Sabtu, 30 Jun 2012

Kosmo Online

Kosmo Online


Teknikal, vokasional kerjaya penting

Posted:

Teknikal, vokasional kerjaya penting

30/06/2012 3:18pm

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, pemikiran mengenai kerjaya dalam bidang teknikal dan vokasional yang sering menjadi pilihan terakhir oleh graduan perlu diubah.

Beliau berkata, menjelang tahun 2020, negara akan menjana 3.3 juta peluang pekerjaan dengan 40 peratus daripadanya adalah dalam bidang teknikal dan vokasional.

Katanya, bidang berkenaan yang sentiasa diberi penambahbaikan oleh kerajaan seiring dengan perkembangan teknologi tidak sepatutnya dianggap kurang penting hanya kerana dilabel sebagai kerjaya tidak terkenal.

"Cabaran kini adalah untuk mengubah corak berfikir rakyat Malaysia yang masih meletakkan bidang kemahiran ini sebagai pilihan terakhir untuk anak-anak mereka.

"Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi sedang berusaha menarik minat graduan untuk menceburi kerjaya dalam bidang teknikal dan vokasional," katanya ketika berucap merasmikan pameran kerjaya "Graduan Aspire 2012" di sini hari ini.

Pameran dua hari bermula semalam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu dijangka menarik lebih 15,000 graduan di seluruh negara. - BERNAMA

Raja Permaisuri Agong rasmi Floria 2012

Posted:

Raja Permaisuri Agong rasmi Floria 2012

30/06/2012 3:01pm

PUTRAJAYA - Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah hari ini berkenan menyempurnakan majlis perasmian Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria Putrajaya) 2012.

Baginda turut meluangkan masa kira-kira sejam setengah untuk melawat kawasan pameran termasuk taman-taman pameran yang dikendalikan oleh kementerian dan agensi kerajaan termasuk Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta Perbadanan Putrajaya.

Lawatan baginda berakhir di kawasan pavilion yang menempatkan pameran pelbagai gubahan bunga yang menarik dan berwarna-warni yang disertai oleh peserta tempatan dan antarabangsa termasuk dari China, Hong Kong, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M. Saravanan dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman.

Dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya dan disokong oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, festival bertemakan Bunga Kertas-Tetap Menawan itu dijadualkan berlangsung di Persisiran Tasik Presint 2 di sini selama sembilan hari.

Lebih 400,000 pokok dari pelbagai spesis dan kultivar bunga-bungaan dan tanaman hiasan dari kawasan tropika dan sub-tropika dihimpunkan sepanjang tempoh pameran. - BERNAMA

Ditipu RM20,000 kerana mahu bebaskan abang

Posted:

Ditipu RM20,000 kerana mahu bebaskan abang

30/06/2012 2:58pm

IPOH - Seorang wanita mendakwa membayar wang ikat jamin RM20,000 kepada seorang pegawai polis bagi membebaskan abangnya yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kerana disyaki terbabit dalam kes dadah.

T.Rajani, 26, yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di sini mendakwa, beliau diarah oleh seorang lelaki yang mengaku sebagai 'Inspektor Faiz' supaya memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun yang dikatakan milik seorang anggota polis dikenali sebagai 'Subramaniam'.

"Bagaimanapun selepas memasukkan wang ke akaun berkenaan, abang saya tidak dibebaskan sebaliknya dihantar ke Penjara Taiping dan 'Inspektor' berkenaan gagal dihubungi selepas itu," katanya.

Menceritakan kejadian itu, Rajani mendakwa pada 18 Jun beliau dihubungi seorang lelaki yang hanya di kenali sebagai 'Inspektor Faiz' yang memintanya hadir ke balai polis Ipoh dan membawa wang tunai untuk bayaran wang jamin, 10 paket milo dan pakaian bagi membebaskan abangnya yang berusia 29 tahun. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan