Jumaat, 23 Mac 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Shahrizat terus pimpin Wanita bantu BN: Najib

Posted: 23 Mar 2012 03:19 PM PDT

Nasional

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan terus memimpin Wanita UMNO untuk membantu Barisan Nasional (BN) menang besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata tiada sebab untuknya menghukum Shahrizat dengan memintanya melepaskan jawatan kerana beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dari segi undang-undang.

Tambahan pula, katanya, Shahrizat dipilih oleh 1.3 juta ahli Wanita UMNO dari seluruh negara. "Kita mesti berlaku adil. Datuk Seri (Shahrizat) setakat ini tidak ada apa-apa kesalahan dari segi undang-undang, belum ada apa-apa bukti dia buat kesalahan, tapi dia seorang yang bertanggungjawab... tidak mahu tempias itu (isu National Feedlot Corporation) jadi beban kepada parti dan kerajaan.

"Datuk Seri sanggup melepaskan jawatan sebagai menteri dan ahli Kabinet... satu pengorbanan yang saya dan rakan-rakan hargai.

"Oleh itu, saya tidak mahu ada spekulasi berhubung perkara ini sebab selepas ini Wanita UMNO akan turun bersama-sama sebagai satu pasukan jentera yang kuat dan kukuh," katanya pada majlis Perhimpunan Wanita UMNO bersama Presiden UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sini, semalam.

Lebih 8,000 pemimpin Wanita UMNO bahagian dan tertinggi dari seluruh negara menghadiri perhimpunan itu bagi mendengar amanat Presiden bagi menghadapi PRU dalam masa terdekat. Mereka turut berikrar memberi sokongan tidak berbelah-bahagi kepada UMNO dan Najib serta Shahrizat dalam melaksana tugas parti dan gerak kerja pilihan raya.
Najib yang juga Presiden UMNO berkata, mesej jelas itu bagi meredakan kebimbangan ahli Wanita pada peringkat akar umbi terhadap permasalahan yang
dihadapi pergerakan.

Malah, beliau lega apabila Shahrizat dan Naib Ketuanya, Datuk Kamilia Ibrahim berikrar untuk bekerjasama bagi memastikan sayap itu dapat membawa kemenangan besar kepada parti.

"Kedua-duanya membuat pengakuan kepada saya, disaksikan Timbalan Presiden serta Setiausaha Agung bahawa mereka akan bekerja sebagai satu pasukan yang padu. Mereka akan turun padang bersama-sama selepas ini sebagai satu pasukan untuk memastikan jentera Wanita kuat dan kukuh," katanya.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

jenub b.bunga

edia bagus ratyat mesti sokong shahrizat.

shamsolsahli.2140513989

Perjuangan kemajuan sukar dilupakan.Tima kaaih.


‘Hubungan saya, Kamilia baik’

Posted: 23 Mar 2012 03:16 PM PDT

Nasional

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata hubungannya dengan Datuk Kamilia Ibrahim kekal baik di sebalik gesaan Naib Ketuanya itu supaya beliau meletakkan jawatan.

Shahrizat berkata, beliau tidak berkecil hati, sebaliknya amat memahami hati budi Kamilia yang dikenali sejak zaman sekolah menengah dan universiti.

"Ia tidak jadi satu perkara besar. Bagi saya beliau dah beri pandangan beliau, saya terimalah. "Dia sebenarnya saya anggap sebagai kakak kerana umurnya lebih sikit pada saya... saya terima pandangannya dan memahami caranya. "Kita datang daripada satu keluarga. Sebagai ketua, saya mesti terima segala cubaan sebab saya adalah payung kepada semua, termasuk Datuk Kamilia," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Wanita UMNO bersama Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam.

Shahrizat diminta mengulas hubungan peribadinya dengan Kamilia yang baru-baru ini menggesa beliau meletak jawatan dalam parti 'demi menjaga kredibiliti parti, pergerakan Wanita, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan'.

Terdahulu, dalam ucapannya pada perhimpunan itu, Shahrizat menegaskan selagi beliau menjadi Ketua Pergerakan itu, beliau akan menjalankan tanggungjawab diamanahkan dengan sebaik mungkin demi agama, bangsa dan negara.

Tegas beliau, perjuangannya bukan atas ukuran wang ringgit, tetapi untuk memastikan kelak dirinya tidak dipersalahkan generasi akan datang kerana tidak melaksanakan tanggungjawab berkenaan.
"Selagi saya jadi ketua, saya tidak akan pecah amanah untuk menjalankan tugas dan janji, selagi Wanita mahukan saya sebagai ketua mereka, biar saya mati dalam gelanggang, bukan kerana pembangkang... kami tidak takut pembangkang.

"Sebagai Ketua Pergerakan pada PRU-13, saya hendak Perdana Menteri menang bukan sipi-sipi, tapi 2/3, lebih dari itu, kerana kita nak tentukan generasi akan datang berada dalam satu negara selamat, saya tidak mahu anak cucu saya maki hamun, sumpah laknat pada kita bahawa kita tidak bertugas dengan ikhlas dalam memartabat bangsa, agama dan negara," katanya.

Lebih 8,000 ahli Wanita UMNO hadir pada majlis tertutup itu bagi mendengar amanat Najib.

Kamilia pada sidang media berasingan berkata, kenyataannya menggesa Shahrizat meletak jawatan sebagai ketua adalah berdasarkan permintaan akar umbi yang datang berjumpa dengannya.

"Ia berlandas apa yang saya dapat pada peringkat akar umbi, itu yang saya nyatakan dan disiarkan akhbar. Terpulang kepada orang ramai untuk menilai sama ada ia kenyataan peribadi atau sebaliknya," katanya.

Namun tegas beliau, sebagai pemimpin nombor dua dalam pergerakan itu, beliau mempunyai tanggungjawab untuk memastikan Wanita UMNO bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional.

"Tadi saya berjanji dengan Perdana Menteri, bahawa saya akan bekerjasama dengan semua Wanita UMNO dan Datuk Seri Shahrizat serta barisan EXCO," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan