Rabu, 3 Ogos 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Melayu di kawasan tercorot

Posted: 02 Aug 2011 04:39 PM PDT

Wilayah

MUHAMMAD Ali (duduk) menandatangani autograf pada buku tulisannya yang dijual  pada program Seminar Jihad Perniagaan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) di  Kuantan.

MUHAMMAD Ali (duduk) menandatangani autograf pada buku tulisannya yang dijual pada program Seminar Jihad Perniagaan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) di Kuantan.

Peniaga bukan Bumiputera kuasai premis segi tiga emas di Kuantan

KUANTAN: Usahawan Melayu di negeri ini masih berdepan masalah pemilikan premis perniagaan di lokasi strategik berikutan kebanyakan premis berkenaan sudah dimiliki golongan bukan Bumiputera.

Jumlah modal terhad usahawan Melayu untuk membeli premis perniagaan yang disifatkan berada di lokasi 'segi tiga emas' di bandar ini, menyebabkan pemilikan Bumiputera ketinggalan. Walaupun terdapat segelintir usahawan Melayu di beberapa lokasi tumpuan utama pengunjung di negeri ini, mereka hanya sekadar menyewa.

Pengusaha restoran di Jalan Tun Ismail, dekat sini, Wan Norshila Wan Ali, 32, berkata masalah itu perlu diberi perhatian pihak terbabit dengan membela nasib usahawan Melayu terutama persatuan peniaga dan dewan perniagaan.

"Pihak yang ingin memperjuangkan nasib usahawan Melayu, tidak boleh sekadar memberi fokus kepada usaha bantuan modal kewangan atau bantuan mendapatkan projek saja.

"Sebaliknya, mereka juga perlu berusaha meningkatkan tahap pemilikan premis perniagaan di lokasi utama yang kebanyakannya tidak mampu untuk dimiliki oleh usahawan Melayu kerana harga yang mahal serta sudah habis ditempah walaupun pembinaan belum bermula," katanya.
Wan Norshila berkata, usahawan Bumiputera yang menyewa premis di lokasi 'segi tiga emas' juga sering diberi tekanan dengan kadar kenaikan sewa yang melampau serta tiada langsung tolak ansur dalam menjelaskan tunggakan sewa bulanan.

Beliau membangkitkan isu itu pada program Seminar Jihad Perniagaan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) di Hotel Vistana, dekat sini, yang dirasmikan Timbalan Presiden DPIM, Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

Sementara itu, Muhammad Ali berkata isu itu mampu ditangani jika syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dapat memainkan peranan membela nasib usahawan Melayu.

"Bantuan yang boleh diberikan GLC berkenaan tidak semestinya dalam bentuk modal kewangan, sebaliknya ia boleh dilaksanakan melalui kerjasama perniagaan.

"GLC perlu membuka peluang kepada usahawan Melayu untuk berniaga bersama khususnya dalam projek perniagaan yang berskala besar supaya usahawan dapat mengembangkan rangkaian perniagaan," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Harga terubuk melambung

Posted: 02 Aug 2011 04:37 PM PDT

Wilayah

TERUBUK panggang lauk paling laris di Bazar Ramadan Satok, Kuching.

TERUBUK panggang lauk paling laris di Bazar Ramadan Satok, Kuching.

Peniaga bazar Ramadan sekitar Kuching dakwa bekalan terhad

KUCHING: Harga ikan terubuk panggang di Bazar Ramadan sekitar bandar raya ini, naik lagi tahun ini dan mencecah sehingga RM48 seekor, berbanding harga maksimum RM35 seekor pada bulan puasa tahun lalu.

Namun, harga minimum setiap terubuk panggang bagaimanapun masih kekal RM15, cuma dari segi saiznya pada tahun ini, ia lebih kecil berbanding tahun lalu. Peniaga mengakui kenaikan harga jualan ikan terubuk panggang di bazar Ramadan sekitar Kuching tidak dapat dielakkan, berikutan harga basahnya yang tinggi ketika ini, selain bekalan ikan yang terhad.

Tahun lalu, harga ikan terubuk panggang cuma antara RM15 hingga RM35 dan pada 2009 harganya antara RM10 hingga RM28 seekor.

Di bazar Ramadan tahun ini, terubuk panggang boleh dibeli dengan harga RM15 tanpa telur, berbanding RM48 bagi terubuk ada telur.

Peniaga Bazar Ramadan Satok, Awang Jamhari Awang Morshidi, 53, berkata harga terubuk tempatan berbeza dengan yang diimport dengan ia tidak boleh dijangka kerana bergantung sepenuhnya kepada bekalan.
Katanya, pernah sekali Ramadan jatuh ketika musim penangkapan ikan terubuk menyebabkan harga terubuk panggang jatuh antara RM6 hingga RM15, namun harganya kini sudah jauh berbeza.

"Harga ikan terubuk mahal ketika ini kerana musim menangkap ikan berkenaan di perairan Sarawak adalah sekitar Februari hingga April dengan tidak banyak nelayan mampu menangkap ikan terubuk dalam jumlah yang banyak.

"Disebabkan itu, harga jualan kami tahun ini terpaksa dinaikkan antara 30 hingga 40 peratus berbanding tahun lalu kerana kami terpaksa membeli ikan daripada orang tengah dengan harga yang lebih tinggi," katanya ketika ditemui Berita Harian di Bazar Ramadan Satok.

Difahamkan, selain faktor tangkapan yang terhad, harga terubuk basah dikatakan naik mendadak berikutan nelayan terpaksa menanggung kos ke laut yang lebih tinggi selepas mereka didakwa berhadapan masalah bekalan diesel subsidi.

Awang Jamhari berkata, dia tidak berani memanggang terubuk dalam jumlah yang banyak berbanding tahun sebelumnya kerana bimbang orang ramai merungut selepas mengetahui perubahan harga.

"Berbanding tahun lalu di mana kami memanggang 300 hingga 350 ikan terubuk sehari, tetapi tahun ini kami hanya berani memanggang kira-kira 200 ekor dengan proses menyediakan ikan bermula sejak jam 10 pagi lagi.

"Bagaimanapun, sambutan pembeli setakat ini sangat baik dengan mereka faham bahawa harga kebanyakan harga barangan sudah naik," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan