Selasa, 23 Ogos 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Penganggur menyamar pegawai Istana Negara ditahan polis

Posted: 23 Aug 2011 03:28 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur yang menyamar sebagai penjawat awam Istana Negara dengan menggelarkan dirinya sebagai "Tengku Razali" ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abd Bari Wan Abdul Khalid berkata lelaki berumur 28 tahun itu dipercayai aktif dalam kegiatan menyamar sebagai penjawat awam dan menipu di sekitar Lembah Klang.

Katanya lelaki terbabit ditangkap pada 18 Ogos lalu di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini kira-kira 2 petang.

Beliau berkata suspek menyamar sebagai seorang peguam Istana Negara semasa memperdayakan mengsa.


Mangsa, seorang wanita berumur 44 tahun merupakan seorang penjual kuih di Taman Wahyu di sini dan diperdayakan untuk diberikan tender membuat kuih di Istana Negara.


"Apabila mendapat kepercayaan mangsa, mangsa tersebut telah dibawa ke depan pintu masuk Istana Negara dan suspek mengarahkan mangsa untuk menanggalkan barang-barang kemas di dalam kereta atas alasan tidak boleh di bawa masuk sebarang barang kemas ke dalam istana.

"Selepas mendapatkan barang kemas mangsa, suspek memberi alasan mahu letakkan kereta di tempat parkir tetapi terus meninggalkan mangsa di luar istana," kata Wan Abd Bari dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Brickfields hari ini. - Bernama

Tukang rumah maut dihempap konkrit

Posted: 23 Aug 2011 02:45 AM PDT

PASIR MAS: Niat baik seorang tukang rumah yang mahu menanggalkan papan lapis dan kayu sokongan di bawah jambatan yang baru dibina bertukar tragedi apabila dia maut ditimpa konkrit yang runtuh.

Kejadian berlaku kira-kira 9.30 pagi, Ibrahim Awang Kechik, 58, yang mengambil upah memasang bumbung restoran tiba-tiba turun dari bumbung dan cuba menanggalkan papan lapis binaan jambatan yang dibuat oleh tukang lain di hadapan restoran itu di Lati di sini.

Rakan mangsa, Mohd Rosli Ibrahim, 55, berkata beliau dan Ibrahim baru tiga hari mengambil upah memasang bumbung restoran itu dan bukan tugas mereka untuk membina jambatan.

"Tetapi pagi tadi, dia (Ibrahim) memberitahu saya dia nak turun ke bawah untuk membantu menanggalkan papan dan kayu sokongan jambatan yang baru dibuat oleh tukang lain beberapa hari lepas," katanya kepada pemberita di sini.


Beberapa minit kemudian beliau terdengar bunyi dentuman yang kuat berpunca daripada runtuhan itu.


"Saya turun ke bawah, memanggilnya tetapi tidak disahut..kemudian saya lihat jambatan konkrit itu ranap sama sekali dengan Ibrahim berada di bawahnya dalam keadaan tertiarap," katanya.

Beliau berkata jambatan itu berkemungkinan tidak dapat menampung beban yang berat selepas kayu sokongan ditanggalkan Ibrahim kerana terdapat timbunan pasir di atas jambatan itu.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba Pasir Mas, Pegawai Bomba Kanan II, Azuhan Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira 9.43 pagi dan lima anggota telah bergegas ke tempat kejadian. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan