Selasa, 17 Januari 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Dr M bidas pihak pertikai hak Saiful

Posted: 17 Jan 2012 09:13 AM PST

Nasional

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad membidas tindakan pihak yang mempertikaikan hak bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan untuk memohon Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan ketua pembangkang daripada tuduhan meliwat.

"Apakah dalam negara ini mangsa yang kerdil tidak berhak kepada keadilan sehingga dia tidak boleh merayu untuk didengar oleh mahkamah lebih tinggi?," kata bekas Perdana Menteri dalam entri terbaru di laman blognya, semalam.

Dr Mahathir berkata, apabila Anwar didapati tidak bersalah kerana tiada bukti kukuh untuk menyokong keterangan Mohd Saiful, hak mangsa untuk membuat rayuan dipertikaikan. Katanya, sejarah kehakiman negara menunjukkan Anwar menang pertandingan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah sejak empat tahun kes itu diadili.

"Awal-awal lagi dituntut supaya hakim ditukar kerana kononnya berat sebelah. Dengan itu perbicaraan ditangguh sementara tuntutannya ditimbang oleh mahkamah. Masa berbulan-bulan berlalu kerana mahkamah terpaksa menentukan tarikh untuk mendengar rayuannya.

"Selepas diputus yang hakim berkenaan boleh mendengar rayuannya, ada lagi rayuan dikemukakan. Jika keputusan dibuat baru-baru ini mendapati Anwar bersalah, percayalah beliau akan membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

"Jika Mahkamah Rayuan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi, maka Anwar akan rayu kepada Mahkamah Persekutuan dan jika Mahkamah Persekutuan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, maka Anwar akan tuntut untuk kesnya dibawa kepada Mahkamah Khas," katanya.
Beliau juga turut mempersoalkan keistimewaan yang dimiliki pemimpin pembangkang untuk menentukan bahawa keadilan hanya akan berlaku jika mereka didapati tidak bersalah.

"Apakah di negara ini keengganan pembesar pembangkang mengangkat sumpah bukan saja di masjid dengan menjunjung al-Quran, tetapi ketika dibicara dalam mahkamah biasa tidak mempunyai apa-apa makna terutama kepada orang Islam dan sumpah laknat oleh si kerdil juga tidak boleh diambilkira?

"Atau apakah menjadi satu daripada perjuangan pakatan bahawa apa yang disarankan oleh Anwar dalam BBC bahawa undang-undang negara ini sudah lapuk dan perlu ditukar kepada kebebasan untuk meliwat mengikut liberalisme Barat?," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Krisis kewangan global beri kesan terburuk

Posted: 17 Jan 2012 09:10 AM PST

Nasional

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata krisis kewangan global adalah salah satu peristiwa paling ekstrem yang kononnya bukan keganasan tetapi hakikatnya ia memberi kesan buruk kepada dunia.

Perdana Menteri berkata walaupun tiada sebutir peluru pun dilepaskan, aktiviti melampau dan berlebihan di Wall Street (Bursa Saham New York) ternyata memberi kesan buruk kepada banyak pihak.

Justeru, beliau berpendapat ekstremisme bukan sentiasa ganas walaupun keganasan sering dikaitkan dengan gambaran pembunuhan yang dahsyat, huru-hara serta penderitaan manusia. Dalam konteks itu, Najib membandingkan kejadian 9/11 yang mengejutkan dunia dengan gambaran pekerja meninggalkan Ibu Pejabat Lehman Brothers dalam keadaan fikiran bercelaru dan tegang beberapa tahun kemudian.

Malah, beliau berkata, zon Eropah masih dalam krisis sehingga kini dengan berjuta orang kehilangan pekerjaan dan kediaman mereka.

"Sebagai tambahan kepada kos manusia, kira-kira AS$14 trilion sudah dibelanjakan setakat ini untuk pelan menyelamat, 10 kali ganda gabungan kos peperangan di Afghanistan dan Iraq," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM2012), di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini semalam.

Justeru, Najib berkata, beliau tertarik kepada persoalan bagaimana kesederhanaan yang bukan saja boleh menyelesaikan masalah ekstremisme ganas, malah membantu usaha mengharungi krisis ekonomi global.
Beliau juga berkata, struktur dan prinsip kewangan Islam jelas telah sekian lama meletakkan kepentingan orang ramai mengatasi pemerolehan individu.

"Jadi, bagaimana kita mencipta sebuah ekonomi global benar-benar sederhana yang berfungsi untuk kepentingan ramai dan bukan segelintir. Bagaimana kita boleh merangka sebuah sistem yang memberi keadilan kepada 'golongan 99 peratus', bukan hanya mereka pada peringkat atasan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, ketidakadilan akibat ketiadaan pemantauan serta amalan ekonomi yang gelojoh sehingga menjejaskan sistem kewangan global mesti dihapuskan.

Dalam pada itu, Najib berkata, Malaysia sudah lama sinonim dengan kesederhanaan, bertolak ansur, inklusif dan penerimaan.

"Kami ada banyak kumpulan etnik dan agama tetapi berterusan berusaha menjadi negara yang harmoni serta bersatu padu atas nilai kesederhanaan dan semangat 1Malaysia. Kami tahu bahawa kami adalah terbaik dan paling teguh dalam saling menerima perbezaan kami," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan