Ahad, 25 Mac 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Suspek kes bakar ditahan

Posted: 24 Mar 2012 09:47 AM PDT

KUALA LUMPUR: Penahanan seorang lelaki berusia 43 tahun berjaya menyelesaikan 18 kes bakar kenderaan sekitar daerah Sentul yang dilaporkan berlaku sejak 10 Mac lalu.

Suspek ditahan jam 10.30 pagi di Kampung Puah, Jalan Gombak, di sini, semalam oleh sepasukan polis yang melakukan rondaan di kawasan berkenaan.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, penahanan lelaki itu berjaya menyelesaikan 18 kes bakar kenderaan yang dilaporkan bermula 10 hingga 23 Mac lalu.

"Sehingga kini motif tindakan lelaki terbabit membakar kenderaan berkenaan masih dalam siasatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, semalam.


Turut hadir pada sidang media itu adalah Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan.


Menurutnya, pemeriksaan lanjut pihaknya mendapati suspek juga memiliki rekod lampau membabitkan kes samun, curi motosikal dan mendatangkan kecederaan.

"Malah, suspek sememangnya dikehendaki pihak berkuasa dan diburu mengikut seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) kerana mencederakan orang," katanya.


Mengulas penahanan lelaki terbabit, suspek dilaporkan cuba melarikan diri selepas menyedari anggota polis cuba menghampirinya.

Bagaimanapun, katanya, suspek yang menunggang motosikal terbabas sebelum terjatuh dan ditahan polis.


Selain motosikal jenis Suzuki RG Sport digunakan suspek, barangan lain yang dirampas ialah tuala, pemutar skru, minyak 2T yang dipercayai digunakan untuk membakar kenderaan.


Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK) dan lelaki terbabit akan direman bagi membantu siasatan.



Tujuh bulan di neraka

Posted: 24 Mar 2012 09:46 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 25 tahun terpaksa menempuh detik hitam dalam hidupnya apabila bukan saja dikurung sejak tujuh bulan lalu, malah dibelasah dan diperkosa seorang lelaki warga Bangladesh di sebuah rumah berhampiran sebuah pasar raya di Kepong, di sini.

Lebih kejam, mangsa mendakwa dipukul hampir setiap hari sepanjang tempoh itu disebabkan keengganannya menjadi pelacur biarpun dipaksa lelaki terbabit.


Bagaimanapun, wanita terbabit bernasib baik apabila berjaya meloloskan diri daripada 'neraka' berkenaan, jam 10 malam Isnin lalu, sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Kepong, Khamis lalu.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, mangsa yang mengenali lelaki terbabit mendakwa ditawarkan pekerjaan di sebuah restoran dengan gaji lumayan.


"Mangsa yang tertarik dengan tawaran berkenaan kemudian dibawa lelaki itu ke sebuah rumah di Kepong sebelum dikurung," katanya.


Sumber berkata, mangsa kemudian dipaksa menjadi pelacur dan keengganannya berbuat demikian menyebabkan suspek berang lalu memukulnya.

"Penderitaan mangsa tidak berakhir di situ apabila dia mendakwa turut dirogol lelaki terbabit lebih 10 kali sepanjang tujuh bulan dikurung," katanya.


Mangsa yang berjaya meloloskan diri daripada kurungan berkenaan jam 10 malam kemudian segera menghubungi rakan dan meminta bantuan.

Katanya, selepas dinasihati rakannya, wanita itu membuat laporan di Balai Polis Kepong, di sini, menuntut tindakan tegas dikenakan terhadap lelaki terbabit.


Dalam laporannya itu, wanita terbabit mendakwa lapan lagi wanita turut dikurung dan dipaksa menjadi pelacur oleh lelaki terbabit.


Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Pencegahan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan siasatan lanjut dilakukan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan