Jumaat, 23 Mac 2012

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


36 premis judi dalam talian dikesan

Posted:

36 premis judi dalam talian dikesan

36 premis judi dalam talian dikesan

Oleh Muhamad Aimy Ahmad
kota@utusan.com.my


SALAH sebuah premis yang menyediakan perjudian secara dalam talian yang berselindung di sebalik nama pusat snuker diperiksa oleh LPKPM di Puchong, Kuala Lumpur kelmarin.


KUALA LUMPUR 22 Mac - Biarpun sering diserbu penguat kuasa, pusat judi dalam talian tanpa lesen di sini akan kembali beroperasi seperti biasa tidak lama kemudian, malah sebahagiannya hanya 'berehat' dua atau tiga hari sebelum kembali berniaga.

Pengusaha pusat berkenaan seolah-olah kebal atau tidak serik terhadap tindakan dikenakan terhadap mereka seperti dikompaun, barangan disita dan sebagainya.

Tinjauan mendapati, kebanyakan pengusaha menjadikan operasi pusat permainan snuker dan karaoke sebagai taktik untuk mengaburi mata pihak berkuasa. Namun, ada juga yang terang-terangan menyediakan permainan judi dalam talian itu di kafe siber.

Kebanyakan premis itu memiliki kawalan keselamatan yang ketat seperti perlu memberikan kod atau alat akses secara elektronik di pintu masuk dan pengguna yang memiliki kata laluan sahaja dibenarkan masuk.

Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) yang membuat pemantauan secara berkala di kawasan itu mendapati lebih 36 buah pusat judi beroperasi secara haram di sekitar kawasan itu.

Perniagaan tersebut disifatkannya muncul ibarat cendawan tumbuh selepas hujan walaupun serbuan dan rampasan beratus-ratus unit komputer yang menyediakan permainan judi sering dilakukan pihak berkuasa tempatan dan polis sebelum ini.

Presiden LPKPM, Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, pusat judi yang beroperasi 24 jam itu dipenuhi anak-anak muda selain golongan dewasa yang ketagih dengan permainan tersebut.

"Pengunjung dan pemain-pemain judi ini tidak menghiraukan serbuan yang sering dilakukan dan mereka tanpa rasa takut serta segan silu mengunjungi premis itu untuk melepaskan gian.

"Semua pihak perlu memandang serius perkara ini kerana kita tidak mahu anak-anak muda kita dilabel sebagai kaki judi kelak," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Tambah beliau, undang-undang khas untuk membanteras sebarang aktiviti tersebut perlu dilaksanakan selain memperketatkan peruntukan undang-undang sedia ada kerana ia boleh mengancam ekonomi rakyat.

"Kami difahamkan, sebuah mesin judi boleh mengumpul lebih RM1,000 dalam satu hari dan berapa banyak wang dilaburkan orang ramai untuk tujuan itu kerana permainan ini bila awal-awal sudah kalah ia akan menyebabkan mereka mahu bermain lagi," katanya.

Kaki judi beri alasan isi masa lapang

Posted:

Kaki judi beri alasan isi masa lapang

Kaki judi beri alasan isi masa lapang


Permainan roulette antara jenis perjudian yang paling digemari pengunjung ke premis perjudian tanpa lesen di Puchong.


KUALA LUMPUR 22 Mac - Hanya suka-suka dan teringin mencuba benda baru antara alasan yang diberikan kaki judi ketika mereka menghabiskan masa berjam-jam di premis yang menawarkan perkhidmatan judi dalam talian di sekitar Puchong di sini.

Ketika tinjauan dilakukan di sebuah premis di Taman Puchong Permai di sini, kira-kira sepuluh orang pelanggan sedang leka bermain permainan jenis dinasour, roulette dan cowboy secara dalam talian tanpa menghiraukan kelibat orang di sekeliling.

Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Nasir, 30-an berkata, dia baru sahaja berjinak-jinak dengan permainan itu selepas diajak seorang rakan pada awal bulan lalu.

Katanya, sejak hari itu, dia sering berkunjung ke premis tersebut kerana mengakui sudah ketagih dengan permainan yang ditawarkan.

"Saya baru sahaja mula bermain dan sehingga kini, tidak pernah pula menang besar tetapi dapatlah sedikit hadiah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagi pengunjung, Ben, 25, berkata, dia hanya bermain ketika ada masa lapang dan pada hari tidak bekerja.

"Saya bosan duduk di rumah, sebab itu saya isi masa lapang dengan aktiviti ini. Setiap kali cuti saya akan berkunjung dengan rakan-rakan," katanya.

Ujarnya, dia tidak risau dengan serbuan yang dilakukan kerana hanya Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang menggempur premis itu.

"Premis ini pernah kena serbu tetapi kami tidak ditangkap atau disoal siasat pun kerana mereka hanya mengangkut komputer, dua tiga hari selepas itu adalah komputer baru," katanya.

75 pembangunan tidak dilulus

Posted:

75 pembangunan tidak dilulus

75 pembangunan tidak dilulus

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
kota@utusan.com.my


Rozali Ismail (depan, dua kanan) memberi penerangan kepada pelajar mengenai fungsi peralatan yang dipamerkan sambil diperhatikan oleh isterinya, Puan Sri Faridah Idris pada program Sambutan Hari Air Sedunia 2012 di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Nooradzrene Mohd. Noor


KUALA LUMPUR 22 Mac - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) tidak dapat meluluskan sebanyak 75 projek pembangunan dari tempoh 1 Januari hingga 12 Mac tahun ini berikutan bekalan air tidak cukup bagi menampung keperluan permintaan sedia ada.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Rozali Ismail berkata, kekurangan bekalan air terawat menyebabkan projek-projek pembangunan baru yang dirancang lumpuh kerana ketiadaan bekalan tambahan bagi menampung keperluan di kawasan perancangan pembangunan baru.

Katanya, projek pembangunan yang kebanyakannya adalah projek perumahan tersebut mahu dibangunkan di kawasan water stress iaitu kawasan berpenduduk padat seperti di wilayah Syabas Petaling, Gombak, Hulu Langat, Kuala Lumpur, Klang, Kuala Langat dan Hulu Selangor.

"Pemaju dinasihatkan agar bertemu Syabas terlebih dahulu sebelum merancang sebarang projek pembangunan kerana pihak kami tidak dapat memberi jaminan dapat menyediakan bekalan air di kawasan water stress.

"Keadaan ini amat menyedihkan kerana ia memberi kesan kepada projek menyediakan rumah di Selangor dan Wilayah Persekutuan. Apabila projek perumahan tidak dapat dibuat, semakin lama harga rumah akan semakin tinggi," katanya.

Beliau berkata, demikian ketika ditemui pada program Sambutan Hari Air Sedunia 2012 di ibu pejabat Syabas di Jalan Pantai Baharu di sini hari ini.

Menurut beliau, jumlah projek tersebut akan meningkat dari semasa ke semasa jika penyelesaian kepada masalah air seperti pembinaan Loji Air Langat 2 dapat disiapkan.

"Oleh itu, kerjasama dan persefahaman di antara kerajaan negeri Selangor dan kerajaan Persekutuan perlu ada bagi menyelesaikan masalah ini," ujarnya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu bahawa pihaknya masih tidak mendapat bayaran ganti rugi daripada kerjaan negeri Selangor sebanyak kira-kira RM1.6 billion.

"Mengikut perjanjian konsesi, kerajaan negeri harus membayar ganti rugi kepada Syabas kerana tarif air tidak boleh dinaikkan tetapi bayaran itu tidak dibuat.

"Akibatnya, pihak Syabas tidak dapat membayar kepada syarikat operasi loji air iaitu Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (Splash) dan Konsortium ABASS Sdn. Bhd," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan