Sabtu, 24 Mac 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


PM temui penduduk N. Sembilan

Posted:

PM temui penduduk N. Sembilan

PM temui penduduk N. Sembilan

Oleh NOOR HANIS HARUN
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 23 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menunaikan janjinya untuk menemui penduduk di Taman Desa Rhu, Sikamat, dekat sini sempena lawatan kerja sehari pemimpin negara itu ke negeri ini, esok.

Sebelum ini, Najib yang dijadualkan menghadiri program bersama penduduk di lokasi sama pada 10 Februari lalu dalam lawatan kerja beliau ke negeri ini hanya dapat menunaikan solat Jumaat di Masjid Sikamat di situ berikutan jadual yang ketat.

Namun begitu, penduduk di sekitar Sikamat berkeyakinan bahawa pemimpin negara itu pasti akan kembali untuk beramah mesra dengan mereka dan impian besar itu tercapai apabila Najib dijadualkan tiba di situ pada pukul 4 petang esok, sekali gus melancarkan Kempen Sayangi Warga Emas peringkat negeri.

Tinjauan Utusan Malaysia di padang awam Taman Desa Rhu mendapati penduduk gigih melakukan gotong-royong menanti kehadiran Najib, esok.

Seorang penduduk, Siti Baniah Mohd. Noh, 53, berkata, sudah lama dia menunggu untuk melihat dari dekat Perdana Menteri dan kehadiran beliau pastinya menggembirakan penduduk di Sikamat, khususnya di Taman Desa Rhu ini.

''Kalau dahulu Perdana Menteri kata hendak datang, tetapi tidak dapat berbuat demikian, kami jenguk beliau dari tepi masjid. Sekarang Najib hadir semula, itu tandanya pemimpin negara ini benar-benar prihatin dengan kehidupan rakyat," katanya di sini hari ini.

Mengenai kempen yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Siti Baniah berkata, itu juga menunjukkan warga emas tidak pernah dipinggirkan dan sentiasa diambil berat oleh kerajaan.

''Terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menjadikan warga emas ini sebagai insan yang perlu disayangi dan dihargai melalui kempen kesedaran ini," ujarnya.

Sementara Mazirah Othman, 52, berkata, sebagai tanda terima kasih dan penghargaan, penduduk di sini telah merancang sambutan meriah dengan mencantikkan kawasan di sekitar taman perumahan itu.

''Selain yang dibantu kerajaan, kita juga memastikan kawasan persekitaran rumah bersih. Manalah tahu kalau Perdana Menteri datang menjenguk," katanya.

Seorang pesara kerajaan, Mohammad Safari Zainal, 57, menganggap lawatan Perdana Menteri ke Taman Desa Rhu, Sikamat itu umpama mimpi yang menjadi kenyataan.

''Banyak perubahan telah dilakukan oleh kerajaan dan kunjungan Najib ke Sikamat ini tentulah membawa kegembiraan kepada penduduk," jelasnya.

Penduduk teruja terima rumah mampu milik daripada Najib

Posted:

Penduduk teruja terima rumah mampu milik daripada Najib

Penduduk teruja terima rumah mampu milik daripada Najib


Rumah mampu milik di Taman Intan Duyung, Port Dickson yang akan diserahkan sendiri kepada pemiliknya oleh Perdana Menteri di Telok Kemang, hari ini.


TELOK KEMANG 23 Mac - Penduduk Taman Intan Duyung, Port Dickson di sini teruja apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudi menyaksikan penyerahan rumah mampu milik berkualiti daripada pemaju kepada kerajaan negeri untuk diserahkan kepada penduduk yang layak.

Walaupun majlis berkenaan simbolik kepada penyerahan sebenar rumah kepada penduduk yang akan dibuat melalui undian tidak lama lagi, penduduk optimis, ia satu pemberian yang ikhlas dalam memastikan rakyat mendapat kehidupan yang lebih sejahtera dan selesa.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman berkenaan, Syed Shukri Nizam Jaafar, 36, berkata, kunjungan Perdana Menteri pada pukul 10.30 pagi di taman itu memang dinanti-nantikan.

''Kita menjangkakan pemimpin negara itu menyampaikan amanat berhubung rumah kediaman selesa kepada penduduk, bukan sahaja kepada mereka yang layak mendiaminya tetapi juga kawasan lain yang mampu dibeli rakyat," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, rumah sebanyak 70 unit yang telah siap itu akan diserahkan kepada individu yang layak dan sudah tentulah ia dibuat dengan jujur.

''Terima kasih kepada kerajaan yang prihatin. Kami penduduk di sini akan menunggu kehadiran Perdana Menteri," ujarnya.

Sementara itu, petugas keselamatan di taman berkenaan, Ramli Mat Yasin, 45, memberitahu, keprihatinan dalam menyelesaikan permasalahan rakyat terutama faktor kediaman selesa jelas kelihatan.

''Banyak usaha telah dilakukan kerajaan dalam menyediakan kediaman selesa, bukan sahaja di Port Dickson ini, tetapi di Seremban, di Kuala Lumpur dan di mana sahaja yang diperlukan rakyat.

''Malahan banyak skim dan bantuan yang telah disediakan kerajaan untuk membasmi kemiskinan dan ini membuatkan rakyat bertambah yakin terhadap pentadbiran dan kepimpinan negara sedia ada.

''Saya berharap ia tidak terhenti setakat ini dan perlu diteruskan sampai bila-bila," ujar Ramli.

Rakannya, Mohd. Khairul Amin, 20, berkata, pemimpin yang prihatin adalah yang selalu menjenguk rakyat dan inilah yang dilakukan oleh Najib dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

''Sebab itulah rumah mampu milik berkualiti ini dibina untuk rakyat. Lihatlah keadaan rumah, ruang dalam dan persekitaran yang baik. Ia pasti memberi keselesaan kepada mereka yang mendiaminya kelak," ujarnya.

Rakyat digalak bina bumbung hijau di premis

Posted:

Rakyat digalak bina bumbung hijau di premis

Rakyat digalak bina bumbung hijau di premis

MELAKA 23 Mac - Rakyat di negeri ini digalakkan membina bumbung hijau di rumah dan premis perniagaan dengan menanam pelbagai jenis tumbuhan bagi menjamin kualiti udara dan alam sekitar pada masa akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, menanam pelbagai jenis tumbuhan dan sayuran di bumbung jenis rata di rumah mahupun premis adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri merealisasikan negeri ini sebagai bandar raya hijau di mata dunia.

"Dalam usaha menggalakkan teknologi hijau, kita perlu membina imej, contohnya menanam sayur di atas bumbung.

"Jadi saya rasa baik juga jika kita promosikan tanam pokok di atas bumbung di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Seminar Melaka Maju Negeriku Sayang, Negeri Bandar Teknologi Hijau di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Kata beliau, antara tumbuh-tumbuhan yang mudah ditanam dan menjadi kegemaran ramai termasuklah timun, kacang botol dan serai.

Dalam pada itu, sebanyak 13 kumpulan perancang antara agensi (IAPG) terlibat dalam membentangkan pelbagai resolusi dan strategi jangka pendek dan panjang yang fokus terhadap pembangunan teknologi hijau di negeri ini.

Ini termasuklah bengkel pembangunan sosial; infrastruktur dan utiliti; K-ekonomi, teknologi maklumat dan telekomunikasi; pembangunan sumber manusia, perancangan spatial, pertanian, perindustrian dan perdagangan, pelancongan dan lain-lain perkhidmatan.

Turut dibincangkan ialah resolusi dan strategi pembangunan teknologi hijau negeri dari sudut perumahan, bioteknologi, belia dan sukan serta pengangkutan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan