Selasa, 24 Januari 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


3 maut kereta bertembung di Jalan Mantin-Beranang

Posted: 24 Jan 2012 03:10 AM PST

Mutakhir

NILAI: Tiga individu termasuk sepasang suami isteri, terbunuh dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Mantin-Beranang di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, kereta Toyota Vios yang dinaiki pasangan suami isteri itu bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga yang datang dari arah bertentangan.

Mangsa yang maut ialah penumpang belakang kereta Toyota Vios iaitu Lim Fong Len, 74, dan isterinya, Chong Yoon Ying, 57, yang berasal dari Mantin serta pemandu Proton Saga, Tee Chan Hen, 23, yang berasal dari Seri Kembangan, Selangor. Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Mohd Yusoff Awang, berkata Chong meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Mantin manakala Lim maut semasa dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban.

Katanya, pasangan suami isteri itu dan pemandu kereta Proton Saga meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Beliau berkata, tiga lagi mangsa dalam kereta Toyota Vios tersebut iaitu pemandu berusia 37 tahun dan isterinya, berusia 40-an serta anak saudara perempuan mereka berusia tiga tahun dilaporkan parah dan dirawat di HTJ.

"Ketika kejadian, lima beranak yang menaiki kereta Toyota Vios tersebut dalam perjalanan menghala ke Beranang manakala kereta Proton Saga menghala ke Mantin," katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Saga terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Toyota Vios.

Bagaimanapun, Mohd Yusoff berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Semua mayat dibawa ke HTJ untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarga masing-masing.

Seorang saksi Zakaria Mohd. Kadir, 23, yang berada berhampiran tempat kejadian sewaktu kemalangan itu, berkata dia bersama tiga lagi rakannya sedang menjalankan kerja-kerja membaiki paip bocor di tepi jalan itu sebelum terdengar bunyi letupan kuat.

Dia bersama rakannya yang terkejut kemudiannya melihat dua buah kereta berada dalam keadaan remuk selepas bertembung antara satu sama lain, kira-kira 20 meter dari tempat dia berada.

"Saya bersama rakan yang lain terus berkejar ke arah kereta terbabit dan cuba membantu mengeluarkan penumpang dari dalam kereta Toyota Vios dan beberapa penumpang dalam kereta itu sedang mengerang kesakitan.

"Pemandu kereta Proton Saga itu pula saya lihat sudah tidak bernyawa dan tersepit dalam kenderaannya yang remuk," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. - BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Asrama lelaki SMA Nahdzah di Yan, Kedah terbakar

Posted: 24 Jan 2012 02:19 AM PST

Mutakhir

YAN: Sebuah bilik asrama lelaki Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdzah, Bukit Besar dekat sini musnah dalam satu kebakaran pada jam 12.40 tengah hari tadi dengan kerugian dianggarkan kira-kira RM10,000.

Pengetua sekolah, Adnan Osman, berkata pihak sekolah menyedari kejadian itu selepas seorang jiran yang tinggal berdekatan sekolah memaklumkan kepada pengawal keselamatan mengenai asap tebal dari arah kawasan blok asrama lelaki sekolah berkenaan.

Bercakap kepada pemberita di tempat kejadian, Adnan berkata, ketika kejadian berlaku tiada pelajar berada di sekolah kerana semua sedang bercuti sempena Tahun Baru Cina. "Saya sangat bersyukur semasa kejadian ini berlaku sekolah masih bercuti dan tidak ada kemalangan jiwa yang berlaku, cuma yang terbakar adalah katil, tilam serta buku sekolah saja," katanya.

Katanya, blok asrama lelaki sekolah itu mempunyai 14 buah bilik iaitu tujuh bilik di tingkat atas manakala tujuh lagi di tingkat bawah dan bilik asrama lelaki yang terbakar itu menempatkan 10 pelajar yang terdiri daripada pelajar Tingkatan Tiga dan Empat.

Sekolah itu adalah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan mempunyai 710 pelajar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Abdul Muin Ayob yang mengetuai operasi memadam kebakaran berkata, bomba menerima panggilan pada jam 12.40 tengah hari dan 11 anggota bomba bersama dua jentera tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.
Katanya, api dapat dipadam sepenuhnya pada jam 1.30 tengah hari dan punca kejadian sedang disiasat.

Pegawai Tugas-tugas Khas Perdana Menteri, Datuk Latt Shariman Abdullah, yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, yang melawat kawasan kejadian menghulurkan sumbangan kepada pengetua sekolah bagi meringankan beban pihak sekolah untuk membaik pulih asrama itu. - BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan