Sabtu, 24 Mac 2012

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


OKU, warga tua sengsara

Posted:

OKU, warga tua sengsara

OKU, warga tua sengsara

Oleh Muhamad Aimy Ahmad
kota@utusan.com.my


Orang ramai terpaksa menunggu giliran untuk menggunakan satu-satunya lif yang berfungsi di Blok 6, Apartmen Desa Satu, Desa Aman Puri, Kepong, Kuala Lumpur. - UTUSAN/JEFFRI IRAN


SELAYANG 23 Mac - Seorang wanita bertongkat kelihatan berjalan perlahan-lahan di koridor menuju lif Blok 6, Apartmen Desa Satu, Desa Aman Puri di Kepong untuk menjalankan urusan hariannya.

Itulah rutin harian yang dilalui oleh wanita itu sejak setahun lalu. Seperti ramai lagi penghuni lain di blok itu, dia terpaksa mengharapkan khidmat satu-satunya lif yang berfungsi di situ.

Bezanya, Nor Hasliah Hassan, 46, adalah seorang orang kurang upaya (OKU) dan walaupun tinggal di tingkat tiga, lif yang berfungsi itu terletak agak jauh dari pintu rumahnya.

Entah di mana silapnya, lif terdekat dengan rumahnya yang rosak sudah hampir setahun tidak berfungsi dan terbiar.

Ini membuatkan Nor Hasliah dan jiran-jirannya sangat kecewa. Mereka mendakwa pihak pengurusan seperti tidak mengendahkan aduan demi aduan yang dibuat oleh penduduk sejak April tahun lepas.

Tinjauan Utusan Malaysia di apartmen setinggi 12 tingkat itu mendapati hanya satu daripada dua lif yang dibina pemaju boleh 'berkhidmat' kepada penduduk yang melebihi 1,000 orang.

Ini menyebabkan bukan hanya warga emas yang kadang-kala terpaksa menggunakan tangga tetapi OKU juga perlu menempuh kesukaran yang sama.

Nor Hasliah berkata, dia secara peribadi sudah menghantar surat kepada pihak pengurusan pada Jun lalu, namun masih tiada jawapan sehingga ke hari ini.

Katanya, setiap kali mahu keluar dia terpaksa berjalan menggunakan tongkat hampir 100 meter untuk ke lif yang berfungsi tetapi terletak di hujung bangunan.

"Lif yang ada depan rumah saya tidak boleh digunakan. Jadi terpaksa ke lif lagi satu. Apa yang menghairankan daripada tujuh blok semuanya hanya lif di blok kami yang mengalami masalah ini," katanya.

Seorang lagi OKU, Rahmah Saleh, 41, berkata, kadang-kala anak tunggalnya yang berada di tingkatan lima terpaksa ponteng sekolah semata-mata untuk membantu mengangkat dia bersama suami jika perlu ke pusat perubatan.

"Saya berkerusi roda sejak kedua-dua kaki saya dipotong. Jadi, jika ingin ke hospital anak dan suami terpaksa mengangkat saya kerana lif yang berfungsi pun hanya sampai ke tingkat dua. Untuk turun lagi perlu menggunakan tangga juga," katanya.

Zahariman C'wan Muhamad, 54, pula berkata keadaan itu hanya menyusahkan mereka untuk melakukan rutin harian seperti ke pasar atau bekerja.

"Pada waktu pagi, pelajar terpaksa berebut-rebut untuk menggunakan lif kerana ketika itu juga penduduk ingin keluar bekerja. Jadi keadaan memang sukar kerana hanya tinggal satu lif sahaja yang berfungsi," katanya.

Sehubungan itu, Zahariman merayu pihak pengurusan segera bertindak memandangkan mereka setiap bulan membayar yuran penyenggaraan sebanyak RM35.

Asrama Yayasan Selangor tetap dirobohkan - Menteri Besar

Posted:

Asrama Yayasan Selangor tetap dirobohkan - Menteri Besar

Asrama Yayasan Selangor tetap dirobohkan - Menteri Besar

SHAH ALAM 23 Mac - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor akan meneruskan rancangan merobohkan dua asrama milik Yayasan Selangor di Kampung Pandan, Kuala Lumpur untuk melaksanakan aktiviti pembangunan bernilai tinggi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat dengan alasan bahawa strategi Yayasan Selangor menempatkan anak-anak Selangor di Asrama Toh Puan Norashikin dan Asrama Tun Dr. Ismail di sekolah kawasan bandar seperti Kuala Lumpur tidak lagi sesuai.

Malah, katanya, berdasarkan penelitian pihaknya, selepas tahun 2000, pencapaian pelajar sekolah di luar bandar adalah lebih baik daripada sekolah di kawasan bandar, selain kuota pelajar yang ditetapkan Kementerian Pelajaran di sesebuah sekolah.

"Sebagai contoh anak-anak Selangor ditempatkan di setiap sekolah ternama di Kuala Lumpur seperti Victoria Institution dan St. John Institution telah dikurangkan oleh Kementerian Pelajaran daripada 20 orang kepada lima orang untuk satu sekolah sahaja mulai tahun 2000.

"Oleh itu, pihak Yayasan Selangor terpaksa menghantar pelajar-pelajar tajaan mereka ke sekolah luar dari Kuala Lumpur seperti di Petaling Jaya. Keadaan ini menyebabkan para pelajar menghabiskan masa kira-kira tiga jam dalam perjalanan pergi dan balik dari asrama ke sekolah masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohammad Bushro Mat Johor (BN-Paya Jaras) yang mempersoalkan tindakan kerajaan negeri mahu meneruskan pembangunan di atas tapak dua asrama berkenaan, selain bentuk pembangunan baru yang akan dibangunkan di lokasi itu.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata, ketika ini Yayasan Selangor hanya boleh menampung pelajar tidak melebihi 1,500 orang di kedua-dua asrama berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri dijangka membentangkan perancangan yang dibuat terhadap Yayasan Selangor melibatkan soal pendidikan dan pengurusan akaun yayasan itu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Isnin ini.

Jelasnya, sehingga kini, nilai aset Yayasan Selangor berjumlah lebih RM500 juta boleh digunakan untuk melaksanakan perancangan-perancangan yang telah dibuat.

"Kita akan membuat penilaian setiap aset-aset yang dimiliki oleh Yayasan Selangor. Daripada penilaian itu, kita boleh melaksanakan pembinaan sebuah sekolah berasrama penuh milik Yayasan Selangor di Bestari Jaya.

"Dengan adanya sebuah sekolah berasrama penuh, lebih 2,000 pelajar tajaan dapat ditempatkan," ujarnya.

Tiga sindiket teksi warga asing ditumpaskan

Posted:

Tiga sindiket teksi warga asing ditumpaskan

Tiga sindiket teksi warga asing ditumpaskan


Che Hasni Che Ahmad menunjukan kunci dan risalah yang dirampas daripada sindiket pengangkutan awam darat tanpa lesen warga asing yang ditumpaskan oleh SPAD baru-baru ini, di pejabatnya di Subang semalam.


SUBANG 23 Mac - Tiga sindiket pengangkutan awam darat tanpa lesen yang melibatkan warga asing di sekitar Lembah Klang berjaya ditumpaskan sepanjang minggu ini oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Pengurus Besar Penguatkuasaan dan Latihan SPAD, Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad berkata, sindiket yang melibatkan warga asing dari Asia barat itu beroperasi dengan mengambil pelancong asing dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dan Kuala Lumpur untuk dibawa melawat di sekitar Lembah Klang.

Katanya, tambang yang dikenakan juga mahal dan semalam pihaknya berjaya menangkap satu sindiket yang mengenakan bayaran sebanyak US$200 dolar (RM615) bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Shah Alam.

"Sindiket ini mensasarkan pelancong asing dari Asia Barat dan kegiatan mereka adalah di sekitar hotel-hotel dan lapangan terbang. Mereka menggunakan kereta mewah untuk membawa pelancong dan setiap satu sindiket dipercayai dianggotai 10 hingga 15 orang.

"Kegiatan ini mula dikesan sejak enam hingga tujuh bulan yang lalu melalui aduan yang diterima dan dipercayai sudah wujud tiga tahun sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Ops Tegas yang melibatkan teksi tanpa meter dan mengenakan tambang lebih di Bangunan Persada PLUS di sini hari ini.

Che Hasni berkata, setakat ini, pihaknya telah berjaya menyelesaikan lebih 40 aduan mengenai aktiviti terbabit yang melibatkan warga asing.

Menurutnya, jika didapati bersalah, mereka boleh disabitkan di bawah Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat atas kesalahan beroperasi tanpa lesen yang boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000 bagi individu dan RM50,000 sekiranya melibat syarikat.

"Warga asing ini menggunakan pas pelajar serta pas pelancong semasa tinggal di negara ini. Mereka juga mempunyai laman web serta risalah yang diedarkan ke hotel dan restoran.

"Keadaan ini telah menjejaskan serta merosakkan nama baik industri pelancongan di negara ini kerana keselamatan pelancong tidak terjamin jika berlaku kemalangan," jelasnya.

Beliau berharap orang ramai serta syarikat pelancongan yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti itu dapat melaporkan kepada SPAD supaya dapat dibanteras.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan