Sabtu, 24 Mac 2012

Kosmo Online

Kosmo Online


Polis nafi anggotanya kasari tukang emas

Posted:

Polis nafi anggotanya kasari tukang emas

Polis nafi anggotanya kasari tukang emas

24/03/2012 10:20pm

GEORGE TOWN — Polis hari ini menafikan empat anggotanya mengasari seorang tukang emas ketika hendak memeriksa lelaki itu dalam satu kejadian di sebuah kedai di Jalan Perak pada 20 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP, Gan Kong Meng berkata, anggotanya melakukan pemeriksaan biasa bagaimanapun lelaki berkenaan enggan memberikan kerjasama sehingga berlaku pergelutan.

"Hasil siasatan awal dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat dalam kedai berkenaan tidak menunjukkan empat anggota polis terbabit memukul tukang emas berkenaan.

"Sebaliknya berlaku sedikit pergelutan ketika dia cuba ditahan untuk di bawa ke balai bagi pemeriksaan lanjut sebelum dibebaskan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan seorang tukang emas meminta polis melakukan siasatan secara telus berhubung empat anggota yang didakwa mengasarinya dalam satu kejadian pada 20 Mac lepas.

Tukang emas, yang enggan namanya disiarkan itu, mendakwa dia yang sedang memandu kereta di Jalan Datuk Keramat, ditahan empat lelaki bermotosikal dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Anggota terbabit, yang berpakaian biasa, mengarahkan dia memberhentikan kereta untuk diperiksa tetapi akibat takut dan bimbang berlaku kejadian tidak diingini, tukang emas berusia 39 tahun itu terus memandu menuju ke kedai milik rakannya di Jalan Perak 50 meter dari tempat kejadian.

Menurut tukang emas itu, empat lelaki berkenaan mengekorinya masuk ke kedai rakannya dan berkeras mahu membawanya ke balai polis terdekat bagi tujuan pemeriksaan.

Kong Meng berkata, tukang emas itu bersetuju tetapi meminta kebenaran untuk menghubungi anggota keluarganya di Sungai Petani, Kedah dan anggota polis terbabit membenarkan.

"Anggota polis benarkan dia hubungi keluarganya dan selepas itu meminta tukang emas berkenaan untuk ke balai, tetapi dia enggan dan bertindak meronta-ronta ketika cuba ditahan.

Kes disiasat menurut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. — BERNAMA

Tiga pelajar cedera dalam ribut di Kulim

Posted:

Tiga pelajar cedera dalam ribut di Kulim

Tiga pelajar cedera dalam ribut di Kulim

24/03/2012 10:16pm

KULIM — Tiga peserta Sukan Balapan Peringkat Daerah Kulim /Bandar Baharu cedera dalam kejadian ribut kencang yang mengakibatkan 15 khemah roboh dan terbalik di Sekolah Menengah Datuk Panglima Besar di sini petang tadi.

Pegawai Pelajaran Daerah Kulim/Bandar Baharu, Abu Bakar Md Ali berkata ribut dan hujan lebat pada kira-kira 4.30 petang itu menyebabkan sebahagian besar peserta sukan itu dan anggota keluarga mereka berlindung dalam 15 khemah di tepi padang sekolah, selain berlari ke bangunan sekolah.

"Ada juga beberapa pelajar yang tidak sempat lari menyelamatkan diri dalam bangunan Sekolah Menengah Datuk Panglima Besar itu mengalami luka ringan dan dihantar ke Hospital Kulim untuk rawatan pesakit luar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau juga berpuas hati dengan tindakan segera oleh guru dan petugas yang mengendalikan sukan itu.

Abu Bakar turut menafikan khabar angin bahawa seorang peserta patah kaki ketika tergesa-gesa menyelamatkan diri.

Beliau berkata, kaki pelajar itu telah patah sebelum sukan tersebut bermula Rabu lepas, dan kehadirannya adalah secara kebetulan kerana ingin menyertai rakan lain.

Katanya, pelajar itu terpaksa dipapah petugas untuk diselamatkan dalam kejadian ribut tersebut. — BERNAMA

Setem filem Ombak Rindu dikeluarkan

Posted:

Setem filem Ombak Rindu dikeluarkan

Setem filem Ombak Rindu dikeluarkan

24/03/2012 9:26pm

KUALA LUMPUR — Filem Ombak Rindu yang ditayangkan di seluruh negara Disember lepas menjadi filem tempatan pertama diabadikan dalam bentuk setem edisi terhad.

Koleksi Setemku edisi terhad, terdiri daripada album setem dan set folder itu berbentuk album setem 24 muka surat berharga RM199 mengandungi enam helai setem peribadi berjumlah 48 keping, 11 keping poskad babak-babak filem tersebut, bersama DVD filem berkenaan.

Set folder pula berharga RM59.90 mempunyai gambar babak filem tersebut, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Datuk Khalid Abdol Rahman kepada pemberita selepas melancarkan koleksi edisi terhad Setemku itu di sini hari ini.

Beliau berkata, pakej setem itu yang dihasilkan dengan kerjasama Pos Malaysia, Tarantella Pictures dan Astro Shaw Sdn. Bhd., merupakan usaha pertama melibatkan filem tempatan.

Katanya, filem percintaan yang diadaptasi daripada novel tulisan Fauziah Ashaari itu berjaya mencatat kutipan lebih RM10 juta, yang memberi inspirasi kepada Pos Malaysia menghasilkan keluaran tahunan setem istimewa ini.

Khalid berkata, koleksi setem itu mula dijual melalui portal talian www.postme.com.my dan di 14 cawangan Pos Malaysia terpilih hari ini.

"Diskaun 10 peratus diberi kepada pelanggan yang membeli koleksi edisi terhad hari ini," katanya dan menambah bahawa hanya 1,000 album setem serta set folder koleksi sahaja yang dihasilkan. — BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan