Ahad, 25 Mac 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Umat Islam perlu jihad ekonomi

Posted:

Umat Islam perlu jihad ekonomi

Umat Islam perlu jihad ekonomi



KANGAR 23 Mac - Umat Islam perlu melakukan transformasi positif dan berjihad ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi yang sejajar dengan tuntutan agama, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (gambar).

Baginda bertitah, dalam menghadapi persaingan ekonomi semasa, mereka perlu berjihad dalam perniagaan di samping mewujudkan 'wakaf korporat' sebagai institusi yang boleh membantu perkembangan ekonomi Islam.

Bertitah merasmikan seminar 'Jihad Bisnes dan Wakaf Korporat' di Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis malam tadi, baginda yakin ekonomi umat Islam akan terus berkembang jika mereka turut menyertai transformasi itu.

Seminar itu dianjurkan bersama oleh Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM).

Timbalan Presiden DPIM, Tan Sri Muhamad Ali Hashim membentang kertas kerja bertajuk Jihad Bisnes dan Wakaf Korporat Pemangkin Ekonomi Ummah pada majlis yang dihadiri umat Islam seluruh Perlis itu.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, umat Islam ketika ini sedang menghadapi cabaran hebat dalam sektor ekonomi yang menampakkan mereka ketinggalan.

"Bagi membangunkan semula ekonomi umat Islam, satu pendekatan alternatif yang lebih kreatif dan efektif perlu dilakukan dan menjadikan kegiatan perniagaan sebagai satu jihad dan tidak hanya melihat sebagai tuntutan duniawi," titah baginda.

Baginda juga yakin cadangan mewujudkan wakaf korporat sebagaimana yang dibangkitkan oleh DPIM pada Kongres Majlis Agama Islam Seluruh Malaysia pada September tahun lalu merupakan langkah yang boleh membantu menjana perkembangan ekonomi umat Islam.

Titah baginda, ketika kegemilangan empayar Islam, amalan berwakaf merupakan antara elemen terpenting dalam pentadbiran negara dan menjadi pemangkin terhadap pembangunan dan penyediaan infrastruktur negara.

"Malang sekali pada hari ini, kekuatan institusi wakaf ini agak disempitkan, hanya menyediakan keperluan ibadah khusus seperti tapak masjid dan surau serta tanah perkuburan sahaja," titah baginda.

Baginda bertitah, institusi wakaf sepatutnya bukan hanya sekadar mengumpul dana tetapi ditambah nilai supaya harta wakaf terus berkembang dan mampu memberi manfaat yang lebih besar kepada umat Islam dan manusia seluruhnya. - BERNAMA

Penderitaan keluarga Roslan dapat perhatian

Posted:

Penderitaan keluarga Roslan dapat perhatian

Penderitaan keluarga Roslan dapat perhatian


SHARUDIN Ahmad(kiri) menyampaikan sumbangan kerusi roda, tongkat dan wang tunai kepada Roslan Alwi di Kampung Parit Mat Aris, Tanah Kebun di Bagan Serai, kelmarin.


BAGAN SERAI 23 Mac - Penderitaan seorang pekerja kilang, Roslan Alwi, 41, yang mengalami patah kaki selepas terlibat dalam kemalangan minggu lalu mendapat perhatian Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Bagan Serai.

Kemalangan itu menyebabkan keluarga malang itu terputus punca pendapatan memandangkan Roslan satu-satunya tempat mereka bergantung harap mencari rezeki.

Lebih malang, anak bongsu Roslan yang baru berusia tiga bulan pula disahkan menghidap penyakit jantung berlubang dan memerlukan rawatan segera.

Pengerusi Pemuda BN Bagan Serai, Sharudin Ahmad berkata, pihaknya mengatur lawatan ke rumah Roslan di Kampung Parit Mat Aris, Tanah Kebun di sini semalam sebaik sahaja dimaklumkan oleh ketua kampung tersebut, Mohd. Adrus Awang.

"Roslan mempunyai seorang isteri dan lima anak berusia antara tiga bulan dan 17 tahun dengan tiga daripadanya bersekolah manakala anaknya yang paling kecil, Muhammad Luqman Hakim pula menghidap penyakit jantung berlubang.

"Kami amat bersimpati dengan nasib keluarga ini dan akan berusaha membantu mereka mendapat pembelaan sewajarnya," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas melawat keluarga tersebut di sini semalam.

Dalam lawatan itu, rombongan Pemuda BN turut menghulurkan sumbangan sebuah kerusi roda, sepasang tongkat serta wang tunai kepada Roslan yang kakinya terpaksa dimasukkan besi akibat kemalangan itu.

Menurut Sharudin, pihaknya akan membantu menguruskan permohonan Roslan bagi mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandangkan keluarganya hilang punca pendapatan selepas kemalangan itu.

Pada masa sama kata beliau, pihaknya juga akan memantau keperluan pelajaran tiga anak Roslan yang bersekolah iaitu Mohammad Nurzal, 17, Siti Nur Aliah, 15, dan Siti Nur Balqir, 9.

"Kami tidak mahu disebabkan masalah kewangan maka pendidikan anak-anak Roslan akan terabai. Mereka merupakan harapan keluarga ini pada masa hadapan," tambahnya.

Sementara itu, Roslan yang bekerja sebagai operator kilang berasa terharu dan mengucapkan terima kasih kepada Pemuda BN Bagan Serai yang prihatin terhadap kesusahan yang dialami keluarganya.

"Sebelum ini saya memperoleh pendapatan RM36 sehari tetapi selepas kemalangan minggu lepas, saya tidak dapat bekerja lagi kerana kaki saya patah. Syukurlah kerana ada pihak yang mengambil tahu penderitaan kami," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan