Isnin, 30 Januari 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Kuasa ketiga tidak relevan

Posted: 30 Jan 2012 01:46 PM PST

Nasional

KUALA LUMPUR: Kuasa ketiga yang dikatakan menjadi penentu siapa mengetuai kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), tidak relevan dalam konteks politik Malaysia kerana ia diwakili golongan kecewa yang ditolak Barisan Nasional (BN) atau pembangkang.

Ahli Parlimen Bebas, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, berkata kumpulan yang menganggap diri sebagai kuasa ketiga sebenarnya tidak mempunyai banyak pengaruh terutama apabila berdepan dengan realiti rakyat Malaysia yang memilih parti bukannya calon dalam pilihan raya.

"Malah, boleh saya katakan, ada yang sekadar 'syok' sendiri, sedangkan mereka ini kumpulan kecil. Jika melihat sejarah PRU 2008, tsunami politik dinikmati pembangkang bukan kerana BN lemah. "Ketika itu pengundi kecewa kepada BN dan memilih pembangkang yang menampilkan calon tidak ternama atau belum terbukti mampu menjalankan tugas. Umpamanya, kemenangan saya di Bayan Baru adalah disebabkan saya bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika itu, tetapi sebagai individu, kita tidak tahu sejauh mana kekuatan kita," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa BN sedia berdepan dengan sesiapa saja, termasuk kuasa ketiga yang didakwa bakal menjadi penentu PRU-13.

Zahrain turut mengemukakan dua contoh iaitu Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dipimpin Datuk Ibrahim Ali dan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) diterajui bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Zaid Ibrahim sebagai kuasa ketiga yang diuar-uarkan.

"Saya lihat mereka ini akan cenderung kepada parti asal masing-masing apabila tiba pilihan raya. Kuasa ketiga ini dibentuk individu yang kecewa atau yang mempunyai pandangan berbeza menyebabkan mereka meninggalkan parti supaya boleh menyuarakan apa saja tanpa bimbang dikenakan hukuman.
"Namun, apabila tiba pilihan raya mereka akan kembali menyokong parti asal atau parti baru yang menjadi pilihan masing-masing kerana sebagai individu, mereka tiada berpengaruh," katanya.

Pemerhati politik, Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abdullah, berkata pengundi di negara ini, kini sudah matang dengan keadaan politik semasa terutama pembentukan kumpulan atau parti politik yang diasaskan oleh individu yang disingkir atau keluar daripada parti asal masing-masing.

"Dari sudut positif, BN boleh memanfaatkan kumpulan ini dengan memujuk mereka menyokong perjuangannya," katanya.

Di KLUANG, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kebangkitan kuasa ketiga bukan ancaman kerana BN mempunyai formula tersendiri untuk menanganinya, termasuk memastikan pemimpin kerap turun ke padang bertemu golongan akar umbi.

Malah, katanya, perjuangan kuasa ketiga ini boleh digemblengkan bersama BN dengan syarat mereka mempunyai agenda yang sama dengan BN serta ikhlas berjuang untuk rakyat, negara dan bangsa.

"Apabila ahli politik tidak memahami atau mengikuti perubahan serta permintaan rakyat, pasti akan wujud kuasa ketiga, keempat atau kelima," katanya.

Di KUANTAN, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob bagaimanapun mengakui kuasa ketiga mungkin boleh menjadi penentu PRU-13, tetapi yakin ia tidak akan menjejaskan sokongan rakyat kepada BN.

Full content generated by Get Full RSS.

BB1M: UUM panggil 113 pelajar

Posted: 30 Jan 2012 01:45 PM PST

Nasional

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) akan memanggil 113 pelajarnya yang disyaki terbabit dengan kes penjualan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) kepada sepasang suami isteri untuk siasatan sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

Naib Canselor UUM, Datuk Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata semua pelajar terbabit yang sudah dikenal pasti identitinya itu akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak universiti sejurus semester baru bermula pada 18 Februari ini.

Beliau berkata, UUM kesal dengan tindakan pelajar terbabit yang menyalahgunakan baucar diberikan kerajaan untuk meringankan beban pelajar membeli buku akademik, dengan menjualnya kepada pihak lain. "Justeru, kita akan panggil semua yang terbabit yang mana majoritinya pelajar lelaki sejurus tamat cuti semester ini, untuk memberi penjelasan berhubung kes berkenaan dan akan mengambil tindakan jika perlu.

"Bagaimanapun, kesalahan ini tidak boleh diletakkan di atas bahu pelajar semata-mata kerana ia tidak akan berlaku jika tidak ada pihak yang menawarkan perkhidmatan membeli baucar buku berkenaan," katanya pada sidang media di pejabatnya di UUM, semalam.

Beliau mengulas kes penjualan BB1M membabitkan 113 pelajar UUM kepada pasangan suami isteri dengan harga RM180 sebagai pertukaran bagi baucar bernilai RM200, dengan RM20 adalah keuntungan suspek.

Pasangan berkenaan berusia lewat 30-an yang dikatakan memiliki kedai buku di ibu negara ditahan polis malam kelmarin selepas siasatan mendapati mereka mendalangi kegiatan yang didedahkan media sebelum ini.
Mengulas mengenai tangkapan itu, Mohamed Mustafa berkata, pihak pengurusan UUM mengesan mengenai kegiatan pasangan terbabit pada 9 Januari lalu, selepas suspek dikatakan menampal poster iklan berhubung perkhidmatan pembelian baucar berkenaan di sekitar kampus sebelum menjalankan siasatan.

Katanya, pasangan suami isteri itu dikatakan menyewa di sebuah apartmen milik UUM untuk memudahkan urus niaga penjualan baucar itu dengan pelajar universiti terbabit.

"Kita sudah bertindak awal dengan melaporkan kes ini kepada bahagian keselamatan UUM untuk siasatan sebelum berjaya memberkas pasangan berkenaan dan diserahkan kepada polis," katanya.

Sementara itu, Mohamed Mustafa, berkata pihaknya menyifatkan ia adalah kes terpencil memandangkan jumlah pelajar UUM yang terbabit dengan kes berkenaan adalah terlalu kecil iaitu 113 orang, berbanding 30,000 pelajar universiti itu yang mendapat BB1M.

"Saya percaya semua pelajar terbabit menyesal dengan perbuatan mereka selepas terpedaya dengan tawaran diberikan individu yang tidak bertanggungjawab itu," katanya.

Difahamkan, pasangan suami isteri berkenaan ditahan bahagian keselamatan UUM pada 15 Januari lalu kira-kira jam 3 petang di dalam apartmen yang disewa mereka.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

Naiem

Kalaulah saya masih belajar di Universiti dahulu, boleh saya guna baucer tersebut untuk beli buku-buku teks yang mahal harganya. Terutamanya apabila naik ke semester akhir. Semua buku teks jenis yang diimport.

abangaji BP

Memang patut dipanggil dan dihukum.Begitulah nasib orang yang tidak tahu menghargai pemberian orang. Yang mereka tahu salah orang lain sahaja....

Suhaimi

Itu hak pelajar. Terpulang kepada pelajar sama ada nak guna, nak jual, nak simpan buat kenang kenangan. Disebalik apa yang berlaku, patutlah dikaji sama ada baucer tersebut perlu atau tidak perlu.


Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan