Khamis, 29 Mac 2012

Utusan Online - Utara

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


4 lagi silo tidak selamat

Posted:

4 lagi silo tidak selamat

4 lagi silo tidak selamat

Oleh ANI AWANG
utusanpenang@utusan.com.my


BEBERAPA pekerja membersihkan sisa runtuhan silo menyimpan biji jagung yang runtuh Isnin lalu di Kampung Valdor, Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam.


NIBONG TEBAL 28 Mac - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) mengarahkan pemilik sebuah kilang di sini, supaya meruntuhkan empat lagi silo kerana didapati membahayakan keselamatan penduduk di Kampung Valdor.

Pengarah jabatan itu, Mohd. Anuar Embi berkata, ini kerana kedudukan silo yang menyimpan biji jagung itu tidak selamat serta membahayakan keselamatan pekerja dan penduduk berhampiran.

Beliau berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati pagar zink di kawasan silo sedia ada tersebut telah rosak.

"Kami tidak bertolak ansur dan meminta pemilik supaya meruntuhkan silo sedia ada untuk mengelak ia membahayakan penduduk termasuk kanak-kanak di kawasan itu," katanya selepas melawat silo menyimpan biji jagung di sebuah kilang memproses makanan haiwan di Kampung Valdor di sini semalam.

Dalam kejadian Isnin lalu, sebatang silo berupa silinder pecah mengakibatkan biji jagung melimpah ke jalan raya dan rumah penduduk sehingga mencederakan dua orang awam iaitu seorang wanita berusia 40-an dan seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang sedang melalui kawasan terbabit pada pukul 9.30 pagi.

Kejadian itu menimbulkan kebimbangan penduduk berhampiran kerana terdapat empat batang silo lagi setinggi 20 meter yang memuatkan 1,000 tan metrik biji jagung untuk membuat dedak dan terletak kira-kira 30 meter dari rumah penduduk.

Dalam kejadian pertama pada 13 Mac lalu, tiga batang silo di situ bocor mengakibatkan biji jagung melimpah di dalam kilang terbabit, namun tiada sebarang kejadian buruk berlaku.

Kilang memproses makanan haiwan itu telah beroperasi di situ sejak 25 tahun lalu.

Sementara itu, difahamkan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah mengarahkan operasi kilang tersebut dihentikan.

Kompleks Pasir Salak bakal berwajah baru

Posted:

Kompleks Pasir Salak bakal berwajah baru

Kompleks Pasir Salak bakal berwajah baru

PASIR SALAK 28 Mac - Kompleks Sejarah Pasir Salak bakal berwajah baru ekoran rancangan kerajaan negeri untuk membaik pulih bangunan dan persekitaran kompleks itu tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Zainol Fadzi Paharudin berkata, langkah itu bertujuan mengembalikan kegemilangan sejarah Pasir Salak dengan membaik pulih kemudahan sedia ada.

Langkah tersebut juga kata beliau, penting bagi memastikan kompleks bersejarah itu tidak diancam kemusnahan akibat bangunan yang usang serta aktiviti vandalisme.

"Kita juga akan mendapatkan peruntukan daripada kementerian berkenaan untuk membantu membaik pulih kompleks itu yang sudah diwartakan sebagai bangunan warisan.

"Amat penting untuk memastikan supaya kompleks itu dijaga sebaiknya termasuk mengelakkan ia menjadi sasaran vandalisme atau sarang kegiatan tidak bermoral," katanya selepas melakukan tinjauan di sekitar kompleks itu, semalam.

Kompleks Sejarah Pasir Salak yang dibina pada 1990 merupakan kawasan bermulanya kebangkitan orang Melayu menentang penjajah selepas kehadiran British pada sekitar tahun 1875.

Ia menempatkan pelbagai bangunan serta tempat bersejarah termasuk rumah dan pusara pahlawan Melayu, Dato' Maharajalela, Tugu Peringatan Pahlawan Perak, Kubur Si Putum, Tugu Lela Rentaka, tapak pembunuhan Residen British, J.W.W Birch, Masjid Pasir Salak, balai penghulu dan rumah kutai.

Zainol Fadzi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik berkata, pihaknya menerima aduan mengenai keadaan fizikal kompleks berkenaan yang sudah usang, malah ada rumah kutai yang ditutup ekoran strukturnya yang sudah reput.

Selain itu, katanya, rumah Dato' Seri Maharaja Lela yang dikelilingi kubu pertahanan juga mula dipenuhi semak samun.

Beliau berkata, timbul kekeliruan dalam soal penjagaan kompleks berkenaan memandangkan setiap komponen sejarah di dalamnya dijaga oleh pihak yang berbeza termasuk Lembaga Muzium Perak, Jabatan Warisan Perak dan pejabat daerah.

"Kita mendapati wujud kekeliruan dalam soal ini, jadi kita harap semua pihak berkenaan mengambil tanggungjawab bersama bagi memastikan kompleks itu dijaga dengan baik kerana ia kaya dengan nilai sejarah yang tidak ternilai," ujarnya.

Polis tingkat perangi jenayah

Posted:

Polis tingkat perangi jenayah

Polis tingkat perangi jenayah


GHUZLAN Salleh mengedarkan risalah pencegahan jenayah kepada peniaga di Pasar Kulim, semalam. - BERNAMA


KULIM 28 Mac - Polis terus meningkatkan usaha mengurangkan kadar jenayah, terutama di kawasan tumpuan melalui kerjasama dengan komuniti setempat di daerah ini menerusi pelaksanaan High Profile Policing sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Ghuzlan Salleh berkata, program itu dijalankan selepas pihaknya mengenal pasti kawasan bandar ini menjadi tumpuan penjenayah melakukan kegiatan curi motosikal, ragut dan samun.

Beliau berkata, dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai memerangi jenayah, pihaknya telah mengedarkan risalah mengandungi maklumat mengenai langkah-langkah pencegahan pelbagai jenis jenayah.

"Program ini dilaksanakan untuk mengurangkan kadar jenayah jalanan terutama ragut dan samun yang kebanyakannya berlaku di kawasan bandar bertujuan menjadikan bandar tempat yang selamat untuk masyarakat dan peniaga.

"Risalah yang diedarkan mengandungi pelbagai panduan pencegahan jenayah, membolehkan orang ramai membacanya dan secara langsung dapat mengetahui langkah-langkah menjaga keselamatan dan perlindungan diri," katanya pada program tersebut di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Ghuzlan disertai 60 pegawai dan anggota polis berjalan kaki mengedarkan sendiri risalah berkenaan selain memberi maklumat dan panduan pencegahan jenayah kepada orang ramai.

Menurutnya, selain membasmi jenayah, program itu juga bertujuan mendekatkan masyarakat dengan pihak polis dengan cara berkongsi maklumat mengenai kegiatan jenayah sehingga tertumpasnya kumpulan atau individu yang melakukan kegiatan itu.

0 ulasan:

Catat Komen