Utusan Online - Kota |
Posted: PPR Putra Damai terabaiOleh NUR NAZLINA NADZARI SEORANG kanak kanak, Afrina Azmi mencantumkan wayar untuk menggunakan lif di PPR Taman Putra Damai, Lembah Subang berikutan ketiadaan butang lif . - utusan/Nooradzrene Mohd Noor SUBANG 1 Nov. - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Mungkin itu perumpamaan yang tepat bagi menggambarkan keadaan penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Damai, Lembah Subang dekat sini. Ini kerana penghuni PPR yang mengandungi lapan blok setinggi 17 tingkat itu sudah lama menghadapi masalah penyenggaraan bangunan yang lemah. Semasa berada di hadapan lif Blok A, didapati hanya satu sahaja lif yang berfungsi dan apabila masuk ke dalamnya, banyak butang yang sudah tiada. Tidak dapat dibayangkan bagaimana penduduk blok itu yang begitu ramai menjalani urusan harian mereka terutama mereka yang tinggal di tingkat yang butang lif sudah hilang. Seorang penduduk, Noriah Yusoff, 37, berkata, masalah lif rosak itu berlaku di kesemua lapan blok di PPR itu dan ia amat menyusahkan penduduk kerana lif yang berfungsi itu juga sering rosak. Selain itu, katanya, keadaan itu membahayakan penduduk kerana lif itu sering tidak berfungsi secara tiba-tiba dan sudah ramai penduduk yang terperangkap di dalamnya termasuk dia sendiri. "Saya sudah beberapa kali terperangkap di dalam lif yang naik tanpa henti dan kemudian turun dengan kelajuan yang tinggi. Oleh kerana tiada sistem komunikasi untuk meminta tolong dari dalam lif, kami terpaksa mengopek pintu. "Walaupun telah banyak aduan telah dibuat, namun sehingga kini masih tiada sebarang tindakan diambil," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. Sementara itu, Hanim Ahmad, 29, berkata, masalah penyenggaraan di PPR itu menjadi teruk semenjak pilihan raya lalu kerana pelbagai perubahan dibuat serta pengurusan ditukar. Menurutnya, walaupun banyak aduan telah dibuat tetapi perkara itu tidak pernah diendahkan oleh Ahli Majlis, sebaliknya mereka lebih berminat untuk campur tangan dalam pemilihan wakil persatuan penduduk. "Di sini setiap blok mempunyai persatuan penduduk sendiri tetapi ia tidak dipilih oleh penduduk secara undian. Sebab itulah segala masalah kami tidak pernah dibela. "Sudahlah lif selalu rosak, tangga di Blok B juga tidak mempunyai pemegang dan ia boleh membahayakan penduduk terutamanya kanak-kanak dan orang tua," ujarnya. Di samping itu, masalah lain yang boleh dilihat ialah isu sampah, kebersihan kawasan sekitar blok yang terabai, hos bomba yang sudah hilang dan juga masalah paip bocor. Full content generated by Get Full RSS. |
Penduduk rayu PM campur tangan selesai masalah Posted: Penduduk rayu PM campur tangan selesai masalahSUBANG 1 Nov. - "Kami mohon Perdana Menteri turun padang dan mendengar sendiri nasib penduduk di sini yang sudah lama tertekan dengan pelbagai masalah." Itulah permintaan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Damai, Lembah Subang di sini yang semakin tidak tertanggung dengan masalah yang membelenggu mereka. Kata mereka, hanya Datuk Seri Najib Tun Razak mampu menyelesaikan masalah-masalah itu kerana pemimpin di bawah kerajaan negeri gagal membantu walaupun aduan sudah dibuat. "Ini termasuklah isu kadar sewa rumah yang tidak sama antara penduduk yang dihadapi sejak 2008," kata mereka. Setiausaha Persatuan Penduduk, Kamarulzaman Illias (gambar) , 41, berkata, bukan sahaja aduan mengenai masalah yang mereka hadapi tidak diendahkan, malah penduduk seolah-oleh diugut oleh pihak yang berkenaan. Katanya, penduduk yang tidak berpuas hati dengan kadar sewa rumah berbeza serta pelbagai masalah lain telah membawa perkara tersebut ke pengetahuan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abu Bakar Hassan. "Rentetan itu, pada Julai lalu, satu perjumpaan dengan Datuk Abu Bakar bersama penduduk, Penyelaras Pembangunan Lembah Subang dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah diadakan bagi membincangkan masalah-masalah yang dihadapi penduduk. "Antara masalah yang dibangkitkan penduduk adalah kadar sewa yang berbeza iaitu RM124 dan RM250, masalah lif rosak yang tidak dibaiki, penutup longkang dan masalah bekalan air," katanya. Beliau berkata, Abu Bakar terkejut dengan kadar sewa yang berbeza antara penyewa sedangkan rumah mereka adalah sama dan beliau meminta MBPJ berbincang dengan wakil penduduk mengenai masalah itu. Namun, katanya, perbincangan itu tidak pernah diadakan, sebaliknya, pihak MBPJ mengeluarkan notis bertarikh 26 Julai yang mengatakan bahawa pihaknya telah mendapat arahan lanjut untuk mengusir penyewa yang mempunyai tunggakan yang tinggi. "Ini jelas menunjukkan ada pihak yang sudah memutarbelitkan isu itu dan penduduk di sini seolah-olah diancam kerana bersuara dan membangkitkan masalah di situ kepada kerajaan pusat. "Penduduk sangat berharap Perdana Menteri dapat turun padang dan melihat sendiri keadaan penduduk di sini yang menghadapi masalah kemudahan asas yang teruk," ujarnya. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Lampu isyarat punca sesakOleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB KESESAKAN lalu lintas yang berlaku berhampiran apartmen Vista Angkasa, Pantai Dalam dikatakan berpunca daripada sistem lampu isyarat yang dipasang di persimpangan di kawasan itu baru-baru ini. - utusan/Shahril Aizat Bin Ahmad KUALA LUMPUR 1 Nov. - Pemandu yang melalui jalan berhampiran Vista Angkasa, Pantai Dalam di sini merungut kerana jalan itu menjadi sesak sejak lampu isyarat dipasang di beberapa simpang di situ. Tinjauan mendapati kenderaan berbaris panjang untuk melepasi beberapa lampu isyarat di kawasan tersebut terutama pada waktu puncak pagi dan petang. Seorang pengguna, Mohd. Azizi Abu Bakar, 28, yang sering berulang alik melalui jalan itu mengakui, kewujudan lampu isyarat di situ adalah punca kepada masalah kesesakan yang berlaku itu. Katanya, di kawasan itu terdapat begitu banyak lampu isyarat sedangkan ia benar-benar diperlukan hanya satu iaitu berhampiran susur keluar ke Lebuh raya Persekutuan. Ujarnya, ada ketikanya, keadaan jalan yang lengang tiba-tiba bertukar menjadi sesak gara-gara lampu isyarat itu. "Kawasan Vista Angkasa ini sememangnya padat dengan penduduk dan sistem lampu isyarat itu tidak wajar dipasang kerana ia mendatangkan kesesakan sahaja. "Sudahlah kami perlu bersesak-sesak semasa berada di pusat bandar raya, bila mahu pulang ke rumah pun terpaksa berhadapan situasi yang sama," katanya yang tinggal di Vista Angkasa. Azizi Razali, 26, pula meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mematikan sistem lampu isyarat di situ dan membuat pemantauan tentang keadaan trafik di kawasan itu. Seperti Mohd. Azizi, dia berpendapat, lampu isyarat hanya diperlukan berhampiran susur keluar ke Lebuh raya Persekutuan dan bukannya di setiap simpang di situ yang jaraknya hanya beberapa ratus meter antara satu sama lain. "Saya rasa, kalau sistem lampu isyarat di sini dimatikan, kemungkinan tidak akan berlaku lagi kesesakan teruk di kawasan ini," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan