Ahad, 21 Ogos 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Gadis maut dipanah petir

Posted: 20 Aug 2011 09:27 AM PDT

TANAH MERAH: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun maut selepas sebahagian badannya dari telinga hingga ke punggung hangus terkena panahan petir di sebuah bangsal berdekatan rumahnya di Batu Tiga, Kampung Belimbing, dekat sini, kelmarin.

Kejadian pada jam 9 malam itu disedari ibunya, Rosnah Dollah, 49, selepas mangsa, Siti Munirah Nordin, tidak pulang ke rumah untuk berbuka puasa menyebabkan usaha menjejakinya dilakukan sekitar kampung, termasuk rumah rakan.


Ibu tunggal terbabit akhirnya mendapati anaknya meninggal dunia dalam keadaan terlentang di sebuah bangsal 50 meter dari rumah dengan telefon bimbit masih di sisinya.

Menceritakan kejadian itu, Rosnah berkata, sebelum kejadian, dia menegur anaknya kerana bergayut dengan telefon sepanjang hari.


"Saya tegur dia (arwah anak), dengan siapa dia bergayut kerana sepanjang hari dilihat tidak renggang dengan telefon bimbit.


"Mungkin bosan dengan teguran saya, dia kemudian keluar rumah dan sangkaan saya ketika itu mungkin dia ke rumah rakan.

"Selepas teguran itu, saya ingatkan dia masih di rumah rakannya dan berbuka di sana. Bagaimanapun, perasaan saya bercampur curiga berikutan dia masih tidak pulang selepas Maghrib, menyebabkan usaha mencarinya dilakukan di kawasan sekitar," katanya ketika ditemui di rumah bapanya di Jalan Manal, di sini, semalam.


Rosnah berkata, dia terkejut mendapati rakan anaknya pulang ke kampung mereka di Salor, menyebabkan usaha mencarinya dilakukan di sekeliling rumah.

"Hanya Tuhan tahu perasaan saya ketika itu. Saya bimbang berlaku kejadian tidak diingini dan terus mencarinya meskipun keadaan sekeliling mulai gelap.


"Bagaikan tidak percaya apa yang saya saksikan apabila menemui anak dalam keadaan separuh tubuhnya hangus, dipercayai terkena panahan petir berdekatan kawasan bangsal semak dan terlindung dari pandangan umum," katanya.


Katanya, ketika itu Siti Munirah dalam keadaan terlentang, manakala baju T hitam dan seluar pendek merah jambu yang dipakainya turut terkena panahan petir dan hangus sebahagiannya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, mangsa ditemui 50 meter dari rumah dalam keadaan terlentang dengan sebahagian badan hangus.

Bapa hantar lima beradik ke rumah amal gereja

Posted: 20 Aug 2011 09:24 AM PDT

PETALING JAYA: Ketika umat Islam sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak sampai dua minggu lagi, lain pula dengan nasib lima beradik beragama Islam yang terpaksa menyambut 1 Syawal di bawah pengawasan sebuah gereja, dekat sini.

Semuanya gara-gara tindakan bapa mereka menyerahkan lima beradik terbabit kepada gereja itu selepas dia dikatakan mengalami masalah rumah tangga dengan isterinya.


Yang menyedihkan, lelaki itu yang juga doktor, enggan menyerahkan anaknya kepada pusat jagaan kerajaan atau organisasi swasta beragama Islam biarpun pihak gereja bersedia berbuat demikian.

Menyedari masalah itu, sebuah badan kebajikan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kini berusaha mengeluarkan lima beradik berusia lima hingga 15 tahun itu daripada jagaan gereja.


Kes itu terbongkar selepas pengurusan gereja menghubungi pusat kebajikan terbabit kerana tidak mahu berlaku isu berbangkit, terutama selepas isu serbuan di Gereja Methodist, Damansara Utama, dekat sini, dilaporkan 4 Ogos lalu.


Mendedahkan perkara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Baitul Fiqh (Baitul Fiqh), Juhaidi Yean Abdullah, berkata pengurusan gereja memaklumkan kehadiran lima beradik itu kepadanya dan ingin menyerahkan mereka kepada rumah kebajikan Baitul Fiq.

"Selepas beberapa kali membuat perbincangan dengan pengurusan gereja, mereka bersetuju menyerahkan kanak-kanak terbabit, namun hasrat itu dihalang bapa mereka dengan alasan tidak mahu anaknya diserahkan kepada pihak lain.


"Pihak gereja pula tidak mahu kehadiran kanak-kanak itu menjadi isu sensitif dan meminta mereka diserahkan kepada pihak lain (pengurusan beragama Islam)," katanya.

Menurutnya, pendirian bapa kanak-kanak terbabit menyebabkan pengurusan gereja dalam dilema dan meminta jalan penyelesaian daripada pengurusan Baitul Fiqh.


"Inilah permuafakatan yang wujud dalam konteks bebas beragama di negara kita, tetapi masalah lain pula timbul apabila waris kanak-kanak itu enggan menyerahkan anaknya kepada pihak kita.


"Sebenarnya, saya tidak pasti apa lagi yang boleh saya lakukan kerana tidak pernah mengendalikan kes seperti ini selain tiada kuasa mengambil hak penjagaan daripada waris yang memberi amanah kepada pihak lain.


"Yang saya khuatir ialah soal akidah lima beradik itu dan saya sedih dengan tindakan si bapa menempatkan mereka dalam gereja," katanya.


Juhaidi Yean berkata dia bersedia memberi maklumat kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) jika diminta berbuat demikian, malah pengurusan gereja turut bersedia memberi kerjasama jika diperlukan.


Katanya, lebih menyedihkan, anak sulung keluarga itu bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), tahun ini, dan kemelut yang berlaku dikhuatiri turut menjejaskan persiapan peperiksaannya.


Difahamkan, setakat ini lima beradik terbabit masih beragama Islam tetapi dikhuatiri menukar agama jika waris atau penjaga mengarahkan mereka berbuat demikian kerana hak menentukan agama kanak-kanak di bawah usia 18 tahun terletak di tangan waris.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan