Rabu, 18 Januari 2012

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


7.2 hektar tapak IPT

Posted:

7.2 hektar tapak IPT

7.2 hektar tapak IPT

Oleh RADHUAN HUSSAIN
utusanterengganu@utusan.com.my


AHMAD Razif Abdul Rahman (tengah) bersama 497 pelajar Politeknik Kuala Terengganu yang menerima BB1M di Wisma Darul Iman, semalam.


KUALA TERENGGANU 17 Jan. - Kerajaan negeri menawarkan kawasan 7.2 hektar di Banggol Air Leleh dalam Parlimen Kuala Nerus dekat sini kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi pembinaan dua institusi pengajian tinggi (IPT).

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, langkah itu dijadikan pemangkin kewujudan bandar baharu.

Katanya, dua IPT yang dicadangkan itu ialah Kolej Komuniti dan Politeknik Kuala Terengganu.

Beliau memberitahu, selain pembinaan dua IPT berkenaan, kawasan di sekitar Gong Badak sudah menempatkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Menurutnya, projek pembangunan bandar baru Kuala Nerus itu turut melibatkan pembinaan dua buah gedung beli-belah seperti Mydin Mall dan Giant selain premis kedai dan rumah kediaman.

"Projek membangunkan kawasan ini sebagai bandar baru akan dijalankan oleh dua syarikat pemaju dan kerajaan telah bersetuju mengenakan mereka (pemaju) syarat agar menyediakan kawasan khusus untuk tapak IPT.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Baucar Buku 1Malaysia Kepada Pelajar-Pelajar Politeknik Kuala Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah politeknik itu, Radiah Che Su dan timbalannya, Abdul Nasir Ali.

Pada majlis itu, seramai 479 pelajar politeknik berkenaan menerima baucar buku bernilai RM200 setiap seorang yang disampaikan oleh Ahmad Razif.

Ahmad Razif selanjutnya memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus memberi sokongan bagi membangunkan bidang pendidikan di negeri ini termasuk pembinaan dua buah IPT berkenaan.

"Berdasarkan perjanjian antara kerajaan negeri dengan dua syarikat pemaju terlibat, mereka (pemaju) perlu menyediakan ruang atau kawasan untuk membina dua buah IPT di situ," jelasnya.

Kampus induk Politeknik Kuala Terengganu yang sebelum ini dikenali sebagai Politeknik Kota masih menyewa bangunan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Terengganu di Jalan Sultan Ismail, di sini.

Dua lagi kampusnya ditempatkan di Jalan Air Jernih dan di atas bangunan KFC di Jalan Sultan Ismail.

Full content generated by Get Full RSS.

USMKK cipta sejarah terima pensijilan ICC

Posted:

USMKK cipta sejarah terima pensijilan ICC

USMKK cipta sejarah terima pensijilan ICC


OMAR Osman menerima sijil ICC Organisasi daripada Mohd. Razali Hussain (kanan) pada Konvensyen Kualiti di Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, baru-baru ini.


KOTA BHARU 17 Jan. - Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan (USMKK) mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi agensi kerajaan dan perkhidmatan awam pertama yang mendapat pensijilan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (ICC) Organisasi daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Penyampaian sijil ICC Organisasi itu telah diserahkan sendiri oleh Ketua Pengarah MPC, Mohd. Razali Hussain kepada Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Omar Osman sempena Majlis Perutusan Naib Canselor 2012 dan Konvensyen Kualiti di kampus itu di Kubang Kerian dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis itu adalah, Pengarah USMKK, Prof. Datuk Dr. Mafauzy Mohamed.

Omar dalam ucapannya berkata, beliau amat berbangga dengan pencapaian USMKK dalam menerajui program ICC sejak lebih 25 tahun lalu sehingga berjaya meninggalkan jauh kampus-kampus lain dalam universiti itu.

Jelasnya, penubuhan kumpulan ICC telah berjaya melahirkan kakitangan yang berkualiti sehingga membawa kepada kejayaan USM di pertandingan inovasi peringkat dalam dan luar negara.

Justeru, beliau berharap, USMKK akan menyalurkan pengalaman dan kepakaran mereka dan menjemput sama ICC dari kampus lain turut serta dalam konvensyen kualiti yang dianjurkan setiap tahun.

Sementara itu, Penyelaras Kualiti USMKK, Dr. Mary Abraham berkata, terdapat 50 kumpulan ICC di kampus itu yang aktif dengan usaha-usaha inovasi selain 128 kumpulan baru yang ditubuhkan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) tahun lalu.

"Kita berbangga apabila dua kumpulan kakitangan dari Kampus Kesihatan universiti ini mengungguli pertandingan inovasi di peringkat dalam dan luar negara pada tahun lalu.

"Projek Ezi Crutch dari kumpulan Rehab Charger memenangi Anugerah Cemerlang di International Quality Concept Circles Convention (IQCCC) di Yokohama, Jepun pada September lalu, manakala projek I-Mod dari kumpulan Lestari pula memenangi Anugerah Inovasi Negara 2011 pada pertengahan November.

"Diharapkan kita tidak 'menggigit jari' apabila inovasi yang dibuat 'dicilok' pihak lain sekiranya kita sendiri yang terlambat dalam usaha mempaten dan mengkomersial penat lelah yang dicurahkan," katanya.

Sebuah lagi kumpulan ICC dari kampus itu, Infinity Rehab dengan ciptaan Chest Binder akan mewakili universiti ke pertandingan IQCCC di Kuala Lumpur pada Oktober depan.

Full content generated by Get Full RSS.

Warga USM gotong-royong masak bubur asyura

Posted:

Warga USM gotong-royong masak bubur asyura

Warga USM gotong-royong masak bubur asyura


SEBAHAGIAN daripada 500 warga USM menyertai program memasak bubur asyura di pekarangan Masjid Pusat Islam Kubang Kerian, kelmarin.


KOTA BHARU 17 Jan. - Kira-kira 500 warga Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, bergotong-royong memasak 20 kawah bubur asyura sebagai sebahagian aktiviti Sambutan Maal Hijrah peringkat universiti itu, semalam.

Program itu yang merupakan aktiviti tahunan universiti berkenaan, dimeriahkan dengan penyertaan penuntut antarabangsanya dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Timbalan Pengarah Pusat Islam USM Kampus Kesihatan, Dr. Wan Nudri Wan Daud semasa ditemui memberitahu, pihaknya membelanjakan RM8,000 bagi menyediakan bahan untuk memasak bubur itu.

Beliau berkata, pihaknya memilih untuk mengatakan gotong-royong tersebut kerana keunikan bubur asyura dalam kalangan masyarakat tempatan.

"Program gotong-royong memasak bubur itu menarik penyertaan ramai warga kampus terutama yang datang dari luar Kelantan.

"Bermula daripada penyediaan bahan serta ramuannya, semuanya dilakukan secara gotong-royong," katanya di sini.

Menurut Dr. Wan Nudri, kebanyakan peserta tidak pernah menyertai program seumpama itu dan ia meninggalkan pengalaman tersendiri buat mereka selepas menamatkan pengajian di sini.

Beliau memberitahu, komitmen warga kampus dan NGO terbabit terbukti apabila mereka tidak berganjak dalam menyediakan bahan-bahan sehingga memasak bubur selama tujuh jam yang sememangnya memerlukan banyak tenaga.

"Bubur ini diagih-agihkan di kalangan peserta dan warga kampus yang lain," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan