Ahad, 25 Mac 2012

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Dedah segera laporan audit air

Posted:

Dedah segera laporan audit air

Dedah segera laporan audit air

Oleh YULPISMAN ASLI
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 23 Mac - Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) mendesak syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) mendedahkan laporan audit yang dibuat oleh sebuah syarikat beribu pejabat di Kuala Lumpur mengenai pengurusan air di negeri ini.

Presiden MTRK, Azmi Ali berkata, pihaknya dimaklumkan dalam laporan tersebut banyak penemuan perkara-perkara meragukan membabitkan projek-projek yang dijalankan oleh AKSB.

Beliau turut meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyegerakan siasatan yang dibuat berhubung dakwaan wujud penyelewengan dalam syarikat air milik Kerajaan Pas Kelantan itu.

"MTRK tetap pertahan (kenyataan sebelum ini) kerana mempunyai asas kukuh dalam dakwaan itu (wujud penyelewengan dalam AKSB). Justeru, kita memohon SPRM membuat siasatan secara profesional kerana ia melibatkan peruntukan besar dan penderitaan rakyat," katanya kepada pemberita di sini semalam.

MTRK sebelum ini mendesak Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Infrastruktur, Utiliti dan Alam Sekitar negeri, Datuk Md. Anizam Abd. Rahman meletak jawatan kerana kegagalannya menyelesaikan masalah air di negeri ini.

Azmi berkata, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat harus memecat atau menggantung tugas Md. Anizam kerana didakwa lemah menguruskan perbelanjaan disediakan Kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri berjumlah RM600 juta.

MTRK turut membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dalam AKSB melibatkan peruntukan Kerajaan Pusat untuk program bekalan air bersih.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, pihaknya difahamkan laporan audit oleh syarikat berkenaan turut menyentuh soal pembelian meter air yang tidak mengikut spesifikasi oleh AKSB sehingga mengakibatkan pembaziran wang.

"Begitu juga dengan projek Air Tidak Berhasil (NRW) membabitkan kos sebanyak RM130 juta tetapi tidak berjaya. Maka itu, kita minta SPRM siasat secara telus," katanya.

Dakwaan wujud penyelewengan dalam AKSB semakin menjadi perhatian banyak pihak di sini kerana ia berkait rapat dengan masalah bekalan air bersih yang berlarutan sejak sekian lama.

Sebelum ini, sekumpulan penduduk telah mengadakan perhimpunan secara aman berhampiran bulatan Pasir Pekan bagi mendesak Menteri Besar bertanggungjawab menyelesaikan isu tersebut.

iSHARP eksport udang RM150 juta setahun

Posted:

iSHARP eksport udang RM150 juta setahun

iSHARP eksport udang RM150 juta setahun


Sultan Mizan Zainal Abidin bersama Abu Bakar Tun Ibrahim (tiga dari kiri) memasukkan udang yang ditangkap dari kolam projek iSHARP sambil diperhatikan Sultanah Nur Zahirah (kiri) dan Ahmad Said (kanan) di Kampung Nyatuh, Setiu, kelmarin.


SETIU 23 Mac - Ladang Akuakultur Ternakan Udang Bersepadu (iSHARP) di Kampung Nyatuh di sini yang diusahakan oleh Blue Archipelago Bhd. bakal menjadi pembekal udang putih utama negara yang mampu menjana nilai eksport berjumlah RM150 juta setahun.

Nilaian produk itu dijangka mula diperoleh selepas semua kolam di kawasan seluas 1,000 hektar membabitkan 616 buah kolam milik anak syarikat Khazanah Nasional Berhad tersebut mula beroperasi sepenuhnya dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.

Projek iSHARP itu yang mula dibangunkan kira-kira dua tahun lalu mengikut dua fasa termasuk membina sebuah kilang pemprosesan udang dengan kapasiti 15 metrik tan sehari.

Ia dijangka menembusi pasaran premium udang di Jepun, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan Asia Barat.

Ketua Pegawai Eksekutif Blue Archipelago Bhd., Abu Bakar Tun Ibrahim berkata, pihaknya yakin udang putih itu mampu menembusi pasaran antarabangsa kerana ternakan tersebut berpotensi mengeluarkan hasil berkualiti selain diperakui konsisten dan sesuai untuk pasaran premium.

Menurutnya, syarikatnya yang sebelum ini turut mengendalikan projek Ladang Ternakan Udang Bersepadu di Kuala Kerpan, Kedah (iKERPAN) sejak awal 2008 telah mendapat pengiktirafan pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi antarabangsa yang berkaitan seperti Skim Pensijilan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM) dan Amalan Pertanian Baik (ABP).

"Bagi peringkat pertama, kami akan melaksanakan 216 buah kolam udang pada tahun ini dengan pengeluaran hasil sebanyak 2,100 metrik tan manakala 400 buah kolam lagi untuk fasa kedua yang akan dibina tahun depan kemampuan mengeluarkan hasil sebanyak 3,900 metrik tan,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah sempena lawatan baginda ke projek ternakan udang itu di Kampung Nyatuh di sini semalam.

Keberangkatan baginda diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah.

Abu Bakar memberitahu, buat masa ini, sejumlah 48 buah kolam yang dikendalikan oleh 108 pekerja yang kebanyakannya merupakan kakitangan iSHARP merupakan penduduk setempat.

"Kami juga akan membangunkan sebuah Pusat Pembenihan Udang tahun depan yang boleh membekalkan lebih satu bilion benih udang setahun selain dapat menampung keperluan para penternak kecil udang di beberapa tempat sekitar Pantai Timur," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan