Isnin, 22 Ogos 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Pengemis Siam di Kota Bharu

Posted: 21 Aug 2011 04:21 PM PDT

Wilayah

PENDUDUK tempatan (kiri) menghulurkan sedekah kepada  dua warga  Thailand  berhampiran Masjid Besar Muhammadi, Kota Bharu.

PENDUDUK tempatan (kiri) menghulurkan sedekah kepada dua warga Thailand berhampiran Masjid Besar Muhammadi, Kota Bharu.

Penuhi Masjid Besar Muhammadi, Padang Merdeka raih simpati

KOTA BHARU: Warga asing khasnya dari negara jiran, kini mula membanjiri bandar ini dan memenuhi Masjid Besar Muhammadi dan pekarangan Padang Merdeka, di sini, bagi mendapat sumbangan sedekah daripada umat Islam di sini.

Sekumpulan warga asing yang kebanyakannya berusia antara 40 hingga 80 tahun itu, datang dari Thailand dengan menyeberangi Sungai Golok sebelum menaiki 'prebet sapu' untuk ke bandar ini.

Malah, mereka sanggup meninggalkan kampung halaman masing-masing di Yala, Pathani dan Narathiwat, semata-mata untuk mencari kain pasang, kain sarung dan wang zakat yang disedekahkan umat Islam negeri ini. Tinjauan Berita Harian ke lokasi sekitar depan Masjid Besar Muhammadi dan pekarangan Padang Merdeka mendapati kumpulan warga tua itu berkumpul di pondok yang dibina di Taman Hijau, di sini, selain tidur di tempat rehat orang awam di pekarangan Padang Merdeka, sambil merayu orang ramai menghulurkan zakat.

Mohd Do`oh Aryahsae, 65, berasal dari Yala, ketika ditemui pada awalnya mengaku datang dari Besut, Terengganu, tetapi selepas beberapa kali ditanya sambil dihulurkan duit RM10, beliau akhirnya menunjukkan kad pengenalan sebagai penduduk negara jiran.

"Pak cik datang setiap kali Ramadan ke Kota Bharu kerana di negara pak cik, sukar mencari duit zakat, tetapi penduduk di sini pula baik dan murah hati.

"Mereka sanggup menghulurkan wang derma antara RM1 hingga RM10 kepada pendatang seperti pak cik yang mula datang ke bandar ini sejak dua hari puasa," katanya sambil mendakwa mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM50 sehari sebelum diagihkan untuk bayaran sewa rumah dan upah tambang kereta yang akan membawanya ke mana-mana destinasi untuk berkunjung dari rumah ke rumah atau kedai sekitar sini.
Bagi Asamoh Sawaeba-ngo, 57, yang kematian suami sejak lebih 20 tahun lalu, hidup sebatang kara di kampung halamannya di Narathiwat agak menyukarkan.

"Setiap kali Ramadan, mak cik bersama beberapa kawan datang dengan teksi dari Rantau Panjang dan mencari rumah sewa di belakang masjid besar di sini, untuk mencari duit zakat.

"Sejak hari pertama puasa, mak cik sudah mengumpulkan lebih RM300 dan wang itu boleh dibelanjakan untuk menyambut raya di Narathiwat bersama beberapa anak saudara nanti," katanya.

Rakannya, Sitiminoh Mareh, 56, berkata dia juga sanggup tinggal sebulan di Kota Bharu semata-mata mahu mencari rezeki dan setiap malam akan menunaikan solat tarawih di Masjid Besar, manakala tengah hari pula terpaksa merayau untuk mengutip zakat.

"Biasanya hampir sambutan Aidilfitri nanti, lagi ramai penduduk Yala dan Narathiwat datang ke Kota Bharu, kerana di sini mudah mencari rezeki berbanding di negara mak cik," katanya sambil mengaku sudah mengumpulkan lebih RM200 sejak 1 Ogos lalu.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Datuk Kamaruddin Mohd Zain, berkata pihaknya menyedari kebanjiran pengemis warga asing itu setiap Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

"Pengemis asing itu memasuki negeri ini dengan sindiket, malah ada di antara mereka datang berkumpulan kerana umat Islam di sini, murah hati dan sering menghulurkan derma sepanjang Ramadan untuk mencari pahala.

"Bagaimanapun, kemurahan hati umat Islam di bandar ini menyebabkan pengemis asing itu memenuhi perkarangan masjid besar, sekali gus menjejaskan imej agama Islam," katanya.

Berikutan itu, katanya, pihaknya sudah mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Imigresen, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHAEIK), Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) serta polis untuk menjalankan Ops Bersepadu menahan pengemis asing.


Kuih tat keju blueberry berulat

Posted: 21 Aug 2011 04:20 PM PDT

Wilayah

Syarikat dari Shah Alam tak bekerjasama, tuduh pengguna reka cerita

KUALA LUMPUR: Dalam kesibukan umat Islam membuat persiapan menyambut Aidilfitri, ada syarikat mengambil kesempatan dengan menjual kuih raya yang sudah berulat walaupun tarikh luput dinyatakan hanya berakhir dalam tempoh sembilan bulan lagi.

Ini terbukti apabila seorang kakitangan kerajaan yang membeli kuih raya keluaran syarikat dari Shah Alam yang dijual di sebuah pasar raya di Bandar Tun Hussein Onn di sini, Ahad lalu mendapati ia sudah berulat.

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Sham berkata, kuih tart keju blueberry itu dibeli dengan harga RM19 satu bekas dan hanya dimakannya dan suami pada keesokan. "Sebaik masuk waktu berbuka puasa, saya terus mengambil kuih itu untuk dimakan bagaimanapun, belum habis sebiji kuih dinikmati, entah bagaimana saya ternampak beberapa ekor ulat di dalam kuih berkenaan," katanya ketika ditemui Sentral.

Terkejut dengan kejadian itu, beliau kemudian meneliti bekas kuih berkenaan dengan lebih teliti dan mendapati ada beberapa ekor ulat 'bersembunyi' di dalam kuih dihasilkan syarikat terbabit.

"Apabila dilihat lebih dekat, saya mendapati ada beberapa kesan hitam di bahagian dalam bekas berkenaan, sama seperti kesan kotoran yang biasa ditinggalkan serangga seperti lipas," katanya.

Bagi mempertahankan hak beliau sebagai seorang pengguna, Sham kemudian mengadukan perkara itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), sebelum diminta memaklumkan hal itu kepada syarikat pengeluar kuih berkenaan.
Apa yang dikesalkan, kakitangan syarikat itu bukan saja tidak mahu memberi kerjasama sebaik dimaklumkan mengenai penemuan ulat di dalam kuih dibeli, malah menuduh beliau sengaja mereka-reka cerita untuk memburukkan jenama itu.

"Sebagai pengguna, saya berasa begitu teraniaya. Meskipun kuih berkenaan hanya berharga RM19, tetapi syarikat itu sepatutnya mengambil tindakan lebih bertanggungjawab dalam menyelesaikan isu ini termasuk memeriksa terlebih dulu sebarang aduan daripada pengguna," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan