Khamis, 21 Jun 2012

Kosmo Online

Kosmo Online


GSC tambah 18 pawagam di Lembang Klang

Posted:

GSC tambah 18 pawagam di Lembang Klang

21/06/2012 8:01pm

KUALA LUMPUR - Golden Screen Cinemas Sdn. Bhd., (GSC) menambah 18 skrin pawagam dalam litarnya mulai hari ini, menerusi pembukaan sembilan skrin GSC Setia City Mall di Shah Alam dan sembilan skrin GSC Paradigm Mall di Kelana Jaya.

Ketua Eksekutif GSC, Koh Mei Lee berkata, lebih RM36 juta dilaburkan untuk kedua-dua pawagam baharu berkenaan.

Dengan penambahan dua lokasi baharu itu, GSC kini mempunyai 26 pawagam, 215 skrin termasuk 70 skrin digital, dengan 39,829 kapasiti tempat duduk di seluruh negara.

Kos pembinaan pawagam di GSC Setia City Mall bernilai RM 17 juta manakala GSC Paradigm Mall bernilai RM19 juta.

Dua pembukaan pawagam baharu ke-25 itu merupakan sebahagian daripada aktiviti ulang tahun ke-25 syarikat itu tahun ini, yang meliputi pengenalan jenama baharu GSC - GSC Lite - di Mentakab Star Mall pada Mac lepas.

Selain itu, GSC merancang membuka dua lagi pawagam baharu - GSC City One Mall di Kuching dan GSC Amanjaya di Sg Petani -- menjelang akhir 2012.

Tahun depan, GSC menyasarkan memasang 10 di GSC Palm Mall di Seremban (Q1), 11 skrin GSC Nu Sentral KL (Q2) dan sebuah lagi GSC Lite – lapan skrin GSC Bintang Megamall di Miri (Q 2).

Pada 2014, 11 skrin dirancang untuk IOI City Mall di Putrajaya. - BERNAMA

Noraseela, Hup Wei ke Olimpik guna wild card

Posted:

Noraseela, Hup Wei ke Olimpik guna wild card

21/06/2012 7:54pm

KUALA LUMPUR - Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mencalonkan atlet 400 meter lari berpagar, Noraseela Khalid dan atlet lompat tinggi lelaki, Lee Hup Wei ke temasya Olimpik, London melalui penyertaan wild card.

Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, nama dua atlet tersebut telah dihantar kepada Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) pada 15 Jun lepas.

"KOM perlu hantar seorang lelaki dan seorang wanita bagi penyertaan wild card. Kini mereka berada di Jerman bagi menjalani latihan intensif dan menyertai kejohanan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, penyertaan berdasarkan wild card itu tidak akan dilaksanakan sekiranya atlet lompat bergalah, Roslinda Samsu dan atlet 110 meter lelaki, Rayzam Shah Wan Sofian layak ke temasya Sukan Olimpik berdasarkan merit melalui penyertaan di kejohanan antarabangsa. - BERNAMA

Bangunan runtuh nyaris tagih 6 nyawa

Posted:

Bangunan runtuh nyaris tagih 6 nyawa

21/06/2012 7:47pm

BESUT - Enam pekerja pembinaan nyaris maut apabila bangunan tempat mereka bekerja di Padang Astaka, Jerteh di sini tiba-tiba runtuh dan menghempap mereka dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.

Tiga daripada mereka yang terdiri daripada dua warga Indonesia dan seorang dari Bangladesh, sempat menyelamatkan diri dengan merangkak keluar daripada timbunan bangunan itu manakala tiga lagi mangsa iaitu dua warga Bangladesh dan seorang Indonesia yang terperangkap dalam runtuhan itu berjaya diselamatkan lebih dua jam kemudian.

Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamaruddin Zakaria berkata, kesemua mangsa kini dirawat di Hospital Daerah Besut dan keadaan mereka masih lemah.

Katanya, keenam-enam mangsa ialah Suksan Ali, 25, Fandi, 20, dan Ari, 31, masing-masing dari Indonesia manakala mangsa warga Bangladesh dikenali sebagai Raju, 42, Munawir, 20, dan Zilo,40.

"Kejadian dipercayai berlaku setelah konkrit bumbung bangunan Astaka baru dikatakan tiba-tiba runtuh ketika beberapa pekerja sedang menambah simen dalam konkrit jeriji besi," katanya.

Kamaruddin berkata, tiga kren dan dua jentolak digunakan bagi menarik besi yang runtuh untuk mengeluarkan tiga mangsa yang terperangkap itu.

"Seorang daripada mangsa ditenggelami simen daripada paras pinggang manakala seorang lagi membabitkan kedua kakinya ditenggelami simen dalam runtuhan itu," ujar beliau. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan