Ahad, 25 Mac 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Tingkatkan sumber air negara

Posted:

Tingkatkan sumber air negara

Tingkatkan sumber air negara

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN dan A. MALEK ASLIE
utusanperak@utusan.com.my

PARIT BUNTAR 24 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu semua pihak terutama kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan Pusat dalam melaksanakan langkah strategik meningkatkan sumber air negara bagi mengelakkan krisis sumber asas itu pada masa hadapan.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, usaha menambah sumber air negara dilihat semakin penting ekoran persaingan guna air yang semakin meningkat seiring pembangunan sektor ekonomi selain impak perubahan iklim dunia yang tidak menentu.

"Jika kita tidak merancang untuk menyediakan infrastruktur air yang secukupnya, kita berkemungkinan besar akan berdepan krisis kekurangan air. Justeru, semua pihak sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri mesti berusaha untuk memastikan kelangsungan sumber air," katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui pada majlis pelancaran Dasar Sumber Air Negara (DSAN) 2010-2050 sempena sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan 2012 di Dataran Pinggiran Sungai Kerian, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas dan Timbalannya, Tan Sri Joseph Kurup serta Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharum.

Menurut Muhyiddin, langkah-langkah strategik perlu diambil bagi mengenal pasti dan menambah sumber air negara seperti membangunkan sumber air bawah tanah yang berpotensi untuk dimajukan secara komersial.

Beliau menarik perhatian, laporan awal Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mendapati, isipadu air tanah yang tersimpan di Malaysia dianggarkan berjumlah 5,000 bilion meter padu dengan nilai komersial sebanyak RM7.5 trilion.

"Sehubungan itu, kajian dan pembangunan sistematik yang menyeluruh ke atas sumber air bawah tanah perlu dipertingkatkan bagi membantu merealisasikan jaminan bekalan air dan bekalan makanan negara pada masa hadapan," katanya.

Menurut beliau, langkah meningkatkan sumber air amat penting dalam menghadapi isu jaminan bekalan makanan yang menjadi perhatian di seluruh dunia ekoran sumber air yang semakin terhad.

Beliau mengambil contoh krisis bekalan dan harga makanan pada 2008 yang meningkatkan kesedaran banyak negara termasuk Malaysia untuk memantapkan jaminan bekalan makanan khususnya dalam menampung permintaan dalam negara.

Kerajaan kata beliau, membelanjakan RM10.9 bilion sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi tujuan projek bekalan air bersih dan pembetungan di seluruh negara manakala dalam RMK-10, RM4.64 bilion turut dibelanjakan bagi tujuan sama.

NCER jana pelaburan RM27.27 bilion

Posted:

NCER jana pelaburan RM27.27 bilion

NCER jana pelaburan RM27.27 bilion

TAIPING 24 Mac - Kerajaan mengenal pasti 26 Projek Titik Permulaan (EPPs) yang bakal dilaksanakan di bawah inisiatif Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menjelang 2025 dengan janaan pelaburan dijangka mencecah RM27.27 bilion.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, projek terbabit yang dikenal pasti melalui Kajian Makmal Bandar Raya Koridor dan Wilayah (C&C Lab), dijangka memacu industri utama di utara Semenanjung iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Katanya, sepanjang tempoh itu pelaksanaan kesemua projek berkenaan dijangka menyumbang RM17.46 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Kerajaan telah mengambil pendekatan melalui C&C Lab untuk menyerlahkan lagi usaha-usaha membangunkan ekonomi di wilayah ini secara seimbang dan saksama.

"Dalam hal ini, C&C Lab, pihak NCER dengan kerjasama pelbagai agensi awam dan swasta akan mengenal pasti lebih banyak sektor ekonomi yang berpotensi untuk dimajukan di kawasan berkenaan," katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (gambar) pada perasmian Hari Terbuka Koridor Utara C&C Lab 2012 di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pada 2011 NCER menarik pelaburan RM9.91 bilion yang mengatasi jumlah dicatatkan pada 2010 iaitu RM6.06 bilion.

"Jumlah peluang pekerjaan yang berjaya dijana oleh NCER bermula Januari 2010 sehingga 2011 adalah sebanyak 26,267 dan jumlah itu melepasi sasaran awal iaitu 22,000," katanya.

Wanita perlu yakin

Posted:

Wanita perlu yakin

Wanita perlu yakin

Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my


Shahrizat Abdul Jalil (empat dari kanan) meneliti isi kandungan buku Wanita dan Politik selepas melancarkan buku terbitan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 24 Mac - Golongan wanita mesti mempunyai keberanian dan keyakinan untuk memilih wanita lain yang berkebolehan sebagai pemimpin dalam pelbagai bidang termasuk politik.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, wanita tidak harus menyalahkan golongan lelaki kerana tidak memberikan tempat kepada mereka, sebaliknya perlu memanfaatkan peluang dan menggunakan prasarana yang diwujudkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menaikkan golongan wanita.

"Jangan kita salahkan golongan bapa kerana ramai wanita sebenarnya tidak yakin pada diri sendiri atau kepimpinan wanita lain.

"Masanya sudah tiba untuk wanita mengambil peluang yang diberikan kerajaan BN dan parti-parti politik di negara ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan empat buku mengenai wanita di kementeriannya di sini hari ini.

Buku-buku tersebut adalah Wanita dan Politik Malaysia, Perjuangan Politik Wanita Malaysia, Wanita Malaysia Membela Maruah serta Mengangkat Martabat Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Turut hadir pada majlis pelancaran buku tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur; bekas Ketua Wanita MCA, Tan Sri Rosemary Chong dan bekas Ketua Wanita MIC, Tan Sri Dr. Devaki Krishnan.

Mengulas lanjut, Shahrizat berkata, sejak ditubuhkan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berjaya mengetengahkan pelbagai perkara melibatkan kepentingan wanita dan keluarga sebagai isu arus perdana.

"Pada satu ketika isu tadika, taska, keluarga, cuti bersalin untuk ibu dan bapa tidak disentuh, tetapi ia kemudiannya dibincangkan di Kabinet.

"Dahulu isu wanita dilihat kurang penting dan jarang dibincangkan di peringkat teratas, tetapi hari ini semua parti politik yang berpandangan jauh tidak akan mengenepikan pandangan dan penyertaan kaum wanita," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan