, menurut bapa mangsa, Safruddin Marlis, 47, dia berada dalam bilik semasa suspek menceroboh ke ruang tamu rumahnya.

"Saya panik apabila melihat suspek dalam keadaan separuh bogel itu bertindak mengugut akan membunuh anak saya sekiranya saya bertindak melakukan sesuatu.

"Memandangkan keadaan saya yang kurang upaya, saya tidak dapat berbuat apa-apa semasa dia mengheret anak perempuan saya ke bilik belakang," katanya yang menggunakan kaki palsu kerana kudung.

Safruddin memberitahu, kesemua ahli keluarganya di rumah itu termasuk isteri, seorang anak dan dua anak saudaranya dapat melarikan diri semasa suspek menceroboh masuk kecuali dia yang hanya keluar dari rumah itu selepas ketibaan polis.

Katanya, dia telah tinggal di kawasan itu sejak 15 tahun lalu dan tidak menyangka kejadian tersebut boleh menimpa keluarganya.

Dalam pada itu, menurut seorang saksi, Azhar Osman, 47, sebelum kejadian tebusan tersebut berlaku, dia melihat suspek berkenaan mundar-mandir dalam keadaan separuh bogel di Stesen LRT Kampung Baru.

"Saya telah menyuruh suspek untuk memakai baju dipegangnya tapi dia kemudian menghilangkan diri, saya tidak menyangka pula dia akan menceroboh rumah orang dan menjadikan kanak-kanak sebagai tebusan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Facebook ‘lubuk’ pelaburan haram

Posted:

Facebook 'lubuk' pelaburan haram

Facebook 'lubuk' pelaburan haram


Pengguna Internet perlu sentiasa berhati-hati dengan pelawaan rakan Facebook untuk menyertai sebarang aktiviti pelaburan. - Gambar hiasan



LAMAN web sosial Facebook tidak dinafikan merupakan antara medan berinformasi berguna jika dipraktikkan dengan baik. Menyedari kemudahan dan kepentingannya, banyak pihak termasuk kerajaan memilih menyalurkan pelbagai maklumat menerusi laman web tersebut.

Namun di sebalik manfaatnya, terdapat juga pihak yang tidak bersikap jujur ketika bersosial dan sanggup mengambil kesempatan termasuk memperkenalkan skim pelaburan cepat kaya.

Laman profil kini rancak dibanjiri oleh iklan-iklan seperti 'ingin cepat kaya', 'duit secara infiniti', 'tanpa kerja dapat duit', 'jana duit melalui Internet' dan sebagainya bagi menarik pelabur baru.

Selain itu, kewujudan skim seakan-akan SwissCash, Forex (tukaran wang) dan seumpamanya juga semakin hari semakin berleluasa di Facebook.

Keghairahan dalam mengejar kekayaan antara faktor mengapa ramai mudah tertipu dan terjebak dengan skim pelaburan seperti itu.

Wartawan MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR dan jurugambar, WAHIDIN SALIM menyingkap kisah di sebalik skim penipuan pelaburan di Internet terutama laman sosial Facebook serta mereka yang terlibat dalam skim-skim sebegini.

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Walaupun pelbagai kisah telah dibongkar di sebalik penipuan pelaburan di Internet beberapa tahun lalu, namun masih ramai pengguna yang tidak serik untuk terus melabur.

Bezanya, jika dahulu skim seperti SwissCash, Buy-e-barrel, Al-Arabic Fund dan ABB Fund merupakan pelaburan yang cukup popular dalam kalangan pengguna Internet, kini ia menular ke laman web sosial seperti Facebook.

Modus operandinya tetap serupa - mencari mangsa yang ingin menjadi kaya dengan cara cepat dan mudah.

Pada masa sama, mereka bijak menukar medium kononnya wang pelaburan tersebut adalah untuk digunakan dalam perniagaan kayu gaharu, emas, minyak dan sebagainya.

Malah, dengan hanya melayari Facebook, pelabur akan diberikan RM100 sebagai ganjaran.

Bagaimanapun, wang ganjaran tersebut hakikatnya tidak akan diperoleh sehingga individu terbabit melakukan pelaburan yang sama.

Cara operasinya mudah, seperti bermain kutu di mana ahli yang memperkenalkan skim tersebut akan menerima pelaburan wang dalam jumlah yang sama iaitu RM100 daripada ahli baru.

Ahli baru pula akan mengharapkan ada ahli lain yang ingin menyertai skim itu melaluinya.

Bagi menarik peserta baru untuk menjadi mangsa, 'si penipu' akan menggunakan gambar longgokan duit yang banyak, kereta mewah serta barangan berjenama sebagai umpan mereka.

Berikut antara kes penipuan membabitkan pelaburan menerusi Facebook yang diceritakan oleh mangsa kepada wartawan, MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR.

KES 1:

BERKENALAN dengan seseorang di Facebook yang boleh membantu membebaskan diri individu itu daripada dibelenggu masalah kewangan pasti membuatkan sesiapa sahaja teruja.

Perasaan itu turut dialami Normala Aziz, 27, apabila dia tertarik untuk melabur hanya kerana 'sambutan' yang diterima oleh rakan mayanya.

Normala berkata, ucapan terima kasih kerana membantu dan juga gambar bersama kereta serta banglo mewah yang diterima dan terpapar di profil rakannya itu, membuatkan dia lebih yakin untuk turut serta.

Setelah mendapatkan maklumat lanjut daripada rakan mayanya itu, satu pertemuan dilakukan.

"Saya memandu ke pejabatnya dan mula mencari tempat letak kereta di dalam bangunan itu.

"Agak terkejut apabila melihat pelbagai kereta mewah seperti Porsche, Ferrari serta Aston Martin berbaris dalam tempat letak kereta itu dan semuanya ada pelekat skim pelaburan tersebut," katanya yang ketika itu masih lagi belajar di institusi pengajian tinggi di ibu negara.

Tanpa berfikir panjang, Normala yang ketika menyertai pelaburan tersebut masih belajar di institusi pengajian tinggi awam, telah melaburkan wang biasiswanya sebanyak RM2,000.

Masalah mula timbul apabila dia terpaksa mencari ahli baru untuk melayakkan dia menerima pulangan dijanjikan dalam pelaburan tersebut.

Malah, pihak atasan dan ejen meminta dia menaikkan pelaburan sehingga RM35,000 untuk melayakkannya menjadi 'rakan kongsi'.

Terdorong dengan kata-kata itu, dia mula meminjam wang daripada rakan-rakan, ahli keluarga dan saudara mara.

Malangnya 'langit tidak selalunya cerah' apabila ramai di antara 'rakan kongsi' pelaburan itu ditangkap oleh pihak polis berikutan dakwaan melakukan pengumpulan deposit secara haram.

KES 2:

DENGAN hanya log masuk ke dalam Facebook, seseorang berjaya mendapat RM100.

Jika ikut logik akal, bukan mudah seseorang mendapatkan keuntungan dengan hanya bergoyang kaki sambil melayari Facebook.

Namun, itulah hakikatnya yang berlaku kepada salah seorang mangsa, Derrick Lau, 27, apabila mencuba untuk turut sama berjaya seperti yang diiklankan oleh skim pelaburan Facebook itu.

"RM100 bukan nilai yang besar untuk modal dan saya rasakan pada mulanya tidak salah untuk saya mencuba, mana tahu nasib menyebelahi saya," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Derrick, taktiknya sangat mudah, selepas mendaftar dan membayar RM100 sebagai modal awal, pelabur perlu memperkenalkan ahli baru.

Pada awalnya, tiada penerangan khusus diberikan mengenai skim pelaburan tersebut.

Setelah menyertainya, barulah dinyatakan bahawa skim tersebut perlu mencari 'orang bawah' (downline).

"Mereka mendapat keuntungan dengan merekrut orang baru dan memasukkan wang ke dalam akaun mereka.

"Lagi ramai yang masuk, makin bertambahlah duit di dalam akaun dan ia ternyata bukan satu pelaburan tetapi hanya mengambil wang orang lain.

"Menyedari perkara itu, saya terus tidak menyertainya lagi dan bagi sesiapa yang bertanya, saya katakan ia adalah satu penipuan," katanya.

KES 3:

KHIDIR Rosli, 32, merupakan seorang pekerja swasta di salah sebuah hospital di ibu negara yang mahu mendapatkan keuntungan dengan cara mudah.

Dia ditemukan oleh seorang rakan kepada satu skim pelaburan yang berasaskan Internet yang mana dapat memberikan pulangan sehingga 10 peratus setiap bulan.

Masuk RM1,000, hujung bulan dapat RM100 dan begitulah seterusnya mengikut jumlah pelaburan yang dibuat - lebih tinggi pelaburan lebih banyak pulangan yang diterima

Menurutnya, sesiapa sahaja yang mempunyai akaun bank terutama Maybank2u boleh menyertai pelaburan ini kerana keuntungan akan didebitkan terus ke akaun mereka secara bulanan.

Pada awalnya, dia kurang percaya berikutan telah tertipu dengan pelaburan lain sebelum ini.

Namun, pujukan serta cerita yang dibawa oleh temannya itu tentang kejayaan mereka telah dapat menundukkan hati Khidir untuk mula melabur.

Dalam bulan pertama, dia mendapat RM100 dan begitu juga dengan bulan-bulan seterusnya.

Pada bulan kelima dan keenam, pulangan yang diterima semakin meningkat kepada RM500, membuatkan dia merasa sangat gembira kerana beranggapan pelaburan kali ini tidak sia-sia.

"Saya terus menghubungi ejen dan dia mengatakan syarikat sedang meningkat naik dan pelabur menerima pulangan yang lumayan.

"Dia juga menyuruh saya untuk menambahkan pelaburan bagi mendapatkan pulangan berlipat kali ganda," katanya.

Atas idea yang diberikan ejen skim tersebut, beliau membuat pinjaman peribadi kepada sebuah bank sebanyak RM50,000 untuk tujuan melabur dengan harapan mendapat pulangan lebih besar.

Pada bulan pertama, bayaran sebanyak RM5,000 telah diterima menerusi akaun bank.

Bagaimanapun, pada bulan kedua dan seterusnya, bayaran semakin berkurangan kepada RM2,500 dan pernah dia mendapat hanya RM1,000 sahaja.

Lama-kelamaan dia tidak menerima langsung pulangan wang pelaburan.

Full content generated by Get Full RSS.

Kekalkan tradisi sambutan perayaan - Najib

Posted:

Kekalkan tradisi sambutan perayaan - Najib

Kekalkan tradisi sambutan perayaan - Najib

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengajak seluruh rakyat Malaysia mengekalkan tradisi menyambut perayaan bersama-sama, termasuklah sambutan Tahun Baru Cina.

Sambil menyifatkan ia sebagai satu keunikan yang tidak terdapat di negara-negara lain, Perdana Menteri berkata, sambutan itu mendekatkan seluruh rakyat Malaysia pelbagai kaum untuk bersama-sama meraikannya.

"Perayaan ini juga mewujudkan suasana yang harmoni dan mempunyai nilai yang sungguh besar serta tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya perlu diperkukuhkan sebagai tradisi dan pegangan seluruh rakyat Malaysia.

"Saya juga menyeru rakyat Malaysia untuk saling mengunjungi pada hari perayaan ini," katanya ketika menghadiri sambutan perayaan Tahun Baru Cina anjuran MCA di Wisma MCA, Jalan Ampang, di sini, hari ini.

Najib yang tiba pada pukul 9.40 pagi disambut oleh pemimpin MCA yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dengan paluan gendang, tarian naga dan tarian singa.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, menteri-menteri Kabinet serta dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kesemua pemimpin itu kemudiannya menyertai upacara menggaul makanan Yee Sang iaitu tradisi yang dilakukan pada setiap kali menyambut Tahun Baru Cina.

Najib menambah, kedatangan Tahun Baru Cina kali ini juga diharapkan akan membawa tuah kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Sambil merujuk kepada Tahun Naga Air dalam kalendar Cina tahun ini, Najib berkata, ia adalah permulaan yang baik untuk memulakan perniagaan, sekali gus membawa maksud baik kepada ekonomi.

Meskipun diadakan secara sederhana, sambutan Tahun Baru Cina anjuran MCA tahun ini tetap diraikan dengan penuh meriah apabila dihadiri oleh kira-kira 10,000 orang termasuk pelancong asing.

Selain persembahan tarian naga, hadirin juga dihiburkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan termasuk seni mempertahankan diri oleh masyarakat pelbagai kaum.

Full content generated by Get Full RSS.

0 ulasan:

Catat Komen