Sabtu, 24 Mac 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Lebih banyak bantuan diumum

Posted: 24 Mar 2012 02:18 PM PDT

Nasional

NAJIB bersama Mohamad beramah mesra dengan penduduk Taman Desa Rhu, Sikamat Seremban pada majlis Mesra Rakyat dan pelancaran Kempen Kesedaran Sayangi Warga Emas  sempena lawatan ke Negeri Sembilan, semalam.

NAJIB bersama Mohamad beramah mesra dengan penduduk Taman Desa Rhu, Sikamat Seremban pada majlis Mesra Rakyat dan pelancaran Kempen Kesedaran Sayangi Warga Emas sempena lawatan ke Negeri Sembilan, semalam.

SEREMBAN: Kerajaan akan mengumumkan lebih banyak bantuan kepada rakyat dalam tempoh beberapa minggu akan datang, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, bantuan itu adalah antara idea baru difikirkan kerajaan, tetapi tidak mahu mengumumkannya sekarang.

"Kerajaan beri perhatian terhadap aspek kebajikan rakyat, tidak seperti pihak di sebelah sana (pembangkang) yang hanya berjanji, tetapi tidak ditunaikan," katanya ketika melancarkan Kempen Kesedaran Sayangi Warga Emas peringkat Negeri Sembilan di Padang Awam Taman Desa Rhu Sikamat di sini, semalam. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim; Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor dan Ketua UMNO bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail.

Najib berkata, penekanan terhadap kebajikan rakyat bukan bermakna Malaysia mahu menjadi negara kebajikan seperti yang diamalkan di Barat.

Katanya, konsep kebajikan di Barat tidak sesuai dilaksanakan kerana akhirnya negara yang melaksanakan sistem itu kini menanggung beban kewangan yang teruk.

Pada majlis itu, Perdana Menteri berkata kerajaan menyediakan peruntukan RM1.4 bilion tahun ini untuk memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik, termasuk warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU).
Katanya, sebanyak RM478 juta daripada jumlah itu diperuntukkan khas untuk membantu kira-kira 135,000 warga tua di seluruh negara melalui bantuan bulanan RM300.

"Ini membuktikan kita adalah kerajaan yang prihatin. Walaupun sentiasa beri bantuan, kita tidak mahu generasi muda, terutama anak-anak melupakan tanggungjawab kepada ibu bapa," katanya.

Najib berkata, ketika ini ada 2.1 juta warga tua di Malaysia mewakili 7.3 peratus rakyat dan dijangka meningkat kepada 3.2 juta atau 9.5 peratus pada 2020.

Perdana Menteri juga berkata, rakyat negara ini tidak memerlukan pembaharuan seperti yang berlaku di Mesir, Libya, Tunisia dan Syria kerana kerajaan memahami kehendak rakyat.

Dasar jamin bekalan air dilancar

Posted: 24 Mar 2012 02:17 PM PDT

Nasional

PARIT BUNTAR: Dasar Sumber Air Negara (DSAN) bagi tempoh 2010 hingga 2050 dalam menentukan hala tuju masa depan untuk sektor sumber air berdasarkan kajian semula sumber air negara dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Muhyiddin berkata, DSAN penting ke arah merintis proses memastikan bekalan air yang terjamin pada era pembangunan ekonomi negara, khususnya sektor pertanian dan perindustrian, pertumbuhan perbandaran dan pertambahan penduduk yang pesat.

Katanya, DSAN yang disedia berdasarkan Kajian Semula Sumber Air Negara bagi 2010 hingga 2050, turut menetapkan prinsip asas sumber air negara yang menyentuh isu air untuk makanan dan pembangunan luar bandar dengan jelas. "Prinsip itu menekankan mengenai perlunya sumber air yang mencukupi untuk jaminan bekalan makanan selain membantu menaik taraf pembangunan di kawasan luar bandar," katanya berucap merasmikan dan melancarkan Sambutan Hari Air Sedunia 2012 peringkat kebangsaan bertemakan 'Air dan Jaminan Makanan' dan DSAN di Dataran Pinggiran Sungai Kerian, di sini, semalam.

Beliau diwakili Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui yang turut menyampaikan Anugerah Tesis Sumber Air dan Hidrologi kepada pemenang Dr Farah Aini Dahalan yang merangkul Anugerah Emas Doktor Falsafah Terbaik, Roslan Zairi Mostapa (Anugerah Emas Sarjana Terbaik) dan R Gillian Eve (Anugerah Emas Sarjana Muda Terbaik).

Muhyiddin yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia berkata, beliau berharap pelbagai langkah strategik untuk mengenal pasti dan menambah sumber air negara, termasuk sumber air bawah tanah yang dikenal pasti berpotensi menjadi sumber alternatif menampung permintaan air di negara ini.

"Laporan awal oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mendapati isi padu air tanah yang tersimpan di Malaysia dianggarkan berjumlah 5,000 bilion meter padu yang mempunyai nilai komersial sebanyak RM7.5 trilion.
"Sehubungan itu, saya berharap kajian serta pembangunan sistematik dan menyeluruh terhadap sumber air bawah tanah, selaras dengan kaedah pengurusan air bersepadu, dapat dipertingkatkan bagi membantu merealisasikan jaminan bekalan air seterusnya jaminan bekalan makanan di negara ini pada masa depan," katanya.

Katanya, Pertubuhan Pertanian dan Makanan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) melaporkan ketika ini hampir satu bilion penduduk dunia berdepan masalah kekurangan makanan dan nutrisi.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, sebahagian penduduk Perak, Pulau Pinang dan Kedah yang tinggal berdekatan Sungai Kerian akan mendapat faedah besar selepas kerajaan meluluskan peruntukan RM490 juta bagi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Kerian yang kerja utamanya membabitkan pembinaan benteng sungai sepanjang 300 kilometer dan rumah pam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan