Sabtu, 20 Ogos 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Bapa hilang di bukit

Posted: 19 Aug 2011 10:14 AM PDT

KUALA NERANG: "Pada mulanya, saya perhatikan bapa dari jauh kerana dia marah kalau ditegur, tetapi dia langsung tidak menyahut dan menoleh ke belakang sebaliknya terus berjalan menuju ke bukit itu walaupun dipanggil berulang kali,".

Begitu kata Mohd Firdaus, 29, anak Azmi Sidek, 59, yang menghilangkan diri selepas dilihat berjalan seorang diri ke kawasan Bukit Perik di Kampung Baru Lembah Permai, di sini dan gagal dikesan sejak Rabu lalu.


Mohd Firdaus berkata, bapanya yang juga bekas guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bakti, di sini, keluar rumah dengan memakai baju kemeja lengan panjang berputih, kain pelekat serta berkopiah putih, jam 2 petang.

"Bapa pernah mengalami tekanan perasaan sejak menjadi guru lagi kerana rekod kesihatan menunjukkan dia pernah mendapatkan rawatan doktor pakar beberapa tahun lalu.


"Mungkin masalah itu terbawa-bawa sehingga dia pencen selain bapa sering bercakap seorang diri sejak setahun lalu tanpa mahu menyambung kerja kerana tertekan dengan tugasnya.


"Sebelum ini, dia pernah keluar rumah tetapi beberapa jam selepas itu pulang ke rumah, tetapi kali ini bapa terus menghilangkan diri menuju ke Bukit Perik yang terletak berhadapan dengan rumah kami," katanya yang ditemui di rumahnya, di sini, kelmarin.

Mohd Firdaus berkata, bapanya juga kadang-kadang mengalami penyakit nyanyuk tetapi akan baik semula selepas makan ubat mengikut arahan doktor.


"Sejak pencen, bapa sering mengalami kemurungan dan bercakap seorang diri tanpa sebab, tetapi kadang-kadang sihat dan waras seperti orang lain. Kali terakhir bapa mendapatkan rawatan doktor pakar pada Jun lalu.

"Kami perasan macam ada sesuatu yang membelenggu bapa sehingga dia sering menyebut yang bukan-bukan. Sudah puas berubat tetapi penyakit misteri ini sering mengganggu dirinya," katanya.


Abangnya, Mohd Ridhwan, 33, berkata, sepanjang tempoh itu tiada berlaku sebarang perselisihan faham antara keluarga.


"Kami bimbang keselamatan dirinya berikutan bapa tidak begitu mahir selok-belok kawasan ini kerana kami baru berpindah ke sini sejak dua bulan lalu.


Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya melancarkan gerakan mencari mangsa dengan bantuan Rela, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia serta Rukun Tetangga (RT) Kampung Baru Lembah Pantai.


"Operasi masih diteruskan, tetapi tiada sebarang petunjuk menemui mangsa," katanya.


Mereka yang mengetahui di mana Azmi berada boleh menghubungi di talian 019-5225578 atau 019-5183458.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Sekeluarga huni surau

Posted: 19 Aug 2011 10:13 AM PDT

SHAH ALAM: Ketika umat Islam sibuk menyediakan persiapan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, lima beranak di Padang Jawa terpaksa menumpang teduh di surau apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran bulan lalu.

Kehidupan mereka umpama pelarian apabila surau kecil yang tidak digunakan lagi menjadi dapur dan tempat tidur mereka.


Mohd Rezhal Abbas, 40, berkata dia dan keluarganya hampir pasti akan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi di surau berkenaan memandangkan rumah barunya masih di peringkat awal pembinaan dan dia tidak memiliki wang mencukupi untuk menyiapkannya.

"Selepas kejadian itu, saya sekeluarga sebenarnya tidak tahu mahu ke mana. Bagaimanapun atas keprihatinan, penduduk membenarkan kami tinggal sementara di surau ini," katanya yang bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,500 sebulan.


Mohd Rezhal menetap di surau itu bersama isterinya, Siti Suhaila Samingan, 35, serta anak mereka, Nur Nazatul Gaquyah, 14; Mohd Idham Hafiz, 13, dan Nor Farah Farhana, 9, sejak tragedi kebakaran itu yang berlaku empat hari sebelum Ramadan.


Menceritakan semula kejadian malang itu, Mohd Rezhal berkata, kebakaran kira-kira jam 6 petang pada 28 Julai lalu itu hampir memusnahkan semua harta-benda di rumah yang baru dibelinya tahun lalu.

Akibat kebakaran itu, mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang. Peralatan sekolah termasuk buku serta baju sekolah tiga anak Mohd Rezhal turut hangus.


Sehingga proses membaiki rumahnya selesai apabila sudah cukup wang, Mohd Rezhal menyatakan dia lima beranak tidur dalam keadaan berjaga-jaga kerana bimbang keselamatan tinggal di dalam surau yang senang dimasuki sesiapa yang berniat jahat.

Sementara itu, Siti Suhaila yang mengambil upah menjahit, berkata dia bersyukur kejadian malang itu tidak membabitkan kemalangan jiwa walaupun ketika ini mereka terpaksa bergelandangan.


"Pada hari kejadian, saya hanya mampu berdoa keluarga selamat apabila melihat rumah saya sudah dipenuhi asap ketika saya sampai rumah," katanya.


Menurutnya, pada hari kejadian dia sibuk membantu berniaga ikan kering di pasar malam berdekatan.


Beliau berkata, dia dan suami kini gigih mengumpul wang bagi memulihkan keadaan tanpa terlalu mengharapkan simpati orang ramai, namun jika ada pihak yang mahu membantu boleh menghubunginya di talian 017-2669762.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan