Sabtu, 24 Mac 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Baju serba putih

Posted: 23 Mar 2012 02:41 PM PDT

KULAIJAYA: "Terdetik di hati saya seperti ada yang tidak kena selepas melihat arwah tujuh beranak berpakaian serba putih ketika majlis perkahwinan anak sepupu kami di Kluang, Sabtu lalu.

"Kini, terbukti apa yang saya rasakan itu benar-benar berlaku," kata Salmah Ismail, 65, kakak ipar kepada Allahyarham Koperal Ismayuddin Ramli, 50, yang maut dirempuh bas ketika bertugas di Bangunan Sultan Ismail (BSI), di sini, malam kelmarin.

Menurutnya, lebih menghairankan ketika majlis kenduri itu, arwah selama ini dikenali dengan sikap suka bergurau dan mengusik, hanya berdiam diri.

Dalam kejadian jam 11.55 malam itu, Allahyarham Ismayuddin dari Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) bertugas mengawal lalu lintas bersama seorang lagi rakan, maut selepas dirempuh bas dipandu seorang wanita berusia 49 tahun.


Difahamkan, bas persiaran itu dalam perjalanan dari Singapura menuju Johor Bahru dan dipercayai hilang kawalan lalu melanggar dua kenderaan lain serta pembahagi jalan sebelum merempuh mangsa.


Anak sulung mangsa, Norfarhana Ismayuddin, 24, berkata, dia tidak menduga permintaannya bersama adik-beradik lain untuk berpakaian serba putih ketika menghadiri majlis perkahwinan sepupunya itu ibarat petanda bapanya akan meninggalkan mereka buat selama-lamanya.

"Arwah hanya tersenyum ketika kami menyatakan hasrat itu dan dia menuruti permintaan kami tanpa sebarang bantahan. Memang tak diduga, arwah akan meninggalkan kami buat selama-lamanya," katanya.

Allahyarham Ismayuddin berkhidmat lebih 20 tahun bersama Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan meninggalkan isteri, Norsiah Md Amin, 47, dan lima anak, Norfarhana; Nor Afiqah Ismayuddin, 14; Norfarzana Ismayuddin, 11; Mohd Irsyad Fauzan, 8, dan Mohammad, 9.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Taib Andak, di sini, sejurus selesai solat Jumaat, semalam selepas dituntut keluarganya dari Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, siasatan awal mendapati wanita yang melanggar Allahyarham mempunyai rekod kesalahan trafik kerana melanggar lampu isyarat.

Beliau berkata, pemandu bas warga tempatan itu juga sudah ditahan bagi membantu siasatan manakala bas didaftarkan di Singapura itu disita bagi membolehkan pemeriksaan lanjut berhubung keadaan kenderaan ketika kejadian.

"Selain ditahan reman bagi membantu siasatan dan pemeriksaan bas, kita menunggu ujian saringan awal air kencing terhadap pemandu bas berkenaan.

"Satu siasatan rapi akan dijalankan bagi menyelesaikan kes ini dalam tempoh terdekat. Perkara ini dianggap serius kerana membabitkan anggota polis yang sanggup berkhidmat menjaga keamanan walaupun sentiasa terdedah kepada risiko kemalangan," katanya selepas melawat keluarga mangsa di Felda Taib Andak, di sini, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, pihaknya akan memastikan keluarga mangsa mendapat pembelaan dan bantuan sewajarnya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jika sabit kesalahan, seseorang itu boleh di penjara maksimum 10 tahun, denda hingga RM20,000 dan lesen memandu digantung.



Dua pencuri ditembak

Posted: 23 Mar 2012 02:34 PM PDT

PETALING JAYA: Dua penjenayah yang baru setengah jam mencuri sebuah kereta Honda Civic, ditembak mati selepas sepasukan polis peronda terserempak dengan suspek yang ketika itu sedang menukar nombor pendaftaran kenderaan terbabit di satu kawasan sunyi di Persiaran Bukit Utama, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, kedua-dua suspek bersama seorang lagi rakan mereka, menahan kereta yang dilarikan itu berhampiran pusat beli-belah Bandar Utama Center Point dengan menyamar sebagai anggota polis sebelum menarik keluar pemandu dan melarikan kereta berkenaan ke lokasi mereka ditembak mati.


Menurutnya, seorang lagi rakannya menaiki kereta lain kini sedang diburu polis.

"Sepasukan empat pegawai dan anggota polis menaiki kereta peronda melalui kawasan berkenaan sebelum terserempak dengan kedua-dua suspek di kawasan sunyi dalam keadaan mencurigakan.


"Ketika polis menghampiri mereka, seorang daripada suspek melepaskan dua das tembakan mengenai cermin depan kereta peronda dan polis terpaksa membalas tembakan.


"Suspek berusia 39 dan 37 tahun mati di tempat kejadian dan pemeriksaan menemui sepucuk pistol, sebilah parang dan pisau," katanya ditemui di lokasi kejadian.

Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek dari Ampang, Selangor dan Wangsa Maju, Kuala Lumpur itu, mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan