Jumaat, 16 Mac 2012

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


‘Balas jasa ibu’

Posted: 15 Mar 2012 12:05 PM PDT

KUALA SELANGOR: "Saya akan mulakan hidup baru dengan emak di sini dan berharap dengan kerja baru ini, saya dapat membalas jasanya," kata kata Amir Mohd Omar, 27, pemuda yang terpaksa meninggalkan ibunya, Faridah Maulud, 66, di sebuah hotel bajet, di Jalan Raja Muda di sini, minggu lalu.

Amir berkata demikian selepas menerima pekerjaan ditawarkan seorang usahawan besi keluli, Datuk Jamhuri Abdul Rahman, 43, di Kuala Selangor, semalam selain turut disediakan kereta dan sebuah rumah yang sudah dibayar sewa setahun untuk dia tinggal bersama ibunya.


Menurut Amir, dia amat menghargai kesudian Jamhuri untuk mengambilnya bekerja serta menyediakan tempat tinggal bersama ibunya dan kemudahan itu sama sekali tidak pernah terlintas di fikirannya.

"Semuanya bagaikan mimpi. Saya tidak tahu hendak kata apa. Yang pasti, tumpuan saya sekarang hanyalah untuk membawa mak tinggal bersama.


"Selain itu, saya juga akan bekerja dengan sebaik mungkin bagi membalas kepercayaan majikan yang memberi peluang kepada saya," katanya ketika mengadakan pertemuan bersama Jamhuri di sini yang diatur Harian Metro, semalam.


Kisah Amir mendapat perhatian ramai selepas Harian Metro dalam laporannya 9 Mac lalu mendedahkan kisah ibunya yang lumpuh kebingungan apabila ditinggalkan bersendirian oleh Amir di sebuah hotel bajet selama empat hari hingga terpaksa dijaga kakitangan hotel berkenaan.

Berikutan laporan berita itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) membawa Faridah keluar dari hotel berkenaan dan menempatkannya di Pusat Sehenti JKM Sungai Buloh bagi membolehkan dia diberi penjagaan sewajarnya.


Persoalan mengenai tindakan Amir itu terjawab apabila Harian Metro berjaya menjejaknya dan dalam pertemuan dengan wartawan akhbar ini, Amir berkata dia bertindak sedemikian selepas hilang pertimbangan dan buntu berikutan masalah kesihatan dialaminya, selain tertekan dengan masalah kewangan berikutan pendapatannya sebagai pegawai pemasaran yang tidak seberapa.

Sehari kemudian, Harian Metro berjaya mempertemukan dua beranak itu di Pusat Sehenti JKM Sungai Buloh hasil kerjasama pengarah JKMWPKL, Noormah Abdul Rauf.


Sementara itu, Jamhuri berkata, dia terpanggil untuk mengambil Amir bekerja di kilangnya kerana mahu pemuda itu mengubah kehidupannya kepada yang lebih baik dan tidak mengabaikan ibunya.


Menurutnya, selepas membaca laporan Harian Metro minggu lalu dia menghubungi JKM untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Amir dan ibunya sebelum dihubungi wartawan bagi mengaturkan pertemuan.


"Saya berharap dengan peluang yang ada ini, Amir akan dapat mengubah tahap hidupnya selain menjaga ibu seperti dihajatinya," katanya.






Anak hilang rupanya lemas

Posted: 15 Mar 2012 12:04 PM PDT

KUALA LUMPUR: "Kali terakhir saya melihatnya, dia leka memerhatikan burung dan saya pula sibuk melayan dua abangnya yang menangis ingin menaiki buaian.

"Bila nak balik, baru kami sedar dia tiada. Puas kami mencarinya, tapi tak jumpa," kata Nurazura Ahmad, 27, ibu kepada Irfan Danish Rosdi berusia dua tahun yang ditemui lemas di Tasik Titiwangsa, di sini pagi semalam.


Menurut Nurazura, semasa berkelah di pinggir tasik itu kira-kira jam 6.30 petang kelmarin, dia terpaksa menarik anak bongsunya itu dua kali kerana berada terlalu dekat dengan air.

"Dua abangnya sibuk bermain di taman permainan tapi dia lebih tertarik melihat tasik dan saya terpaksa menariknya dua kali kerana dia berdiri terlalu dekat air," katanya.


Mayat Irfan ditemui seorang pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di tasik berkenaan kira-kira jam 7.30 pagi semalam. Nurazura membuat laporan polis mengenai kehilangan Irfan jam 7 malam kelmarin tanpa mengetahui anaknya jatuh ke dalam tasik. Menurut Nurazura yang menetap di Kluang, Johor, dia dan tiga anak lelaki yang berusia dua dan enam tahun termasuk Irfan berkunjung ke ibu negara dan berkelah di Taman Tasik Titiwangsa sempena cuti persekolahan.


"Kami sekeluarga datang dari Kluang sejak Ahad lalu untuk melawat saudara di sini selain bercuti sempena cuti sekolah dan semalam (kelmarin) kami ke Tasik Titiwangsa bersama keluarga ipar saya untuk berkelah.

"Suami saya tak datang kerana bekerja. Selain saya empat beranak, kami ke Tasik Titiwangsa bersama kakak dan abang ipar saya serta tiga anak mereka," katanya. Nurazura mengakui dia terlepas pandang Irfan kerana sibuk melayan kerenah dua lagi anaknya yang menangis ingin menaiki buaian ketika duduk di pondok disediakan berhampiran tasik itu.


"Ketika saya sibuk melayan dua abangnya menangis nak naik buaian, saya perhatikan Irfan leka melihat burung dan itulah kali terakhir saya melihatnya," katanya.

Nurazura diberitahu mengenai penemuan mayat anaknya selepas dihubungi polis pagi semalam dan diminta datang ke tasik untuk membuat pengecaman.


Dia kemudian bergegas ke lokasi penemuan Irfan bersama kakak iparnya dan hanya mampu menangis sebaik melihat sendiri jasad anak bongsunya terapung dalam keadaan tertiarap di gigi air.


Difahamkan, sebelah selipar kanak-kanak itu turut ditemui di tebing tasik berkenaan, manakala sebelah lagi terapung di permukaan air.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan