Selasa, 1 November 2011

Berita Harian: MukaDepan

Berita Harian: MukaDepan


Sekat pelajar IPT berpolitik tidak sah

Posted: 31 Oct 2011 03:14 PM PDT

MukaDepan

Mahkamah rayuan putuskan Seksyen 15 (5)(a) AUKU bercanggah perlembagaan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam memutuskan peruntukan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam dan luar negara, adalah tidak sah dan bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan 2-1 oleh panel tiga hakim, diketuai Datuk Wira Low Hop Bing itu memutuskan seksyen 15 (5) (a) AUKU bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan AUKU sebagai sah di sisi perlembagaan dalam menguatkuasakan sekatan tertentu. Pada 28 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan empat pelajar Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Hilman Idham, 22; Woon King Chai, 23; Muhammad Ismail Aminuddin, 23 dan Azlin Shafina Mohamad Adza, 23, yang didakwa terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor pada April tahun lalu.

Dalam saman pemula yang difailkan pada 1 Jun tahun lalu, mereka menamakan kerajaan, Kementerian Pengajian Tinggi dan UKM bagi mencabar tindakan universiti mengemukakan notis menghadiri Lembaga Disiplin UKM bagi menjawab tuduhan melanggar seksyen berkenaan. Bagaimanapun, mereka didapati tidak bersalah oleh lembaga itu dan menamatkan pengajian masing-masing bulan lalu.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus, berpendapat Seksyen 15(5)(a) berhubung larangan itu tidak munasabah dan tidak dapat melihat bagaimana sokongan atau bangkangan pelajar ke atas mana-mana parti politik boleh memudaratkan kepentingan atau moral awam.

"Bukankah parti politik adalah entiti sah dari segi undang-undang yang menjalankan aktiviti politik yang sah. Bukankah pemimpin politik, termasuk menteri dan penggubal undang-undang persekutuan dan negeri juga adalah ahli parti politik.
"Peruntukan ini tidak rasional. Kebanyakan pelajar universiti sudah mencapai usia majoriti, mereka boleh memasuki perjanjian dalam kontrak, boleh menyaman dan disaman, berkahwin, menjadi ibu bapa dan menjalankan kewajipan kekeluargaan.

"Mereka boleh mengundi jika mencapai usia 21 tahun dan boleh menjadi pengarah syarikat dan pemegang jawatan sesuatu pertubuhan. Ironinya mereka pula diberitahu, mengikut undang-undang mereka tidak boleh berkata apa-apa yang ditafsirkan sebagai menyokong atau membangkang sesebuah parti politik," katanya.

Mohd Hishamuddin berkata, beliau juga berpendapat Seksyen 15(5)(a) menghalang perkembangan sihat minda kritikal dan pemikiran asal pelajar yang bukan saja tidak produktif, malah mengongkong kerana universiti sepatutnya menjadi institusi yang melahirkan pakar pemikir serta pembaharuan dan bukan pelajar yang dilatih seperti robot.

Datuk Linton Albert pula berkata, yang jelas, peruntukan dalam AUKU tidak masuk akal kerana empat pelajar berkenaan berdepan tindakan tata tertib, termasuk dibuang universiti hanya kerana menghadiri kempen pilihan raya kecil itu.

"Oleh kerana ia tidak munasabah, maka penghakiman saya berhubung Seksyen 15(5)(a) tidak berada di bawah ruang lingkup Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan (hal ketenteraman awam), bercanggah Perkara 10(1)(a) (kebebasan bersuara) dan tidak sah seperti termaktub dalam Perkara 4(1) perlembagaan," katanya.

Sementara itu, Hop Bing yang tidak bersetuju dengan kedua-dua penghakiman itu, berkata larangan pembabitan pelajar dalam politik perlu bagi menghalang penyusupan ideologi politik, termasuk sifat ekstremis di kalangan pelajar.

Beliau turut menyarankan (bukan sebahagian dari penghakiman) bahawa Parlimen mungkin boleh menimbangkan untuk meminda Seksyen 15(5) secara khusus dan keseluruhan akta secara umumnya bagi tujuan pemansuhan dan semakan.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

farizul

Syabas Malaysia. Inilah kebebasan suara yang diperlukan rakyat. Kepada student jangan lepas ni abai pelajran pula. Politik boleh, tapi pelajaran didahulukan.

Ex-Azhar

Fokus pd pelajaran dulu.. minda kita tak tersekat pn kalau tak sertai aktiviti politik.. Dlm kampus berpolitik buat apa.. jadi keldai saja.. org politik senior yg untung..

Mansor Selangor

Peraturan terlibat dalam politik yang mana aliran dan fahaman politik boleh menjerumuskan pelajar kepada aliran ekstrim dan bertindak ganas bak kata sebelum nasi menjadi bubur.

Raihana Rosli

Sebab tula kene hapuskan AUKU!! mengarut betul~

baharuddin

Pada tahun 1960han dan 1970han, kebanyakan ahli-ahli politik berkelulusan SPM dan peranan pelajar-pelajar universiti ketika itu dianggap relevan tetapi sekarang ini ahlli-ahli politik ramai yang berpelajaran tinggi sehinggi ke Ph.D. Sekarang ini, masyarakt tidak perlu lagi penglibatan pelajar-pelajar universiti kerana masyarakat sudah berpelajaran, biarlah orang dewasa yang matang dan berpelajaran yang terlibat dalam politik dan pelajar-pelajar universiti pula tumpukanlah pada pelajaran demi masa depan mereka.

siti

sibuk nk berpolitik belajar macam mana???...tanya diri sendiri...apa tujuan masuk universiti???lepas dah tamat pengajian nak berpolitik sampai mati pun tak pe...

shahrul

berpolitik la wahai orang melayu....disaat bangsa2 lain mengejar kejayaan dan kehadapan, orang kita terkontang kanting berpolitik untuk mengejar sesuata yang tak tahu macam mana nanti...orang kita hanya makan asap je la....bergaduh sesama sendiri....itu je yang hebat...berpecah sesama islam.....

Joe

Walau apa pun, pelajar IPT masih mentah untuk berpolitik, kalau dibiarkan akan mengundang tragedi seperti yang berlaku di negara2 arab skg ini.. cukuplah setakat dapat hak mengundi apabila cukup umur 21 tahun..

Marniyati Mohd. Nor

Selamat berjuang, siswa! Manfaatkan segenap ruang dan peluang yang ada ke arah masa hadapan yang lebih baik.

keyol

macamamana negara nak maju kalau semua aktiviti pelajar nak disekat?

portskye@gmail.com

apa lagi.... mansuhkan aje AUKU tu...

Redza

Pelajar sepatutnya fokus dalam pelajaran ini nak berpolitik, orang politik tu sah2 sudah ada kerjaya ini study belum habis masa depan belum dicorak dengan betul nak sokong sana sokong sini. Orang politik tu mana ada nak bantu pelajar2 itu masa susah.

azmel

telah lama kita di bodohkan dengan AUKU. AUKU adalah senjata untuk menyekat perkembangan pemikiran pelajar.


Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan