Isnin, 26 Mac 2012

Berita Harian: Nasional

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Berita Harian: Nasional


‘Kita komited guna nuklear untuk kebaikan’

Posted: 26 Mar 2012 03:17 PM PDT

Nasional

PRESIDEN Korea Selatan, Lee Myung Bak menyambut  Muhyiddin sempena Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear 2012 di Seoul. semalam.

PRESIDEN Korea Selatan, Lee Myung Bak menyambut Muhyiddin sempena Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear 2012 di Seoul. semalam.

SEOUL: Malaysia komited untuk memastikan tenaga nuklear hanya digunakan untuk tujuan keamanan dan tegas dalam menguatkuasakan kawalan terhadap pengeksportan, pemindahan dan transit semua barangan yang mungkin digunakan bagi membangunkan dan mengeluarkan senjata nuklear.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata bagi memastikan tenaga nuklear hanya untuk tujuan keamanan, Malaysia mematuhi segala peruntukan di bawah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Katanya, dalam masa sama Malaysia belum membuat keputusan muktamad berhubung penggunaan tenaga nuklear pada masa hadapan dan hanya menggunakan sumber itu untuk tujuan kebaikan seperti dalam bidang perubatan, pertanian dan pemprosesan makanan. "Kita bernasib baik kerana mempunyai hasil petroleum tapi sumber seperti itu berkurangan pada masa akan datang.

"Berikutan itu, kita perlu melakukan persediaan sekiranya ia berlaku," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Muhyiddin berada di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear 2012 yang bermula semalam dan hari ini. Sidang itu dihadiri 53 ketua negara dan lima Ketua Organisasi Antarabangsa.

Turut hadir Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama. Antara negara yang dijemput adalah Filipina, Indonesia, Singapura, Vietnam, Arab Saudi, Australia, Brazil, Russia dan United Kingdom.
Sidang itu dijangka membincangkan penyelarasan rangka kerja keselamatan nuklear antarabangsa, mengukuh peranan IAEA dan mempertingkatkan sumbangan ke arah dana keselamatan nuklear, selain menjamin pengurusan keselamatan pengkayaan uranium dan plutonium iaitu dua bahan utama yang menjadi asas membuat bom nuklear.

Muhyiddin berkata, bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai nuklear, kerajaan akan menganjurkan program pendidikan dan kesedaran kepada orang ramai.

"Kita perlu menjelaskan kepada masyarakat supaya tidak berlaku salah faham," katanya.

Persidangan itu juga akan melihat semula apa yang sudah dicapai sejak Sidang Kemuncak keselamatan Nuklear 2010 yang diadakan di Washington serta kerjasama antarabangsa untuk meningkatkan jaminan masa depan.

Muhyiddin berkata, Malaysia komited dalam isu nuklear sejak sidang kemuncak di Washington dan kini sudah pada peringkat akhir dalam menyemak semula Akta Pelesenan Tenaga Atom (Akta 304).

"Malaysia tegas keselamatan inisiatif nuklear bagi menghalang semua barangan yang mungkin diguna bagi membangunkan dan mengeluarkan senjata nuklear," katanya menambah Malaysia kini mempunyai 300 pakar nuklear.

Muhyiddin berkata, sebagai persediaan untuk keperluan pada masa akan datang, Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia (MNPC) ditubuhkan pada 11 Januari 2011 berperanan sebagai Pelaksana Program Tenaga Nuklear negara.

Tempoh sah Baucar Buku 1Malaysia 30 April

Posted: 26 Mar 2012 03:16 PM PDT

Nasional

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju melanjutkan tarikh tempoh sah penggunaan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) sehingga 30 April ini untuk dimanfaatkan lebih 30,000 pelajar baru kemasukan kedua ke institusi pengajian (IPT) di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata keputusan itu dibuat kerana pelajar yang baru mendaftar di IPT antara Januari hingga Mac mendakwa mereka mungkin tidak dapat menggunakan baucar berkenaan kerana tarikh lupusnya terlalu hampir iaitu Sabtu ini.

"Saya ingin menegaskan hanya pelajar mendaftar sebelum 31 Mac layak mendapat kemudahan BB1M. Mereka yang mendaftarkan selepas tarikh itu tidak layak menerima BB1M. "Berdasarkan rekod kementerian, 1.27 juta pelajar sudah menerima 5.1 juta BB1M yang dianggar bernilai RM255 juta, termasuk mereka yang mendaftar sejak Januari lalu hingga sekarang.

"Daripada 5.1 juta baucar BB1M yang diagihkan, hanya kira-kira 50 peratus sudah diterima balik oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) daripada kedai buku untuk ditukarkan dengan wang tunai," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penghargaan Kursi Pengajian Melayu di Luar Negara di sini, semalam.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut menyerahkan watikah pelantikan pemegang Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU), China, kepada Prof Dr Mohd Taib Dora.

Katanya, BB1M selebihnya mungkin masih berada di tangan pelajar atau kedai buku yang belum menunaikannya dan beliau meminta kerjasama 292 kedai buku di seluruh negara yang menyertai program itu supaya menerima baucar berkenaan walaupun tarikh lupus yang dicetak padanya ialah 31 Mac ini.
KPT juga akan mengeluarkan notis menerusi akhbar utama bagi memaklumkan kepada pemilik kedai buku dan pelajar IPT bahawa tarikh tempoh sah BB1M kini dilanjutkan sehingga 30 April ini.

Terdahulu, Mohamed Khaled mengumumkan kementeriannya bercadang menubuhkan dua lagi Kursi Pengajian Melayu iaitu di Jerman dan Jepun tidak lama lagi.

Katanya, Goethe-University of Frankfurt di Jerman turut menyatakan minat untuk mengembangkan Pengajian Melayu di universiti berkenaan.

Katanya, penubuhan kursi berkenaan dicadangkan kerana Frankfurt adalah pusat perbankan serantau di Eropah, sekali gus menjadi langkah strategik bagi mempromosikan Malaysia sebagai pelopor bidang pengajian perbankan Islam pada peringkat global.

0 ulasan:

Catat Komen