Sabtu, 31 Mac 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


LTAM hab penerbangan selatan

Posted:

LTAM hab penerbangan selatan

LTAM hab penerbangan selatan

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my


MOHD. Ali Rustam (lima kanan) bergambar dengan peserta rombongan dari Tanjung Pinang yang menaiki pesawat Sky Aviation di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, Batu Berendam, Melaka, semalam. - UTUSAN/GAIE UCHEL


MELAKA 30 Mac - Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam di sini berpotensi sebagai hab penerbangan kawasan selatan khususnya ke Indonesia, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Menurutnya, usaha untuk menjadikan LTAM sebagai hab penerbangan pelancongan adalah berdasarkan sambutan menggalakkan rakyat Indonesia yang mengunjungi Melaka sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata, tumpuan utama adalah dalam sektor pelancongan kesihatan yang menyaksikan kunjungan seramai 80,056 daripada 350,133 orang sepanjang tahun lalu.

"Pelancongan kesihatan dalam kalangan rakyat Indonesia cukup menggalakkan dan wajar bagi LTAM dijadikan hab penerbangan kawasan selatan.

"Ia akan melibatkan destinasi dan kekerapan penerbangan baru yang akan ditambah untuk meningkatkan kedatangan pelancong ke negeri ini menggunakan LTAM," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Pelancaran Penerbangan Pertama Pesawat Sky Aviation, Melaka-Tanjung Pinang-Melaka di LTAM, di sini hari ini.

Penasihat Senior PT Sky Aviation, Chevy Hakim mengetuai sekumpulan 50 penumpang menaiki pesawat Sky Aviation dari Tanjung Pinang tiba di LTAM kira-kira pukul 11.30 pagi.

Kata Mohd. Ali, penerbangan ke Tanjung Pinang adalah setiap dua kali seminggu iaitu pada hari Rabu dan Ahad dengan kadar tambang RM170 bagi perjalanan sehala.

Selain Tanjung Pinang, kata beliau, Sky Aviation turut merancang destinasi baru dari Jambi ke Melaka tidak lama lagi.

"Jika menjadi kenyataan, penerbangan dari Melaka ke Jambi adalah seminggu sekali dan pada masa ini ia masih di peringkat rundingan," ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, syarikat penerbangan Melaka Air milik anak syarikat kerajaan negeri akan melancarkan penerbangan ke Pulau Pinang pada 6 April ini.

ADUN Sungai Lui taja Utusan Malaysia galak penduduk membaca

Posted:

ADUN Sungai Lui taja Utusan Malaysia galak penduduk membaca

ADUN Sungai Lui taja Utusan Malaysia galak penduduk membaca


Zainal Abidin Ahmad (tengah) bersama orang ramai gembira sambil memegang akhbar Utusan Malaysia di Sungai Lui, Jempol, semalam.


JEMPOL 30 Mac - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui, Datuk Zainal Abidin Ahmad mengambil inisiatif menaja sebanyak 1,000 naskhah akhbar Utusan Malaysia sebagai langkah meningkatkan budaya membaca dalam kalangan penduduk kawasan berkenaan.

Menurutnya, budaya membaca kini semakin menipis terutamanya di kalangan generasi muda yang lebih cenderung memilih bahan bacaan berbentuk hiburan berbanding ilmiah.

''Tidak salah jika mereka membaca buku cerita atau novel, namun mereka seharusnya mengimbangkan bahan bacaan yang dipilih.

''Akhbar bukannya bahan bacaan untuk orang dewasa sahaja, malah ia merupakan medium terbaik untuk orang ramai mendapatkan maklumat terkini yang sesuai untuk dibaca oleh semua lapisan," katanya ketika ditemui selepas mengedarkan akhbar Utusan Malaysia di sekitar kawasan Sungai Lui di sini semalam.

Zainal menjelaskan, beliau memilih untuk menaja akhbar Utusan Malaysia kerana kandungannya boleh dikategorikan sebagai akhbar mesra pembaca.

''Ada juga yang melabelkan Utusan Malaysia sebagai akhbar politik, tetapi ternyata perspektif mereka salah kerana akhbar ini turut memaparkan pelbagai berita lain, termasuk kisah masyarakat dan masalah penduduk.

''Lebih menarik, akhbar ini merupakan satu-satunya akhbar yang masih memaparkan penulisan jawi menerusi penerbitan sisipan jawi Utusan Melayu Mingguan," katanya.

Tambahnya, akhbar itu turut mempunyai sisipan Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) yang mampu dijadikan rujukan pelajar sekolah

''Sisipan ADaP juga telah banyak membantu pelajar dalam pelajaran mereka dan kini turut menjadi pilihan guru di sekolah.

''Selain itu, isi kandungan dalam akhbar ini tepat dan mengikut isu semasa. Ia pasti dapat membantu mereka mengetahui perkembangan dunia luar.

''Oleh itu, saya berharap masyarakat dapat menjadikan akhbar ini sebagai bahan wajib beli di rumah. Mereka tidak akan rugi malah akan lebih kaya dengan ilmu," katanya.

Kutipan zakat Melaka meningkat 3.12 peratus

Posted:

Kutipan zakat Melaka meningkat 3.12 peratus

Kutipan zakat Melaka meningkat 3.12 peratus

MELAKA 30 Mac - Kutipan zakat di negeri ini sehingga kelmarin mencecah RM7.48 juta iaitu meningkat sebanyak RM226,143 atau 3.12 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, tahun lalu, jumlah kutipan yang diperoleh adalah RM7.25 juta.

Menurutnya, jumlah bilangan pembayar zakat juga mencatatkan peningkatan iaitu seramai 18,942 orang berbanding 17,361 orang tahun lalu.

"Zakat wang simpanan menunjukkan jumlah kutipan tertinggi iaitu sebanyak RM3.29 juta berbanding tahun lalu hanya RM2.72 juta.

"Ini diikuti zakat pendapatan sebanyak RM2.89 juta berbanding tahun lalu, RM2.04 juta manakala zakat ternakan pula mencatatkan kutipan terendah iaitu RM10,750," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian zakat korporat oleh lapan syarikat yang bernilai RM2.29 juta kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob mewakili Pusat Zakat Melaka (PZM) di Seri Negeri di sini kelmarin.

Pada majlis itu, Lembaga Tabung Haji menyerahkan zakat korporat bagi tahun 2011 berjumlah RM1.194 juta yang disampaikan Pengerusinya, Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor.

Turut menyerahkan zakat korporat ialah Ahli Lembaga Pengarah Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat), Datuk Mohd. Aini Taib yang berjumlah RM623,812.

Tidak ketinggalan ialah Pembangunan Pertanian Melaka Sdn. Bhd. iaitu sebanyak RM186,474.

Mohd. Ali yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan PZM berkata, sehingga 29 Februari lalu, MAIM telah mengagihkan zakat sebanyak RM3.08 juta berbanding RM3.44 juta untuk tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, golongan asnaf fisabilillah merupakan penerima agihan tertinggi iaitu RM1.42 juta diikuti fakir (RM587,555), miskin (RM477,175), amil (RM347,094), mualaf (RM204,660) manakala ibnu sabil yang terendah iaitu sebanyak RM952.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan