Jumaat, 22 Jun 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Lagi khianat kaki bakar

Posted: 21 Jun 2012 12:48 PM PDT

KUALA LUMPUR: Perbuatan khianat membakar kenderaan berlaku lagi apabila 17 kenderaan termasuk 16 motosikal dan sebuah kereta jenis Nissan Grand Livina hangus dalam kejadian di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bonus, Setapak, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, kebanyakan penghuni sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan dan panggilan daripada jiran tetangga. Mangsa, Nawer Abdul Razak, 56, berkata ketika kejadian dia sedang tidur sebelum terkejut sebaik mendengar jeritan penduduk dari tingkat bawah.


Katanya, dia kemudian keluar melihat apa yang berlaku sebelum mendapati api sedang marak membakar kenderaan yang diletakkan di kawasan flat itu sebelum berlari turun.

"Saya cuba mengalihkan beberapa motosikal berhampiran tempat kebakaran namun tidak berjaya selepas api marak dengan cepat membakar kenderaan yang diletakkan dalam jarak dekat.


"Bagi mengelakkan api merebak ke kenderaan lain, penduduk berusaha memadamkan api namun tidak berjaya kerana api begitu marak," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.


Nawer yang bekerja sebagai tukang sapu di sebuah syarikat swasta berkata, motosikalnya turut terbakar dalam kejadian itu. Ini menyebabkan dia kini buntu selepas tidak mempunyai kenderaan untuk berulang-alik ke tempat kerja.

Dia berharap individu yang bertanggungjawab melakukan perbuatan khianat itu ditangkap kerana ia telah menyusahkan banyak orang.


Seorang lagi mangsa, Shaik Khusairi Shaik Daud, 29, berkata, dia kehilangan dua motosikal iaitu jenis Yamaha Lagenda dan Honda Wave.

Katanya, ketika kejadian, dia baru pulang dari Downtown Danau Kota.


"Saya tidak mampu berbuat apa-apa melainkan melihat motosikal saya hangus," katanya.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran motosikal itu pada jam 3.43 pagi.


Katanya, jentera pertama tiba pada jam 3.51 pagi dan mendapati sebanyak 16 motosikal terbabit dalam kebakaran itu.


"Kita dapat mengawal api sepenuhnya pada jam 5.21 pagi dan seramai enam anggota daripada balai Setapak bergegas ke tempat kejadian," katanya perbuatan itu berpunca daripada khianat.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, kebakaran itu berpunca daripada perbuatan khianat.


Katanya, sebanyak 17 kenderaan terbabit dalam kebakaran termasuk 16 motosikal dan satu kereta jenis Nissan Grand Livina. Sebanyak 13 kenderaan hangus sama sekali manakala empat kenderaan lagi termasuk sebuah kereta terbakar 30 peratus.


"Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan polis akan menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kejadian itu sama ada mempunyai kaitan dengan kes sebelum ini atau tidak.


"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi, semalam.


Harian Metro 7 Jun lalu melaporkan enam motosikal milik penduduk Pangsapuri Seri Puteri di Seri Petaling, hangus terbakar, dalam kejadian jam 3.30 pagi ketika penghuni pangsapuri berkenaan sedang tidur.


Panik lori keranda mewah lesap

Posted: 21 Jun 2012 12:46 PM PDT

PETALING JAYA: Seorang pemandu lori panik apabila kenderaan berat memuatkan 18 keranda mewah bernilai hampir RM200,000 yang baru tiga jam diletakkan di kawasan parkir berhampiran rumah kakaknya di Pangsapuri Damai, Jalan PJS 8/9, Bandar Sunway, di sini, lesap dipercayai dilarikan pencuri, awal pagi kelmarin.

Pemandu berusia 35 tahun itu mendakwa meninggalkan lori seberat tiga tan itu dalam keadaan berkunci di tempat letak kenderaan berhampiran pangsapuri berkenaan untuk menumpang berehat di rumah kakaknya sebelum meneruskan perjalanan menghantar keranda itu ke Taiping, Perak.


Menurut sumber, mangsa meninggalkan lori berkenaan kira-kira jam 10.30 malam, Selasa lalu, dan mengawasi kenderaan berat itu menerusi tingkap rumah kakaknya.

"Kali terakhir mangsa melihat lorinya di tempat letak kenderaan kira-kira jam 12.30 tengah malam, namun setengah jam kemudian apabila menoleh sekali lagi dia terkejut apabila kenderaan berat itu sudah tiada.


"Mangsa kemudian bergegas ke tempat letak kenderaan pangsapuri itu bagi memastikan lorinya benar-benar hilang sebelum menghubungi talian 999," katanya.


Sumber berkata, mangsa turut membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Sungai Way.

Selain hilang lori, mangsa turut kehilangan dompet berisi lesen memandu dan kad bank yang ditinggalkan dalam lori berkenaan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan